Berjaya merangkul tempat ketiga dalam program realiti Bintang RTM 2018 (BRTM 2018) yang berlangsung minggu lalu, anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu mahu meneruskan cita-citanya bergelar penyanyi.

“Saya menjadikan Allahyarham Sudirman sebagai idola. Walaupun dia seorang peguam namun tetap berjaya sebagai seorang penghibur dan sehingga ke hari ini lagu-lagu nyanyiannya menjadi siulan semua peringkat usia.

“Seboleh-bolehnya, saya cuba imbangkan kedua-dua kerjaya ini supaya tidak mendatangkan masalah kepada saya kelak,” katanya.

Menurut Dr. Hafiz, peluang menyertai BRTM 2018 membuka satu laluan luas buatnya menonjolkan bakat sebagai seorang penyanyi dan sanggup bersengkang mata mempelajari teknik nyanyian yang betul.

“Sejujurnya saya langsung tidak pernah mengikuti kelas formal untuk mengetahui cara nyanyian yang betul. Hanya setelah layak bergelar peserta BRTM 2018, barulah saya berpeluang belajar semua itu selain merujuk laman YouTube.

“Alhamdulillah, tak sangka sangkut di tempat ketiga apatah lagi finalis lain sudah berpengalaman dan berpengetahuan,” tambah jejaka tinggi lampai itu.

Pada masa yang sama, Dr. Hafiz bersyukur kerana impiannya untuk memiliki sebuah single ditunaikan oleh Akim Ahmad atau nama penanya, Hang Nadim dengan menghasilkan lagu Percaya Kasihmu.

Merupakan sebuah lagu pop balada, Dr. Hafiz meletak harapan menggunung agar kehadirannya diterima sebaik mungkin oleh peminat tempatan.

“Kalau boleh beri peluang seadil-adilnya buat semua penyanyi baharu untuk menyerlahkan bakat mereka kepada umum,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE