Pernah melonjak namanya menerusi drama Asam Pedas Untuk Dia beberapa tahun lalu, sejak itu kanvas seni anak jati Kuala Lumpur berusia 27 tahun itu meluncur naik dan sering kali menghiasi layar lebar dan kaca televisyen dengan ‘khidmat’ lakonannya yang versatil.

Pun begitu, pelakon drama bersiri Cinta Bukan Kristal itu bagaimanapun akur apabila namanya kurang dikenali ramai biarpun aktif menerima pelbagai tawaran lakonan.

Menurut Dayana, hanya hal kisah peribadi sahaja yang banyak menjadi bahan cerita berbanding kerja seninya. Justeru dia kini tekad untuk tidak lagi berkongsi kisah yang tidak berkaitan dengan kerjaya seninya.

“Tempoh aktif dalam arena hiburan sudah hampir memasuki 10 tahun. Jadi, rasanya sudah cukuplah untuk tahu tentang kisah peribadi berbanding hal kerjaya.

“Angka itu mengajar saya sisi kematangan dan tidak mahu lagi mengulangi kisah lalu.

“Ya, dahulunya saya agak terbuka bercerita tentang kisah cinta. Dari awal bercinta sampailah episod putus cinta, semuanya saya kongsikan. Tetapi kali ini tidak lagi.

“Kerana saya mulai sedar sudah cukuplah untuk perkara seperti itu. Secara jujurnya saya akui perkara tersebut mengajar saya untuk berhati-hati dan hanya bercakap perkara yang perlu sahaja,” katanya.

Menggali lebih dalam isi hati pemilik nama Nur Dayana Kamsun Bahari ini, dia bagaimanapun berjanji untuk tidak merahsiakan hari bahagianya andai sudah bertemu jodoh kelak.

“Saya rasa sudah tidak ada keperluan lagi buat masa ini untuk saya perkata soal cinta. Siapa pun lelaki yang sedang mendekati diri saya, belum masanya untuk saya kongsikan kepada khalayak.

“Namun saya tidak akan merahsiakan majlis bersejarah saya kepada khalayak jika sudah sampai jodoh.

“Walaupun saya fikir sebenarnya perkara itu bukan satu keperluan tetapi sebagai tanda menghargai dan menghormati sokongan peminat kepada saya selama ini jadi saya rasa saya tidak kisah untuk berkongsi hal yang satu itu,” janjinya.

Minah rempit

PENGALAMAN membintangi filem Minah Moto setahun lalu benar-benar memberi impak dalam dirinya.

Biarpun secara luaran, Dayana dilihat sebagai seorang wanita yang sering berketerampilan anggun namun pada sisi lain, jiwa ranggi di dalam dirinya juga menebal selain meminati bidang permotoran.

Justeru, selain sibuk dengan kerjaya lakonan, Dayana juga kini dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kelab Sinar Permotoran Amatur Kebangsaan atau Spark Malaysian Club (SMC) bagi mendekati golongan ‘mat rempit’.

Mengakui yang dia sebelum ini mempunyai persepsi kurang enak terhadap golong tersebut, peluang mendekati mereka membuat dia berubah fikiran.

“Sejujurnya sebelum ini saya ada persepsi buruk terhadap mat rempit dan saya pasti orang lain juga mempunyai fikiran yang sama seperti saya.

“Asal namanya mat rempit sahaja, orang akan kata jahat dan sebagainya, namun selepas membintangi filem Minah Moto tahun lalu, pandangan saya terhadap mereka berubah 360 darjah.

“Walaupun awalnya agak takut untuk bergaul dengan mereka, tetapi sepanjang sebulan penggambaran, baru saya kenal secara dekat dengan golongan ini.

“Dan saya mula nampak kebaikan-kebaikan mereka. Mereka ada satu komuniti yang sangat kuat dan mempunyai nilai murni yang sentiasa dipegang seperti tolong menolong antara satu sama lain,” katanya.

Rentetan itu, terdetik di hati Dayana untuk menerima pelawaan menjadi salah seorang ahli dalam SMC bagi mendidik dan memberi kesedaran terhadap mat rempit terutama kepada golongan wanita.

Selain itu, kata Dayana, menerusi kelab tersebut juga, dia mahu menarik perhatian golongan tersebut serta orang ramai terhadap menjana pendapatan dengan kemahiran dalam permotoran.

“Kelab ini baru sahaja ditubuhkan khusus buat mereka yang sukakan dunia permotoran malah dalam SMC ini, hanya saya seorang sahaja perempuan ketika ini.

“Pada mulanya, agak pelik jugalah kenapa pengarah dan pelakon Zul Huzaimy memilih saya untuk menyertai kelab itu, rupa-rupanya dia memilih saya sebab saya pernah berlakon dalam filem Minah Moto.

“Saya mahu ubah persepsi orang terhadap mat rempit kerana bukan semuanya mempunyai masalah. Yang terlibat dengan gejala kurang enak ini hanya segelintir.

“Malah objektif SMC itu sendiri adalah untuk memberi kemahiran kepada golongan terbabit misalnya jika mereka berminat membaiki motor, maka kita akan beri latihan kepadanya. Siapa tahu satu hari nanti mereka mampu membuka bengkel?

“Untuk perempuan pula, kita akan cari perkara-perkara yang mereka minat. Kalau mereka tidak minat dalam kemahiran permotoran, kita cuba wujudkan kemahiran lain yang bersesuaian dengan mereka. Contohnya, kalau suka menjahit, kita buka kursus jahitan.

“Yang penting kita mahu memberi sokongan kepada mereka untuk belajar kemahiran dan mampu menjana pendapatan menerusi perniagaan sendiri,” katanya.

Sementara itu, Dayana memberitahu, dia tidak ambil peduli sekiranya ada yang melabelkan dirinya sebagai ikon rempit kerana yang penting adalah niatnya untuk membantu golongan anak muda.

“Saya tak kisah pun kalau orang nak kata begitu kerana saya bukannya merempit. Yang penting adalah niat saya yang mahu membawa mereka ke arah kebaikan dan memberi mereka peluang berjaya pada masa depan.

“Kita perlu buang stigma dan hanya menganggap golongan yang terlibat dalam aktiviti rempit begini hanya orang jahat, sedangkan kita sebagai sebahagian daripada masyarakat patut membantu mereka.

“Saya akui, saya dulupun takut nak berkawan dengan mereka, tetapi apabila saya mulai mendekati golongan ini, baru saya tahu bahawa kebanyakan mereka sebenarnya orang yang baik.

“Mereka juga manusia... mungkin ada sebahagiannya yang jahat tapi bukan semua. Sama juga mereka yang tak merempit kerana ada juga yang berperangai tidak baik.

“Saya mahu ubah pandangan terhadap mat rempit yang diibaratkan seperti sampah. Saya nak buang pemikiran begitu,” katanya.