Personaliti itu telah memuat naik video dan status dalam aplikasi media sosial yang kini ditonton lebih 300,000 warganet dan menerima komen hampir 7,000 orang.


Rata-ratanya mencemuh tindakan Nur Sajat yang dianggap masih lagi tidak boleh menerima kenyataan dan cuba menegakkan benang yang basah.


Menerusi Instagram yang menggunakan nama akaun ajramjat itu, Nur Sajat juga menuduh media dengan sengaja melakukan edit berhubung laporan mengenainya di mahkamah semalam, demi mendapatkan keuntungan.


“Wartawan memang suka beri info tak betul, Betul lah orang kata, kadang-kadang dalam berita ini jangan percaya. Banyak yang edit untuk menguntungkan page story mereka,” dakwa Nur Sajat.


Semalam, kes pendakwaan Nur Sajat di bawah Seksyen 41 (6) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014 menarik perhatian apabila Mahkamah Sesyen mendedahkan nama lelaki usahawan kosmetik itu.


Nama lelaki Nur Sajat ialah Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman walaupun usahawan tersebut berterusan mendakwa dia adalah wanita.


Nur Sajat, 33, kemudiannya mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan gagal mengemukakan penyata di bawah akta berkenaan dan didenda RM900 bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah terkumpul denda adalah RM2,700.


Mengikut Seksyen 41 (6) Akta GST 2014, ‘Nur Sajat’ boleh didenda maksimum RM50,000 bagi setiap pertuduhan. -UTUSAN ONLINE