Menurut Hans, keputusan tersebut dibuat kerana ingin mengelak berlakunya pertindihan agenda antara peranannya selaku pengerusi Finas dan juga penggiat seni.

“Sebaik bersetuju untuk menduduki posisi penting ini, saya terpaksa melepaskan semua jawatan yang disandang dalam bidang seni termasuklah sebagai pelakon, pengarah dan penerbit.

“Hal ini bagi memberi lebih masa kepada saya agar menumpukan sepenuh perhatian terhadap tanggungjawab yang baru disandang ini.

HANS
 

“Pada awalnya ketika ditawarkan jawatan ini, saya meminta untuk tempoh perkhidmatan selama setahun sahaja.

“Akan tetapi, pihak kementerian tetap mahukan agar saya berkhidmat untuk dua tahun,” katanya yang ditawarkan jawatan tersebut kira-kira empat bulan lalu.

Hans berkata demikian ketika sidang media di pejabat Finas yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri serta Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia, Datuk Norman Abdul Halim. - UTUSAN ONLINE