“Berbanding isteri, sebenarnya apabila menjadi seorang ibu, saya lebih matang. Sebelum jadi ibu, saya masih boleh minta suami ikut kerenah saya.

“Apabila sudah jadi seorang ibu, situasinya berbeza sebab saya perlu pula melayan kerenah anak. Sebelum ini, tak pernah sangka kita boleh letak orang lain dahulu daripada diri kita.

“Tetapi apabila sudah ada anak, baru kita rasa semua itu,” katanya.

Berkongsi pengalaman melahirkan Ayra Aneesah pada 22 Ogos lalu, Ummi Nazeera atau Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainal Abidin, 28, berkata, ujian bermula apabila dia mengalami pendarahan ketika usia kandungannya lima bulan.

Selain perlu berehat panjang, dia juga terpaksa melahirkan anaknya pada usia kandungan 34 minggu melalui pembedahan.

“Lain orang lain cabaran. Saya akui, kadangkala apabila terfikir kembali perkara itu, memang takut jika suatu hari nanti akan melalui perkara yang sama lagi.

“Namun saya terima ujian ini dan berlapang dada dengan pengorbanan yang perlu saya lalui untuk bergelar seorang ibu. Malah ketika berada di hospital tempoh hari, ramai lagi ibu seperti saya yang menghadapi pelbagai ujian yang jauh lebih berat.

“Jadi apabila lihat keadaan itu membuatkan saya lebih bersyukur,” jelasnya.

Masih kekok dengan tugas dan tanggungjawab besar ini, Ummi Nazeera yang juga isteri kepada Dr Mohd Izzar Anwari Abdul Khani, 31, akui bukan mudah untuk membesarkan anak.

Setiap hari ada sahaja perkara baharu yang dipelajari, Ummi Nazeera amat bersyukur kerana melaluinya semua itu dengan sokongan suami dan keluarga.

“Melalui hari-hari anak kembung perut, tidak boleh tidur malam dan sebagainya, itu antara perkara baharu untuk saya. Memang ikutkan perkara sebegini boleh buat kita sangat letih tambahan pula kalau perlu bekerja.

“Namun melegakan apabila menerima sokongan daripada suami dan keluarga. Saya tidak ada masalah untuk keluar sebab keluarga boleh ambil tanggungjawab untuk menjaga Ayra sepanjang saya keluar bekerja.

“Cuma kalau sudah dijadualkan untuk beri komitmen dari awal, saya tiada masalah. Bagaimanapun akan jadi masalah kalau tidak diberitahu lebih awal,” katanya.

Cukup terbuka berkongsi kisah kehamilan dan kelahiran anaknya itu dalam laman sosial, Ummi Nazeera tidak melihat ada masalah untuknya terus berbuat demikian.

Malah ketika ini Ayra juga sudah mempunyai laman sosialnya sendiri sama seperti kebanyakan anak selebriti lain. Sentiasa melihat peluang yang tiba, Ummi juga tidak akan menolak jika ada rezeki buat anaknya itu.

“Sejujurnya sebagai ibu saya tiada masalah untuk berkongsi gambar anak dalam laman sosial. Malah jika ada peluang untuk dia ‘bekerja’ lebih awal juga tidak ada masalah.

“Kerana melalui itu juga boleh mendidik dia tentang nilai wang dan erti penat lelah bekerja. Bagaimanapun pada usianya ini perlu ada had,” katanya.

Gol & Gincu Vol. 2

SEDANG sibuk mempromosikan filem terkini lakonannya, Gol & Gincu Vol. 2, Ummi Nazeera akui tidak tertekan malah berbangga dengan pencapaian dan kebangkitan beberapa filem Melayu sejak kebelakangan ini.

“Soal tekanan memandangkan banyak filem lain mendapat kutipan yang bagus, rasanya tidak ada. Sebab saya dan seluruh pasukan penerbitan sudah berusaha memberikan yang terbaik,” katanya.

Bercakap mengenai lakonannya dalam filem tersebut, Ummi Nazeera memberitahu, walaupun jenama filem itu sudah cukup kuat berikutan kejayaan filem musim terdahulu, namun karya lakonannya itu menampilkan sesuatu yang segar.

“Jenama filem orang sudah tahu tetapi penceritaan dalam filem ini adalah sesuatu yang baharu dan segar. Sebab tidak ada kena-mengena dengan filem sebelum ini.

“Bekerja dengan (Datin) Diana Danielle pula, sebenarnya kami memang sudah lama saling mengenali dan peluang untuk bekerjasama dengannya dalam filem ini membuatkan kami lebih rapat,” katanya.

Gol & Gincu Vol. 2 turut dibintangi Syafiq Kyle, Aedy Ashraf, Sharifah Amani dan Sazzy Falak. Filem arahan Umi Salwana Omar ini ditayangkan di pawagam bermula 25 Oktober lalu.

Anak fokus utama

MASIH dalam fasa untuk menyesuaikan diri sebagai ibu, ternyata komitmen kepada bidang seni bukan perkara utama yang perlu diberi perhatian kini.

Namun jelasnya, itu bukan bermakna dia perlu meninggalkan bidang yang diminatinya itu semata-mata demi memberi tumpuan untuk membesarkan cahaya matanya itu.

“Saya tidak terfikir lagi soal lakonan buat masa ini, namun bukan bermakna saya mahu meninggalkan bidang ini. Soal lakonan masih sama, malah suami juga tidak ada masalah.

“Cuma kalau tidak melibatkan waktu yang panjang seperti pengacaraan misalnya, rasanya tidak ada masalah,” katanya lagi.

Cukup menghargai peluang yang terus hadir dalam bidang lakonan, Ummi Nazeera pada masa sama turut mempersiap diri selepas melahirkan anak pertamanya terutama untuk menurunkan berat badan.

“Berat badan saya naik 12 kilogram ketika mengandung, selepas itu bila melahirkan anak secara pembedahan agak susah sedikit untuk melakukan senaman.

“Jadi saya hanya ikut aturan pantang selama 40 hari, selepas beberapa minggu baru dapat buat senaman ringan. Tapi harus diakui bukan mudah sebenarnya untuk menurunkan berat badan selepas melahirkan anak.

“Ketika ini berat saya hanya turun tujuh kilogram sahaja,” jelasnya lagi.