Walaupun karier lakonannya dipandang ‘sepi’, namun siapa mampu menidakkan bakat yang dianugerahkan buat pemilik nama lengkap Nurlisasqia Ahmad Dahuri,33, dalam setiap naskhah yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

 

Pun begitu, wanita tinggi lampai ini seolah-olah tidak mengambil pusing soal melariskan produk yang membabitkan dirinya dengan erti kata lain bukan mengejar glamor semata-mata.

Kesempatan yang diluangkan oleh pelakon filem Misteri Dilaila ketika bertandang ke Studio Utusan baru-baru ini memberi peluang untuk HITS menemu bualnya.

Ikuti perbualan kami berdua yang rancak membicarakan tentang soal kerjaya seni, perkembangan diri dan kehidupan setelah bergelar isteri kepada lelaki warganegara Singapura, Muhammad Asyraff Khan Baharuddin Khan sejak dua bulan lalu.

HITS: Anda sudah bertahun dalam bidang lakonan, namun masih kurang dikenali. Adakah anda suka dengan situasi begitu?

SASQIA: Pada saya ‘sustain’ lebih penting berbanding sibuk mengejar glamor dan popular. Sebab pada akhirnya nanti kita akan sedar sendiri apa sebab kita bekerja dalam bidang ini. Sudah tentulah untuk mencari rezeki bukan? Saya juga mementingkan kualiti dan percaya bukan mudah untuk mengekalkannya. Berbanding melihat dari sudut kuantiti, lebih baik saya fokus pada kualiti yang dipersembahkan kepada penonton.

HITS: Jadi, tidak kisah kalau dapat banyak tawaran tetapi tidak glamor?

SASQIA: Saya tidak pernah merungut dengan rezeki yang saya dapat. Naik turun populariti seseorang pelakon itu bergantung kepada naskhah yang dibawakan. Industri seni adalah tempat saya bekerja dan berkongsi bakat, maka seharusnya saya guna kesempatan yang ada selagi masih ada tawaran lakonan.

 

Psiko Misteri Dilaila

HITS: Adakah anda rasa filem terbaharu arahan pengarah Syafiq Yusof, Misteri Dilaila mampu menaikkan nama anda?

SASQIA: Berbekalkan pengalaman dan kredibiliti Syafiq serta produksi besar Skop Productions, saya menyimpan segunung harapan untuk filem ini berjaya sekali gus nama saya juga dikaitkan dengan kejayaan tersebut.

Saya selalu dapat soalan sama, ‘dah lama berlakon, tetapi nama tak sebaris dengan pelakon-pelakon lain’. Tak mengapa, satu hari nanti masa itu akan tiba.

HITS: Boleh ceritakan karakter anda dalam filem ini?

SASQIA: Bila pertama kali baca skrip, saya sudah dapat rasa jalan cerita filem ini amat menarik dan penuh misteri.

Misteri adalah genre yang belum pernah saya cuba dan syukurlah sebagai pelakon saya kena mencuba perbanyakkan karakter lakonan untuk bergelar pelakon versatil.

Saya memegang watak sebagai Dilaila yang memerlukan saya menjiwai karakter psiko, hipokrit dan penonton akan disajikan dengan elemen kejutan.

HITS: Genre karya ini kedengaran agak sukar untuk dilakonkan, adakah anda berdepan dengan cabaran sepanjang penggambaran?

SASQIA: Ini adalah filem ketiga saya. Apa yang boleh saya katakan berlakon drama dan filem memang jauh beza walaupun sudah biasa masuk set penggambaran.

Bila saya masuk set penggambaran filem, saya terus `kosong’. Kalau drama lebih dramatik dan berlebih-lebihan, namun tidak untuk filem.

Untuk filem, skrin lebih besar. Jadi bila pengarah lihat pelakon tidak begitu menyerlah dalam skrin, kita kena buat semula babak yang dimahukan sehingga tercapai apa yang diinginkan. Awalnya, saya ingat semuanya okay, tetapi bila lihat di skrin sebenarnya tidak. Jadi terpaksalah buat lagi sekali.

HITS: Pengikut filem tempatan sudah sedia maklum Syafiq adalah seorang sutradara yang berbakat dan berjiwa besar dalam kerusi pengarahan. Apa yang boleh anda kongsikan ketika bekerja di bawah arahannya?

