Demikian tegas pelakon Muhamad Afiq Muiz Azman Shah, 24, selepas melalui episod hitam yang mencalarkan reputasi dirinya sebelum ini.

Enggan menoleh lagi kekhilafan lalu, hero drama Mimpi Cinderella ini juga merombak keseluruhan hidupnya. Sebagai permulaan dia menukar nama pentas yang digunakan selama ini iaitu Afiq Muiz kepada Muhamad Afiq.

Keputusan tersebut dibuat bagi memastikan dirinya tidak dibayangi kisah lalu.

Seiring dengan niat untuk berubah, Muhamad Afiq juga tidak selesa andai ada unsur negatif yang membantutkan usaha murninya itu.

“Alhamdulillah terlalu banyak hikmah yang terjadi dalam hidup saya ini selepas saya berubah. Saya memperoleh kebahagiaan yang tidak dapat diperjelaskan dengan kata-kata.

Silaturahim dalam keluarga yang pernah terputus satu ketika dulu kini menjadi rapat. Emak (Hasliza Mohd.) dan dua lagi adik (Siraj Munir dan Aishah Afiqah) kini keutamaan saya

“Hubungan kami juga semakin manis. Saya semakin menghargai sekeliling saya berbanding dahulu,” katanya berkongsi rasa.

Justeru tidak hairanlah jika Afiq kini dilihat lebih berkeyakinan dan ceria. Kehidupannya juga kini lebih terurus.

Jika tidak terlibat dengan urusan kerja, Afiq lebih selesa menghabiskan masa terluangnya dengan keluarga. Ada saja aktiviti yang dilakukan bersama-sama.

Berhubung keputusan membenarkan adik bongsunya, Aishah untuk menyertai bidang lakonan, Afiq bersikap terbuka dalam hal tersebut.

Ini memandangkan Aishah mempunyai latar belakang dalam lakonan dan tidak salah kalau dia ‘terjun’ dalam bidang ini.

“Aishah juga adalah antara kebahagiaan saya kini. Dia adalah adik bongsu yang pernah saya abaikan satu masa dulu.

“Apabila dia menceburi bidang yang sama, saya suka dan galakkan kerana saya boleh tengok-tengokkan dia.

“Adik kedua saya, Siraj juga terlibat dalam bidang ini. Dia kini menjadi pembantu dalam menguruskan keperluan kerjaya kami berdua.

“Jadi tidak timbul masalah sukar untuk berjumpa selepas ini. Malah kami akan dilihat sentiasa bersama-sama ke mana-mana saja,” jelasnya.

Layar perak

Lebih menggembirakan hati Afiq apabila keputusan untuk melakukan perubahan itu juga menyebabkan rezekinya dalam bidang lakonan semakin bertambah.

Ada saja tawaran untuk menjayakan produksi yang tidak pernah disangka-sangka. Paling mencetuskan rasa teruja apabila dia ditawarkan berlakon dalam filem I’m Not Terrorist, Mei lalu.

Penggambaran yang dilakukan di Kashmir, India itu memberi banyak pengalaman baharu buat Afiq apabila produksi itu turut membabitkan pelakon dari negara itu.

Bertuah apabila dapat berlakon dengan aktres veteran Farida Jalal dalam filem tersebut, pengalaman itu sudah pasti tidak akan dilupakan oleh Afiq.

Meskipun perlu menghafal dialog dalam bahasa Hindi namun Afiq tidak pernah menjadikan perkara itu sebagai masalah besar buatnya.

“Saya rasa bertuah apabila berpeluang memegang watak utama dalam I’m Not Terrorist. Tidak pernah sekalipun saya berasa terbeban seepanjang menjalani penggambaran selama 44 hari di Kashmir.

“Saya jatuh cinta dengan Kashmir yang memiliki iklim yang sejuk dan pemandangan yang sangat cantik. Pasukan produksi yang profesional juga banyak mempermudahkan kerja di sana,” ujarnya.

Dek pengalaman berlakon di layar perak itu juga menyebabkan Afiq berhasrat untuk terlibat dalam produksi skala besar pada masa akan datang.

Mengakui peluang untuk memperkemaskan karektor yang dipegang itu lebih kuat di layar perak, itu yang membuatkan Afiq mahu menumpukan perhatian kepada tawaran lakonan di layar besar.