Beliau yang lebih dikenali sebagai Deejay Dave merupakan seorang penyampai radio berbangsa India mengendalikan Segmen Hello Johor pada setiap Khamis dan Jumaat bermula dari pukul 6 hingga 10 pagi dalam bahasa Melayu.

Hari ini merupakan hari terakhir suara Dave berkumandang ke udara di Johor FM yang bermotokan Permata Selatan sebagai penyampai radio dalam bahasa Melayu setelah berkhidmat selama 37 tahun dengan badan penyiaran itu.

Sewaktu melangkah keluar dari konti dengan berat hati untuk kali terakhir dapat dirasakan hanya jasadnya yang melangkah tetapi jiwa dan hatinya masih berada malah terus ‘tinggal’ dalam konti yang sudah menjadi ‘dunianya’ sejak lebih tiga dekad lalu.

Beliau yang bersara pada hari ini terharu dan beremosi kerana akan meninggalkan konti buat selama-lamanya namun tidak akan meninggalkan dunia pengacaraan dan penyampaian kerana sudah sebati serta menjadi darah dagingnya.

“Saya akan meneruskan kerjaya sebagai pengacara bebas selepas ini selain terlibat dengan program lain. Ada antara peminat yang meminta saya kekal dan terus berceloteh sebagai penyampai radio Johor FM tetapi saya sudah bersara secara rasmi pada hari ini.

“Saya harap teman-teman yang ada meneruskan perjuangan dan khidmat terbaik kepada pendengar Johor FM,” pesan bapa kepada lima anak itu ketika ditemui pemberita di konti stesen radio tersebut di sini sebentar tadi.

Menceritakan mengenai dirinya, beliau yang merupakan anak kelahiran Kahang, Kluang itu mula terlibat dalam bidang penyiaran pada 11 April 1982 di Radio Televisyen Malaysia (RTM) berkhidmat sebagai pembantu juruhebah untuk Rangkaian Merah (bahasa Tamil) sehingga 1989.

Kemudian pada 1989 katanya, memulakan karier sebagai juruhebah radio menerusi Rangkaian Nasional (bahasa Melayu) hingga menambat hati pendengar Melayu dan bukan Melayu walaupun pada mulanya agak janggal kerana slanga Tamilnya masih tebal semasa bersiaran dalam bahasa Melayu.

“Selepas seminggu, pengarah (pada ketika itu) berjumpa saya mengatakan saya bukan berkhidmat untuk rangkaian Tamil lagi dan minta saya menajamkan penguasaan bahasa Melayu kerana menjadi penyampai radio Rangkaian Nasional.

“Saya terkejut, tetapi bangga. Mula-mula dapat teguran juga daripada pendengar ketika bertugas dalam Rangkaian Nasional kerana ada slanga bahasa Tamil. Tapi saya berjenaka dengan beri alasan saya ‘hari-hari makan kari’ (metafora),” ujarnya sambil ketawa.

Dave yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Kahang dan bukannya sekolah jenis kebangsaan Tamil berazam membaiki sebutan dan akhirnya berjaya petah berbahasa Melayu hingga ada dalam kalangan pendengarnya tidak menyedari beliau bukan Melayu.

Beliau kemudiannya meneruskan pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Jalil, Kluang dan SMK Sultan Ismail, Johor Bahru sebelum mengikuti program komunikasi massa di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, kini mempunyai peminatnya yang sendiri.

Mengimbau semula permulaan dan bakat sebagai juruhebah radio, beliau menceritakan semuanya bermula sejak kecil lagi sebelum keluarga terutama abangnya menjadi pendorong kuat hingga berjaya sampai ke hari ini.

“Semuanya bermula semasa saya kecil menghadiri majlis kenduri kahwin, apabila ternampak sahaja mikrofon terus saya capai dan bercakap melaluinya, kemudian barulah saya sedar bakat yang ada sebelum menggilapnya,” katanya.

Dave yang juga fasih berbahasa Inggeris dan Mandarin serta berjaya membina hubungan istimewa dengan pendengarnya pernah meraih beberapa pencapaian khususnya Anugerah Media Johor (KMJ) selain mendapat pengiktirafan daripada RTM sebagai pengulas Sukan terbaik semasa Sukan Asia Tenggara di Jakarta pada 1997.

Beliau juga pernah bertugas sebagai wartawan RTM di negeri kelahirannya pada 2009 yang memberi pengalaman baharu baginya sebelum bertugas kembali ke udara dua tahun selepas itu sehingga bersara. - UTUSAN ONLINE

Habis.