Hasnah Jidin, 59, menegaskan, tuduhan tersebut amat berat untuk diterimanya hingga menjejaskan tahap kesihatan selain menjatuhkan reputasi dirinya dalam kalangan keluarga dan rakan terdekat.

“Beritahu saya ibu mana yang mahu anaknya bercerai. Saya menentang sekeras-kerasnya apabila dapat tahu mereka mahu bercerai. Kalau ada yang kata saya menghasut, semua itu dusta semata-mata.

“Malah saya menasihati mereka agar berbaik semula kerana mahu sangat melihat mereka hidup bersama sebagai satu keluarga yang bahagia.

“Tiba-tiba saya pula dituduh. Apa yang sebenarnya berlaku ini,” katanya kesal sekaligus menjawab tuduhan warganet sebagai punca yang mendorong menantunya memfailkan perceraian.

Mengulas lanjut, Hasnah memberitahu dia juga mengalami kesukaran untuk tidur malam, penyakit darah tinggi dan diabetis tidak menentu kesan daripada tuduhan liar yang berleluasa dalam media sosial sejak anaknya bercerai.

“Saya tidak membaca gosip. Tapi apabila perkara ini dibangkitkan, hati saya sangat tersentuh. Saya ini orang tua, bukan juga artis, jadi tidak elok dijadikan bahan bualan untuk topik negatif sebegini.

“Oleh itu saya minta hentikan cerita tidak benar ini. Berilah ruang kepada saya untuk hidup tenang bersama anak-anak selain dapat beribadah dengan sempurna,” katanya lagi.

Ibu bintang filem Isyarat Cinta itu menjelaskan perkara tersebut dalam satu pertemuan bersama wartawan di rumah Fizo di Bandar Baru Bangi, Selangor petang ini.

Nama ibu Fizo dipetik sebagai punca perceraian menerusi penjelasan “berkorban kasih demi Fizo dan keluarganya” secara berulang-ulang kali sejurus selepas sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Selangor pada 10 Julai lalu.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga sejak 10 November 2013. Menerusi perkahwinan selama enam tahun itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Wan Maryam yang kini berusia dua tahun. - UTUSAN ONLINE

Learn to freehand visualize your ideas