Bila ada tayangan filem Melayu, maka sibuklah lori yang membawa iklan seperti filem Seniman Bujang Lapok itu ke segenap ceruk kampung di Gombak untuk menaburkan pamplet merata-rata.

Aku masih ingat filem-filem yang ditonton seperti Miskin, Putus Harapan dan Perjodohan. Pada 1952, keluarga kami berpindah ke Bangi.

Aku bersekolah Melayu sehingga darjah enam kemudian menyambung pengajian di High School Kajang. Tarikan untuk menonton filem-filem P.Ramlee tidak pernah pudar. Di panggung Sun Kajang, aku menonton filem-filem arahan P.Ramlee dari Penarik Beca hinggalah filemnya ke-14, Nasib Si Labu Labi.

Mulai 1964, aku menonton filem-filem P.Ramlee di panggung Capitol dan Federal Kuala Lumpur bermula dari filem Madu Tiga dan Tiga Abdul terbitan Malay Film Productions hinggalah kesemua 18 buah filem yang diterbitkan oleh Merdeka Film Productions yang berjudul Si Tora Harimau Jadian hingga yang terakhir Laxsamana Do Re Mi.

Ketika itu aku tinggal di Kuala Lumpur dan bekerja di Radio Malaysia yang berpejabat di Federal House (Rumah Persekutuan) sejak hujung 1963.

Selain meminati filem-filemnya yang penuh dengan mesej dan falsafah, lagu-lagunya juga menjadi kegemaran aku dan masyarakat lainnya. Kesempatan yang ada, aku gunakan sepenuhnya dengan menyiarkan lagu-lagu P.Ramlee apabila aku bertugas untuk ke udara.

Antara lagu popularnya ketika itu ialah Gelora, Hancur Badan Di Kandung Tanah dan banyak lagi, berduet dengan Saloma dan Kumpulan Panca Sitara. Kemunculan era pop yeh-yeh benar-benar menggugat populariti P.Ramlee.

Ini berdasarkan merosotnya jumlah kad-kad lagu permintaan yang meminta lagu nyanyian beliau. Sebaliknya yang mencurah datang ialah permintaan lagu-lagu oleh artis-artis angkatan baru ini.

Auditorium Radio juga setiap minggu dibanjiri oleh peminat-peminat yang ingin melihat dengan dekat penyanyi-penyanyi seperti Jefrydin, A.Halim, J.Sham, L.Ramlee, Fatimah M.Amin dan ramai lagi.

Ketika itu, aku yang ditempatkan di bahagian hiburan sememangnya berjinak-jinak dengan mereka pada saban minggu melalui program seperti Jenakarama, Musik Muda Mudi, Temasha Muda Mudi dan banyak lagi.

Selain para penyanyi ini aku juga giat dalam bidang drama radio yang mempertemukan dan bekerjasama dengan pelakon-pelakon drama Norela Samad, Siti Hawa Majid, Noraini Hashim, Razali Buyong, dan ramai lagi.

Aku berhijrah ke TV Malaysia pada 1972. Di sini aku ditempatkan di bahagian hiburan dan drama. Jadi kesinambungan aku bekerja dengan nama-nama besar dalam bidang nyanyian dan lakonan itu berterusan melalui program-program terbitan aku.

Dalam hiburan aku menampilkan penyanyi popular seperti Yusni Hamid, M.Daud Kilau, SM Salim, S.Ahmad dan pelawak seperti A.R.Badul, R.Jaafar, Yahya Sulong, Hamid Gurkha dan lain-lain. Cabaran paling besar ialah menerbitkan empat penghibur yang popular.

Siri inilah, buat pertama kalinya menampilkan Sharifah Aini iaitu Juara Pertandingan Talentime Singapura, kepada khalayak televisyen di Malaysia. Sharifah Aini berserta artis jemputannya diiringi oleh Orkes Radio Johor Bahru pimpinan Taib Othman dan siri ini mengandungi enam episod.

Ahmad Daud Show yang mengandungi 17 rancangan menampilkan Seniman Agung ini sebagai artis versatile dan menyanyi, berlawak dan berlakon. Siri ini menampilkan kumpulan bangsawan Bintang Venus dengan tokoh bangsawan Idras Hashim, Zahrah Agus, Pak Suki, Normadiah, Mak Enon dan ramai lagi.

Siri ini menemukan aku dengan banyak rakan-rakan seangkatan dengan P.Ramlee, antaranya seniwati agung Saadiah yang menjadi tetamu kepada Ahmad Daud. Semasa di bahagian hiburan inilah aku berkesempatan untuk bekerja dengan P.Ramlee.

Melalui Mrs. Beh. (Beh Suat Pheng) iaitu pengurus syarikat rakaman EMI di Kuala Lumpur, P.Ramlee dan Saloma telah dijadualkan untuk membuat rakaman di studio satu TV Malaysia dalam rancangan Varia. Mereka telah merakamkan secara miming dua buah lagu yang disediakan oleh syarikat berkenaan berjudul Zapin Malaysia dan Joget Malaysia.