SASQIA: Filem Misteri Dilaila menjadi penanda aras buat saya yang pertama kali berlakon di bawah arahannya. Sebenarnya saya terharu dan teruja kerana menjadi pilihan Syafiq untuk membawakan watak Dilaila tanpa perlu menjalani sesi uji bakat.

Syafiq seorang pengarah muda yang berbakat dan satu penghormatan untuk bekerja dengannya. Bayangkan sehingga hendak memilih pakaian, aksesori dan gaya mekap pun dia akan periksa dahulu sebelum masuk set. Kru hanya akan seterika pakaian-pakaian yang telah dipilih.

Sebab itu saya sedar ketelitiannya memberi impak baik dalam setiap filem yang pernah diarahkan sebelum ini.

HITS: Sepanjang 36 hari anda ‘berkampung’ di Bukit Fraser, Pahang ada perkara yang tidak memuaskan hati Syafiq?

SASQIA: Dia seorang pengarah yang relaks tetapi sangat teliti. Dia mahu apa yang digambarkan di dalam fikirannya itu sama dengan apa yang dilakonkan oleh para pelakon.

Saya selesa bekerja dengan dia. Orang yang pernah bekerjasama dengan dia akan terbiasa dengan cara kerja Syafiq. Pelakon yang lebih berusia daripada dia pun sangat hormat padanya.

Genre seram thriller adalah ‘makanan’ Syafiq. Setahu saya filem-filem yang pernah dia arahkan sebelum ini bukanlah kegemarannya tetapi semuanya berjaya, jadi apa lagi bagi Misteri Dilaila.

HITS: Berlakon bersama dengan pelakon handalan seperti Datuk Rosyam Nor, Namron, Zul Ariffin, apa yang dapat anda simpulkan?

SASQIA: Saya tak malu untuk cakap saya menumpang populariti mereka sebab pada akhirnya kita saling memerlukan dalam industri.

Kenapa perlu saya menafikan? Apa salahnya saya menimba pengalaman mereka yang sudah lama aktif dalam perfileman. Ia satu peluang besar buat saya.

Malah, Elizabeth Tan yang membawakan watak Dilaila juga pada saya agak menarik dan penonton akan menanti elemen kejutan dan thrill. Saya rasa sepanjang penggambaran, masing-masing bagi komitmen penuh untuk menghabiskan babak yang diamanahkan dengan baik.

HITS: Harapan anda untuk filem ini?

SASQIA: Sudah tentu saya harap penonton akan hadir untuk tonton filem-filem tempatan. Lebih-lebih lagi sejak tahun lalu banyak cerita Melayu yang `pecah panggung’ sekali gus penonton sudah meletakkan kepercayaan tinggi pada kualiti filem kita.

Harapnya juga akan terjadi ke atas Misteri Dilaila. Kalau bukan penonton yang datang sokong filem anak tempatan, siapa lagi?

 

Berjauhan dengan suami

BERSAMA suami, Asyraff Khan yang menjadi penguat semangat.
BERSAMA suami, Asyraff Khan yang menjadi penguat semangat. 

HITS: Sejak mendirikan rumah tangga bagaimana kehidupan anda setelah bergelar isteri?

SASQIA: Alhamdulillah semua okay dan masing-masing masih membiasakan diri. Cuma saya banyak berulang alik dari Malaysia ke Singapura.

Suami tinggal di sana manakala saya pula sibuk dengan kerjaya di sini.

HITS: Suami anda tidak kisah melihat anda sering berulang-alik?

SASQIA: Alhamdulillah saya mempunyai suami yang sentiasa memberi sokongan lebih-lebih lagi terhadap kerjaya.

Suami memiliki syarikat dalam bidang hartanah dan perniagaannya semakin kukuh di Singapura. Tidak adil pula kalau saya mengajak dia berpindah ke Malaysia.

Kadang-kadang suami akan datang ke Kuala Lumpur berjumpa dengan saya. Tak mengapalah penat sekejap, insya-Allah kehidupan kami akan lebih tenang dan sempurna.

HITS: Bagaimana dengan perancangan keluarga andai dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat?

SASQIA: Perancangan Allah sangat cantik. Buat masa ini kami sibuk dengan kerja masing-masing. Kesibukan itu mungkin membuatkan kami kurang masa bersama dan sering berulang-alik dua negara. Kami tidak merancang, kalau dapat anak awal pun saya bersyukur.