Selepas hampir lima tahun tidak aktif berlakon, artis cantik ini tidak menafikan ada bahagian dalam hidupnya yang terasa kosong dan suram.

Berjaya meyakinkan suami, Romie Razin Adilha Abd Rais agar memberi keizinan untuknya kembali berlakon, Hanez kini sedang meneliti watak yang sesuai dengan status dirinya sebagai isteri dan ibu.

“Pada mulanya, memang suami saya tidak benarkan saya berlakon sebab dia tidak yakin karier ini sesuai untuk saya selepas berkahwin.

“Tetapi selepas sekian lama memujuk dan menjelaskan wanita bertudung juga mampu berlakon tanpa melanggar batas akhirnya baharu dia setuju.

“Sebab kalau kita lihat ramai sahaja pelakon wanita yang dah bertudung mampu membawakan apa-apa pun watak,” katanya yang kini juga menjadi duta kepada sebuah produk kosmetik.

Mengakui terlalu rindu untuk berada di hadapan kamera, kata Hanez ada suatu ketika dia turut meminta suaminya sendiri yang melaburkan modal bagi mencari skrip yang sesuai untuk dirinya.

“Saya tidak nafikan memang saya merindui dunia lakonan. Selepas berkahwin saya mengambil masa yang agak lama untuk meyakinkan suami yang dunia lakonan ini sudah sebati dengan saya.

“Namun ia bukan bermakna saya akan terus berlakon sampai bila-bila, cuma bila perasaan itu datang sukar saya hendak jelaskan kepada dia.

“Malah ada suatu ketika saya turut meminta dia sendiri yang mencari skrip yang sesuai untuk saya. Lagi pun dalam waktu sekarang, saya ingin memastikan penglibatan semula dalam bidang ini berbaloi dengan watak dan status saya sebagai isteri dan ibu,” kata Hanez lagi.

Mahu watak berbeza

MASIH menjadi pilihan beberapa pengarah, Hanez akui ada tawaran yang terpaksa ditolak atas beberapa faktor. Enggan terus dikaitkan dengan watak antagonis, kata Hanez dia mencari watak berbeza yang mampu menguji dirinya.

“Memang ada tawaran tetapi watak yang diberikan sama seperti sebelum ini. Bukan bermaksud saya tidak mahu bawakan watak antagonis tetapi biarlah lain sedikit. bukan sama seperti sebelum ini.

“Kalau boleh saya mahukan watak yang lebih mencabar, dalam erti kata lain yang mampu menguji diri saya,” kongsinya.

Dalam keadaan dirinya mengandung empat bulan, jelas Hanez, 34, dia terpaksa melupakan dahulu niatnya untuk membuat kemunculan semula. Bagaimanapun dia tidak menolak tahun ini bakal memberi sinar baharu buat karier lakonannya.

“Memang ada tawaran yang datang tetapi saya terpaksa tolak sebab mengandung anak kedua. Jadi saya terpaksa tolak kerana kehamilan kali ini agak berbeza dan saya mabuk teruk.

“Ikutkan takut 2019 memang permulaan yang baik sebab tawaran menjadi duta produk dan berlakon datang serentak. Apa pun saya akankembali ke dunia lakonan selepas melahirkan anak kedua nanti,” katanya.