Selepas rakaman mereka pun meninggalkan studio kerana kami meneruskan rakaman dengan artis lain.Itulah kali pertama dan kali terakhir aku bertemu dan berpeluang bekerja dengan P.Ramlee.

Walaupun pertemuan itu begitu singkat tetapi ia memberi impak yang begitu besar dalam kerjaya aku sebagai penerbit rancangan di RTM. Penyertaannya dalam rancangan tersebut menjadi pelengkap kepada senarai artis-artis terkenal yang membintangi program hiburan atau drama terbitan aku.

Siri Saloma Show yang berkonsepkan famili drama diterbitkan sebagai menghargai Biduanita Negara yang baru kehilangan suami iaitu P.Ramlee. Siri ini menampilkan anak-anak Saloma iaitu Zaza dan Baden.

Hiburan Malam Minggu dengan Sarena Hashim misalnya, menampilkan ramai artis terkenal seperti Uji Rashid, Hail Amir, Rafeah Buang serta kumpulan penari dan pelawak yang diiringi oleh Orkestra RTM.

Dalam drama pula aku berpeluang bekerja dengan S.Roomai Noor dan Umi Kalsom( Tepuk Air Di Dulang) berserta Ahmad Tamimi Seregar. Drama ini juga memperkenalkan buat pertama kalinya pelakon Nancy Foo yang diperkenalkan oleh Nas Akhnas iaitu Ketua Rekabentuk dan Pementasan.

Rahim Razali, satu lagi nama besar dalam drama tanah air berlakon dalam drama Suamiku dan Isteriku. Manakala Salim Bacik dan Aziz Singah yang ketika itu baru berhijrah dari Singapura membintangi drama Langkah Si Timpang dan Surat.

A.Rahim dan Mariani bekas pelakon MFP digandingkan dalam drama Bersama Matahari. Musa Al-Bakri pula dengan Kisah Seorang Tua. Drama Pincang menampilkan pelakon kanak-kanak Aziz M Osman telah mengungguli anugerah Sri Angkasa pada 1977. Aziz yang dicalonkan sebagai pelakon kanak-kanak terbaik ditewaskan oleh Adik Zulkarnain dalam drama Titik Titik Hujan terbitan saya juga.

Siri yang padat dengan pelakon terkenal ialah PJ yang menggabungkan Osman Zailani, Fatimah Yassin, Yusof Haslam, Azmil Mustafa, Aziz Singah dan memperkenalkan Malisa Saila sebagai Puspa Johan sempena dengan jenama korporat PJ Holdings.

Jins Shamsudin pernah bersama dalam dua episod siri bual bicara Tetamu Kita yang aku hoskan sementara seniman Aziz Jaafar pula bertindak sebagai penulis skrip Saloma Show.

Daripada bahagian penerbitan atau telah ditukarkan ke bahagian Bekalan Filem dengan tugas utama mendapatkan filem-filem yang terbaik dari dalam dan luar negeri.

Slot Teater P.Ramlee telah mendapat tajaan sebanyak 13 minggu. Sebanyak tujuh pembekal filem telah menawarkan filem P.Ramlee dengan pakej dan harga berbeza. Ini telah membuka peluang untuk RTM mendapatkan bahan tersebut secara langsung dari Shaw Brothers di Singapura. Kerja ini bukanlah mudah sebab kita terpaksa bersaing dengan pembekal lain dan ianya memerlukan kelulusan pihak berwajib kerana syarat-syarat pembayaran yang memerlukan pendahuluan.

Setelah mendapat kelulusan, maka aku dengan diiringi oleh wakil agen pemasaran telah berjumpa wakil Shaw Brothers iaitu Jaafar Wongso. Inilah kali pertama RTM membeli lesen tayangan secara langsung filem setelah 30 tahun kewujudannya dengan mendapatkan filem secara langsung daripada pengeluarnya Shaw Brothers. Syarat pembelian ialah secara pakej yang mengandungi tiga filem P.Ramlee, enam filem bukan P.Ramlee dan satu filem warna.

Bayaran pendahuluan 20 peratus daripada harga pakej dan baki 80 peratus setiap tajuk mesti dibayar sehari selepas ditayangkan. RTM berjaya mendapatkan bekalan filem P.Ramlee untuk sàtu musim sahaja. Dan aku bersyukur kerana dapat merealisasikan matlamat tersebut.

Itulah kali terakhir aku dapat melibatkan kerjayaku dengan seniman agung P.Ramlee iaitu bermula daripada menonton filemnya, memutarkan lagu lagunya, merakamkan persembahannya di televisyen serta mendapatkan filem filemnya untuk ditayangkan di TV Malaysia dan yang lainnya tinggal menjadi kenangan hingga ke akhir hayat. Detik-detik itu kekal menjadi antara momen terindah dalam kehidupan dan kerjaya aku di stesen penyiaran negara itu.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham P.Ramlee dan lain-lain yang telah meninggalkan kita. Al-fatihah.