AKHIL HAYY mengakui pendakwah kini berdepan dengan cabaran yang lebih besar.
AKHIL HAYY mengakui pendakwah kini berdepan dengan cabaran yang lebih besar. 

Pokok pangkalnya, sekuat mana pun dugaan yang datang menguji, ia bergantung bagaimana suami isteri melayari dan mengatur perjalanan bahtera rumah tangga mereka.

Begitulah juga dengan penyanyi yang juga pendakwah terkenal, Ustaz Akhil Hayy dan isterinya bekas penyanyi Waheeda. Mereka juga tidak terlepas dari pelbagai ujian setelah hampir 10 tahun berkahwin.

Saat diijabkabulkan tanggal 16 Ogos 2009 dalam majlis tertutup, ia menjadi titik permulaan untuk pasangan ini berdepan dengan segala ujian untuk hidup bersama.

RAHSIA BAHAGIA

Akhil Hayy yang sebelum ini popular menerusi lagu Hanya Ketenangan bersama kumpulan D’Riyadh satu ketika dahulu mengakui rumah tangganya seperti air pasang, ada turun dan ada naiknya.

Baginya, kebahagiaan rumah tangga itu bukan bergantung kepada kerjaya seseorang itu. Justeru tidak semestinya seseorang yang bergelar ustaz atau pendakwah, mereka bahagia sepanjang masa. Sama seperti pasangan lain, hidup mereka juga penuh dengan ujian.

“Hampir 10 tahun menjadi suami kepada Waheeda, Alhamdulillah ia satu pengalaman manis. Namun, bila bercakap mengenai rumah tangga, tidak semua boleh dikongsi.

“Apa yang saya boleh cakap, rumah tangga kami penuh warna warni. Setiap hari pasti ada kelainan yang kami lalui. Jadi tidak sempat merasa bosan malah masih merasakan baharu sahaja berkahwin.

“Waheeda ni macam ‘orang putih’. Dia suka berterus-terang dalam apa jua hal. Bila ada perselisihan, sikap terus terang ini membuatkan masalah yang datang dapat diselesaikan dengan cepat.

“Sikap suka berterus-terang ini bagus kerana apa sahaja yang dirasai boleh dilepaskan. Kalau pendam rasa marah atau tidak puas hati, itu yang bahaya. Lama-lama pendam boleh jadi ‘meletup’ dan ia akan memberi kesan negatif kepada kesihatan diri.

“Namun tidak dinafikan, bila terus terang akan berlaku pergaduhan kecil tetapi ia hanya untuk sementara. Selepas itu, suami dan isteri masing-masing lebih memahami dan Insya-Allah perkara yang sama tidak akan berulang,” kata Akhil Hayy.

Akhil mengakui yang dia seorang yang lebih suka berdiam diri apabila berhadapan dengan masalah. Justeru perbezaan mereka menjadikan pasangan ini saling melengkapi.

“Sejujurnya, walaupun kami hampir 10 tahun hidup bersama, kami sebenarnya masih cuba mengenali dan setiap hari adalah proses untuk lebih saling memahami,” tambah Akhil.

Kecaman ujian bagi pendakwah

AKHIL HAYY, 50, juga akui cara dakwah dahulu dan sekarang amat berbeza. Baginya, setiap pendakwah mempunyai cara penyampaian tersendiri. Apa yang penting adalah niat suci mahu menyampaikan ajaran Allah.

“Memang saya nampak banyak bezanya cara dakwah dahulu dan sekarang.

“Tambah pula, pendakwah kini mempunyai pelbagai medium seperti media sosial apabila segala maklumat boleh disampaikan terus kepada masyarakat tanpa tapisan.

“Dalam masa yang sama, khalayak dalam media sosial atau warganet berpeluang untuk memberi komen secara terus kepada pendakwah tersebut.

“ Biasalah... dalam dunia ini bukan semua orang sukakan kita. Selain menerima komen positif, pendakwah juga tidak terlepas daripada kecaman  warganet yang hanya tahu menghentam.

“Sebagai pendakwah, kita banyakkan bersabar sahaja,” katanya yang ditemui ketika menjadi juri dalam program pencarian Manhajj Mutawif musim kedua yang akan disiarkan Februari depan.

WAH EEDA sudah bersara dari dunia nyanyian.
WAH EEDA sudah bersara dari dunia nyanyian. 

Nekad tidak lagi menyanyi

SEMENTARA itu, Waheeda atau nama sebenarnya Nor Wahidah Abdul Wahab, 40, yang kini sudah berniqab, nekad tidak akan kembali menyanyi.

“Saya sudah tidak mahu menyanyi lagi. Saya berpegang kepada suara wanita adalah aurat untuk diperdengarkan kepada lelaki bukan muhrim.

“Jadi saya lebih seronok jadi produser untuk menerbitkan lagu-lagu nyanyian suami sendiri. Saya baru berkesempatan kembali ke dunia seni setelah anak-anak meningkat dewasa,” katanya yang tampil menemani suaminya dalam program yang sama.

Sebelum ini Waheeda pernah tampil dengan album Wassini, Binafsha dan Melodi Ahlan. Dia juga pernah berlakon dalam beberapa buah filem termasuklah Jutawan Fakir, Tujuh Perhentian, I Know What You Did Last Raya. Anak Mami Kembali dan Nana Tanjung.

TIDAK STRES TIADA ANAK

Perkahwinan selama hampir 10 tahun itu tidak memberi rezeki cahaya mata kepada mereka berdua, Namun Waheeda mengakui dia tidak tertekan malah menyerahkan segala urusan hidup dan cahaya mata kepada Allah semata-mata.

“Hampir 10 tahun kami kahwin, saya tidak terkilan belum dikurniakan anak sendiri kerana saya bahagia dengan empat orang anak suami bersama bekas isteri.

“Saya seronok menjaga dan membesarkan mereka. Sekarang ini, mereka sudah mempunyai kehidupan sendiri.

“Tipulah kalau saya cakap tidak mahu anak sendiri. Kami masih berusaha dan selebihnya terserah kepada Allah. Sebagai manusia kita hanya berusaha, Dia yang menentukan segalanya.

“Kami tidak merancang untuk menjalani rawatan kesuburan kerana mahu ia berlaku secara normal. Kami yakin, lambat atau cepat dapat anak, Allah tahu apa yang terbaik untuk kami,” luah Waheeda yang seronok mendalami agama sepanjang menjadi isteri kepada Akhil.