Sehingga hari ini, masih tiada kata putus biarpun mereka sering dilihat mesra berdua walaupun drama Ku Kirim Cinta yang menggabungkan mereka sudah tamat siarannya.

Majoriti peminat menyokong hubungan mereka yang disifatkan sebagai sama cantik dan sama padan. Cuma hanya masa yang dapat menentukan status mereka. Sama ada cinta atau tidak, hanya mereka punya jawapan.

Melangkah terus ke dalam industri tanpa menghiraukan kecaman dan kata-kata nista, bagi Ayda, strateginya dalam dunia seni hanya untuk memastikan bakat dan semangatnya diterima ramai.

Dia enggan bersandar pada gosip atau kontroversi semata-mata. Langkahnya harus bersulamkan kekuatan dan semangat terus belajar untuk lebih menyerlahkan bakat seninya.

Tidak kecewa tatkala lagunya, Mata gagal ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL), bagi Ayda dia sudah buat yang terbaik sewaktu persembahan separuh akhir Muzik-Muzik (MM) minggu kedua baru-baru ini.

Tiga kali gagal ke pentas AJL, mungkin ada yang tertanya adakah dia bakal merajuk hati untuk tidak bertanding lagi? Seraya tersenyum, Ayda menggelengkan kepala menolak tepi persepsi itu.

“Lagu Mata cukup istimewa pada hati saya sebab itu saya buat bersungguh-sungguh semasa MM. Tersenarai ke pentas akhir atau tidak, itu tidak akan melemahkan saya dalam membuat persembahan.

“Tidak terpilih tidak mengapa, saya akan cuba lagi. Saya kena sentiasa berusaha. Walaupun sudah tiga kali gagal, saya akan tampil untuk kali keempat dan terus berjuang.

“Tapi kali ini saya akan bertemu dengan pihak juri dan mendapatkan nasihat serta tunjuk ajar mengapa Mata tidak terpilih,” kata pelakon yang mula meningkat naik menerusi drama Rindu Awak 200%.

Tidak pernah pilih heroin 

Gandingan Redza Rosli dengan Ayda Jebat dalam drama Ku Kirim Rindu mencetuskan spekulasi dalam kalangan peminat-peminat mereka. Pelbagai dakwaan mengatakan pelakon lelaki itu hanya menumpang populariti si cantik manis itu.

Keserasian mereka begitu menjadi sehingga ada segelintir peminat yang tidak mahu melihat hero kesayangan mereka itu bergandingan dengan pelakon wanita lain dalam mana-mana drama.

Menjawab persoalan berbangkit, Redza sama sekali tidak mahu meletakkan soal peribadi dan kerjaya dalam satu tempat.

Kata Redza, dia harus bijak membezakan antara dunia seni dan kehidupan peribadi.

“Saya tak kisah sebenarnya untuk bergandingan dengan mana-mana heroin. Sama ada Ayda atau heroin lain, itu semua bergantung kepada keputusan produksi.

“Siapa saya untuk memandai-mandai memilih heroin?

“Apa yang lebih mustahak adalah jalan cerita dan siapa pengarah bagi sesebuah naskhah yang ditawarkan itu. Saya tidak mahu terlalu melihat kepada siapa gandingan saya,” katanya.

Sedang sibuk di set penggambaran drama baharu, Isteri Untuk Diiktiraf, Redza mengakui, dia hanya memberi fokus pada drama yang cukup berat itu.

Diadaptasi dari novel, Redza membawakan satu watak dengan tujuh identiti.

Bergandingan dengan nama-nama popular lain seperti Janna Nick, Sheila Rusly dan Elvina Mohammad, Redza tidak dapat menerima tawaran drama-drama lain kerana terikat dengan drama tersebut.

“Drama Isteri Untuk Diiktiraf ini bakal ditayangkan pada bulan Ramadan tahun depan. Memang besar cabarannya sebab satu watak yang berbeza identiti. Lain orang dia jumpa, lain perangai yang dipamerkan.

“Lagipun kita ada jadual penggambaran, jadi bila kita ‘lompat’ babak, kesukaran saya adalah untuk kekal dalam ‘mood’ dan watak. Memang itu tugas kru produksi, tapi saya kena peka juga.

“Saya tak ambil dua drama dalam satu masa sebab tak mahu terkejar-kejar. Lagipun susah untuk jaga mood karakter nanti. Setiap kali masuk set baharu, kita adalah pelakon baharu,” ujarnya.

Teruja tunggu filem pertama

Berbicara soal filem pertamanya, Pinjamkan Hatiku yang bakal menemui peminat hujung bulan ini, anak kelahiran Melaka ini tidak dapat menyembunyikan perasaan gugup bercampur terujanya.

Jelas daripada riak wajahnya tatkala ditanya tentang filem itu, Ayda yang baru sahaja pulang dari Bangkok bagi melihat sendiri kerja suntingan filem itu mengharapkan agar semua peminat menyokong naskhah itu.

“Filem ini memang lain daripada yang lain. Bukan sebab Pinjamkan Hatiku ini filem lakonan saya sendiri, tetapi dari sudut skrip dan pengarahan oleh Osman Ali, filem ini memang berbeza.

“Saya sendiri bila menyaksikan filem selepas disunting menangis teresak-esak. Jalan cerita Pinjamkan Hatiku ini cukup berat dan bermakna. Sebab itu saya cukup berdebar dan teruja,” katanya yang memegang watak sebagai Laila Safitri dalam filem itu.

Ditanya pengalamannya bergandingan dengan dua pelakon hebat, Shaheizy Sam dan Farid Kamil, Ayda mengakui dia banyak belajar daripada dua anak seni yang punya banyak pengalaman ini.

“Shaheizy Sam dan Farid betul-betul mempunyai ilmu lakonan yang cukup hebat. Macam Sam, dia sanggup menguruskan badan demi menjayakan watak Naufal. Malah, dia juga menjiwai watak dengan cukup bersungguh.

“Banyak saya belajar daripada mereka berdua. Masing-masing ada kelebihan yang boleh saya kutip dan belajar untuk kukuhkan bakat lakonan saya,” katanya mengakhiri bicara.