Akui Zul, kehilangan dan ketiadaan kasih seorang ibu telah membuatkan dirinya kini berasa ‘kosong’.

Namun biarpun perit menghadapi hari-hari tanpa ibu tercinta sejak tiga bulan lalu, Zul Ariffin bangkit semula mengutip sisa-sisa semangat yang hampir hilang untuk meneruskan kehidupan dengan fasa yang berbeza.

“Saya sangat rapat dengan ibu dan kehilangannya memang memberi kesan mendalam kepada diri saya. Dia adalah sebahagian rutin harian saya kerana apa sahaja yang berlaku kepada diri saya akan dikongsi dengannya.

“Jadi bila dia sudah tiada, sukar untuk saya menerima hakikat yang saya bukan sahaja kehilangan wanita kesayangan tetapi rutin saya juga sudah berubah.

“Saya berada dalam keadaan yang susah untuk memberikan fokus kepada perkara lain.

“Hanya selepas beberapa bulan pemergiannya baru saya boleh (kembali) bekerja,” kata aktor itu berkongsi perasaan.

Menurut Zul, sebelum pemergian ibunya ke rahmatullah, dia sudah merancang untuk membawa wanita kesayangannya itu melancong ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu dan meluangkan waktu senggang bersama-sama malah dia juga sudah merancang untuk menunaikan umrah dengan ibunya itu.

“Sebenarnya saya sudah berniat untuk membawa ibu menunaikan umrah tahun ini. Bagaimanapun selepas dia tidak sihat saya merancang untuk membawanya ke Dubai dahulu untuk berjalan (melancong).

“Mengikut perancangan sepatutnya kami berlepas Januari lalu. Tetapi rancangan itu tidak kesampaian. Sepatutnya dia akan menelefon saya setiap hari. Bagaimanapun pada hari itu, tiada panggilan telefon daripadanya. Memang pemergiannya sangat mengejutkan,” ujar Zul.

Menurut Zul atau Zulkifli Ariffin, 32, tidak ada yang sama lagi selepas ketiadaan ibunya. Walaupun kini dia sudah mampu bekerja namun jauh dalam sudut hatinya kehilangan wanita yang paling disayanginya itu bukan sesuatu yang mudah diterima.

“Ti Amo Sweetheart 100 Hari adalah projek pertama yang saya terima selepas hampir dua bulan kehilangan ibu. Memang nampak saya gelak dan ceria dalam watak itu, ironinya apabila berseorangan saya masih merasainya (kesedihan).

“Perasaan yang saya rasa sekarang memang sukar untuk diterangkan tetapi bayangkan tiada lagi rasa seronok untuk (sambut) hari raya dan balik ke kampung sebab tiada siapa lagi yang akan menyambut kita,” katanya.

Cuba bertanya mengenai status hubungannya dengan aktres Zahirah Macwilson ternyata Zul mengambil keputusan untuk tidak menyuarakan sebarang kenyataan lagi.

Kali ini dia tegas dalam memastikan hanya kerjayanya sahaja yang menjadi bualan umum.

“Tiada yang akan saya kongsikan kali ini. Saya hanya mahu memberi tumpuan kepada kerjaya saya sahaja,” katanya ringkas.

Bukan dalam kawalan saya

KETIKA gambar mesranya dengan Neelofa terus menjadi perhatian pengguna laman sosial, Zul sendiri akui tidak terlintas pada fikirannya untuk mempromosikan gambar sebegitu.

Menjelaskan bahawa dia menghormati pelakon wanita, tentunya ada batas yang perlu dihormati.

“Saya menghormati pelakon wanita sama ada mereka bertudung atau tidak. Sebab kita tidak tahu apa polisi mereka bawa dalam lakonan maka saya akan tanya terlebih dahulu.

“Soal gambar tersebut bukan saya yang mempromosikannya dalam laman sosial dan bukan sesuatu yang boleh saya kawal,” katanya.

Bercakap mengenai kerjasama dengan Neelofa dan bagaimana gabungan dia dan pengusaha tudung terkenal itu kini menjadi perbualan, Zul akui, mudah untuk mencipta keserasian antara mereka.

“Dia seorang pelakon yang sangat bersedia sebenarnya dan saya tidak ada masalah.

“Soal tanda pagar yang diwujudkan peminat untuk nama kami itu, bagi saya ini bukan kali pertama saya laluinya.

“Sebab dengan pelakon lain juga sebelum ini juga pernah terjadi. Seperti yang saya katakan, perkara ini bukan sesuatu yang boleh saya kawal,” katanya aktor yang turut dicalonkan dalam kategori Bintang Filem Meletop menerusi dua buah filem lakonannya, J Revolusi dan Tombiruo: Penunggu Rimba pada Anugerah MeleTOP Era 2018 (AME2018) .

Selain itu dia juga bersaing untuk kategori Pelakon TV Meletop, Filem Meletop dan Drama Meletop pada acara anugerah popular yang bakal berlangsung pada 8 April ini.