MEGAN XIN YI RAVINDRAN
MEGAN XIN YI RAVINDRAN

Gaya bersahaja tanpa bersolek adalah satu kecantikan semula jadi yang dihargainya. Dalam bidang fesyen pula, dia akan mengayakan koleksi baharu untuk majlis tertentu mengikut kesesuaian.

“Saya tidak begitu obses dalam dunia kecantikan. Minat saya adalah bersukan dan masa lapang banyak dihabiskan untuk menonton perlawanan bola sepak dan softball, selain membuat analisis tentang sukan.

“Minat dalam sukan dipupuk oleh bapa saya sejak kecil lagi. Bapa sering membawa saya dan adik beradik menonton perlawanan bola sepak. Cara ini membuatkan kami lebih akrab," katanya kepada S2.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, dia mula bergiat aktif dalam sukan softball sejak berumur sembilan tahun dan pernah mewakili negeri Perak.

“Saya mewakili Perak dalam sukan softball untuk Majlis Sukan-Sukan Malaysia (MSSM). Saya turut berada dalam pasukan bola baling Perak untuk Sukan Malaysia (Sukma) 2018.

“Untuk berjaya dalam sukan, kita kena sentiasa berusaha dan mempunyai disiplin semasa latihan. Kejayaan tidak datang bergolek. Itu prinsip yang saya terapkan dalam kehidupan kini,” katanya.

Anak kacukan Cina dan India itu berkata, dia tidak kekok bergaul dengan sesiapa sahaja dan kebolehan menguasai tiga bahasa memberikan kelebihan kepada dirinya.

“Saya rasa unik menjadi chindian sebab boleh amalkan dua budaya, perayaan dan makanan. Kawan-kawan juga mudah rapat kerana mereka ingin tahu gaya hidup saya yang unik ini.

“Waktu sekolah rendah, memang ada budak nakal mengusik bila tahu saya ini anak kacukan Cina dan India tetapi bila masuk sekolah menengah, penerimaan itu lebih mudah dan saya juga mudah didekati,” katanya.

Bercita-cita menjadi seorang guru yang mampu memberi inspirasi kepada murid, Megan turut menanam hasrat untuk membantu mereka mencari hala tuju dalam kehidupan.