Pemergian primadona Mariani atau nama sebenarnya Mariam Ismail, 82, pada malam Selasa lalu ditangisi ramai rakan-rakan industri seni.

Hits yang mendapat perkhabaran mengejut itu terus bergegas ke lokasi arwah menghembuskan nafas terakhirnya di rumah anaknya, Siti Haslinda Abdul Hamid yang terletak di Taman Kosmo Jaya, Sentul, Kuala Lumpur.

Rasa hiba menyelubungi perkarangan rumah tetapi anak-anak Allahyarham seolah-olah reda dengan pemergian ibu tercinta mereka yang biasa dipanggil dengan panggilan manja, mummy.

Menemu bual salah seorang anaknya yang juga seorang pelakon dan pengarah, Melissa Saila berkata, memang permintaan mummy untuk berada di rumah.

“Sebelum ini dia tinggal bersama saya tetapi Sabtu lalu, dia meminta supaya dihantar ke rumah kakak di Sentul.

“Dia tidak mahu ke hospital kerana katanya lebih mudah untuk anak-anak datang jika dia berada di rumah,” jelas Melissa.

Jelas Melissa, pagi sebelum mummy meninggal, dia berada dalam keadaan koma dan seluruh adik-beradik dipanggil termasuk yang berada di Singapura.

“Alhamdulillah, adik-beradik di Singapura sempat hadir dan berada di sisinya kira-kira 45 minit sebelum mummy mengadap ilahi,” jelasnya.

Sesuatu yang menghibakan di saat akhir pemergian arwah seperti yang diceritakan Melissa ialah air mata yang mengalir di mata kiri mummy.

Jauh di sudut hati merasakan mungkin mummy tahu dan sedar anak-anaknya semua sempat berada di sampingnya pada saat akhir kehidupannya.

Tidak banyak amanat yang diwariskan pada anak-anaknya tetapi menurut Melissa, arwah sempat memberitahu supaya adik-beradik lain dapat menjaga anak angkatnya.

Lea Marini adalah anak angkatnya yang berusia 22 tahun dan mummy sangat risau mengenai dia kerana Lea adalah anak paling bongsunya.

Seniwati Mariani mempunyai 13 orang anak hasil daripada tiga perkahwinan. Bersama suami pertamanya dikenali sebagai Darus, Mariani dikurniakan dua anak iaitu Noraini dan Normah.

Perkahwinan kedua pula bersama Syed Hamid Syed Mohammad (H M Rohaizad) dianugerahkan enam anak iaitu Siti Haslinda, Rozita, Syed Herwaini, pasangan kembar Syed Marhain dan Syed Nazran serta Syed Hasnidan.

Bersama suami ketiga, Mohammad Alias, Mariani memperoleh lima anak iaitu Iskandar Mierza, Shahruniza, Ariff Efandi, Kamarul Ariffin dan pelakon serta pengarah, Melissa Saila.

Mariani antara orang yang paling banyak mengetahui kisah perjalanan seni Jalan Ampas terutamanya melibatkan Tan Sri P.Ramlee dan arwah Saloma yang juga merupakan adiknya.

Malah, ramai yang menjadikan Mariani sebagai antara rujukan bagi filem Melayu klasik.

Membintangi hampir 40 buah filem sejak 1952, antara filem yang dilakonkannya ialah Tiga Abdul, Saudagar Minyak Urat dan Setinggan.