Baginya, selain keyakinan diri yang rendah ditambah dengan kesibukan sebagai ibu seakan-akan memadam terus hasratnya.

Namun, segala-galanya berubah pada 2015 apabila penyanyi kelahiran Tasek Gelugor, Pulau Pinang itu cuba menghasilkan lagu ciptaannya sendiri berjudul Dan Kini dengan lirik dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Perancis.

“Apabila lagu itu siap, saya kirim ke Perancis untuk diperdengar kepada rakan-rakan senegara suami. Hajat saya ialah untuk mendengar komen dan maklum balas mereka sama ada lirik dalam bahasa Perancis itu baik atau tidak.

“Sehinggalah lagu tersebut didengari seorang komposer bernama Kirsten Harma dan dia menyatakan minatnya untuk bekerjasama dengan saya,” jelas Nurul penuh teruja.

Namun, minat yang disuarakan oleh Harma pula mencetuskan rasa takut dan teruja dalam dirinya.

Bagaimanapun, bila mengenangkan laluan sudah terbuka, Nurul menyahut cabaran untuk mencuba sesuatu yang baharu.

Tambahan pula suaminya, Eric Daniel Depp, 52, sentiasa memberi sokongan pada setiap perkara yang dilakukannya.

“Suami beritahu, dia sentiasa sokong sebab tidak mahu lihat saya menyesal pada hari akan datang jika menolak tawaran yang datang sekarang.

“Itu yang menguatkan semangat saya. Lagipun, apa yang saya lakukan ini adalah sesuatu yang memang ingin dilakukan sebelum ini,” kata Nurul yang mula membina nama di persada hiburan tanah air menerusi lagu Kerana Terluka sekitar pertengahan 1990-an.

Bertitik tolak pada tawaran yang dibuka oleh Harma, Nurul lantas terbang ke Paris pada awal tahun lalu dan berada di sana selama empat bulan sebelum pulang semula ke ibu kota untuk membetulkan sebutan bahasa Perancis.

Selama beberapa bulan penyanyi ini hadir ke kelas berbahasa Perancis untuk menguasai sebutan dengan betul sebelum terbang semula ke Perancis pada Mac lalu bagi menyelesaikan rakaman album bahasa Perancis yang berjudul Humaine (manusia).

Kata Nurul, album tersebut memuatkan enam buah lagu berbahasa Perancis dan sebuah lagu berbahasa Inggeris.

Menariknya, empat buah lagu dalam album tersebut iaitu Paris Attent, Aujourdhui, Moi Et Toi Et Moi dan Dreams And Hope akan menjalani penggambaran klip video di negara kelahiran suaminya.

“Sebenarnya klip video di Perancis itu bukanlah dalam perancangan pun. Semuanya datang secara kebetulan dan saya anggap sebagai rezeki.

“Pada awalnya, saya dijemput untuk membuat persembahan bagi syarikat Helvetia International Vacation Club (HVT). Kemudian bila HVT dapat tahu mengenai projek album berbahasa Perancis itu, mereka menyatakan minat untuk memberi sokongan kepada saya,” ujarnya lagi.

HVT bukan sahaja menaja pembikinan keempat-empat buah lagu itu, tetapi turut menaja pembikinan kulit album terbaharu Nurul.

Apa yang berlaku ini bagi Nurul ibarat rezeki yang datang bergolek dan sukar untuk dilepaskannya.

“Sekarang ini, saya cuma perlu pastikan apa yang dilakukan ini membuahkan hasil yang baik dan berharap semuanya berjalan lancar,” katanya.

Lantaran terikat dengan komitmen di Perancis, Nurul membuat keputusan untuk berulang-alik dari Malaysia ke sana.

Langsung tidak terlintas dalam fikirannya untuk menetap dalam tempoh masa yang lama di sana walaupun bakal tampil dengan album yang memerlukan promosi di sana.

“Bukan tidak mahu tinggal lama di sana, tetapi buat masa ini saya fikir tidak perlu lagi untuk menetap di sana.

“Semuanya masih terlalu awal dan saya perlu melihat dahulu bagaimana sambutan album ini di sana,” jelasnya.

Tambah Nurul lagi, anak-anaknya juga bersekolah di Malaysia dan kebanyakan urusan lain masih lagi memerlukan dia untuk berada dalam negara.

“Suami saya pun selesa tinggal di sini (Malaysia). Jadi untuk jangka masa sekarang, biarlah saya berulang-alik walaupun jangka masa perjalanan kedua-dua negara ini berbelas-belas jam,” kata Nurul menyambung perbualan.

Bagi Nurul, lantaran minatnya terhadap apa yang dilakukannya ini sangat mendalam, maka soal lelah atau penat tidak pernah menjadi isu.

Bercerita mengenai album untuk industri muzik tempatan pula, buat masa terdekat ini kata Nurul, dia tidak memiliki sebarang perancangan untuk tampil dengan lagu baharu dan sebagainya.

“Album Perancis ini memerlukan saya beri komitmen yang tinggi. Tapi saya akan cuba juga untuk tampil dengan lagu-lagu bagi pasaran tempatan,” jelasnya.

mega utusan malaysia