Bagi penyanyi yang terkenal dengan irama muzik jazz dan Rhythm & Blues (R&B), Datuk Sheila Majid, ada sebab untuk dia mengucup rasa syukur dan bangga berganda-ganda. Minggu lalu, suami tersayang, Hashridz Murshim Hassim atau Acis yang merupakan komposer lagu telah menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang sekaligus membawa gelaran Datuk.

Majlis yang berlangsung pada

24 November lalu adalah bersempena ulang tahun keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang ke - 85 di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang.

Sheila yang ditemui pada majlis pelancaran lagu tema filem Sinaran berjudul Sinaran Cinta di Red Box, The Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini bersyukur di atas kurniaan darjah kebesaran kepada suaminya.

Datuk Acis menerima gelaran berkenaan selepas Shila sendiri menerimanya pada 2009 di lokasi yang sama.

“Ya sudah tentu, sebagai isteri saya sangat berbangga. Syukur kepada Allah, itu adalah rezeki, apa yang dia lakukan selama ini akhirnya diberikan penghormatan tinggi oleh pihak Istana. Segala jerih perih yang pernah dia lalui semuanya terbalas jua akhirnya. Saya juga terharu dan terkesan sekali, malah turut menemaninya ke Istana untuk acara penganugerahan.

“Suami saya hanya diberitahu akan menerima pingat daripada Sultan Pahang lima hari sebelum majlis istiadat berlangsung. Kami sangat teruja dan berterima kasih atas pemilihan berkenaan.

“Diperakui hanya kerajaan negeri Pahang sahaja yang banyak memberi pengiktirafan kepada insan seni-insan seni seperti kami, syukurlah. Dengan anugerah itu ia menjadi satu pemangkin agar dapat terus menyumbangkan karya dalam memajukan industri hiburan,” ujarnya sambil mengukir senyuman manis.

Lagu sekarang tidak puitis

ANTARA Anyer dan Jakarta, Warna, Jelingan Manja, Legenda dan Dia kekal releven dengan keadaan sekarang, diminati tua dan muda. Sudah berada dalam gelanggang seni selama 30 tahun, pemilik nama penuh Shaheila Abdul Majid ini menganggap lagu sekarang tiada yang boleh dibanggakan. Bukan mahu menjatuhkan semangat karyawan seni semasa, namun Sheila lebih suka membuat perbandingan agar menjadi teladan yang baik kepada semua.

“Ambil contoh waktu kita tengah memandu untuk ke destinasi,kemudian terdengar lagu dalam radio, terus ada persoalan di kepala yang berlegar bertanyakan, eh ini lagu siapa? Terus rasa nak cari album dan beli. Itu dahulu.

“Tapi lagu sekarang ini tiada satu pun yang mudah diingati, tidak puitis. Saya bukan cuba untuk mematahkan semangat karyawan sekarang tetapi jika anda sendiri selidiki apa yang lompong, maka anda akan tahu jawapannya.

“Bukankah seorang penggiat seni itu perlu membuat lagu yang orang mudah ingat? Muzik Asia ada hadnya, tidak boleh kedengaran seperti Barat. Seeloknya biar ada unsur nasihat, semangat dan mesej yang bersesuaian untuk beri elemen positif pada pendengar, itu yang orang kita kehendaki,” katanya memberikan pendapat bernas.

Tidak salah untuk Sheila mengaku betapa lagu sewaktu kegemilangannya dan teman-teman lebih menyengat selepas berpuluh-puluh tahun diterbitkan. Buktinya himpunan lagu-lagunya masih lagi menjadi kegemaran stesen radio tempatan untuk diputarkan.

“Pendapat sayalah, tak salah kalau nak cakap lagu-lagu di era zaman saya lebih menyengat. Mungkin sebab generasi baru kini lebih gemarkan kelainan muzik pelbagai sesuai dengan arus masa. Saya akui generasi baru bebas untuk memilih muzik yang mereka minati tanpa batasan. Tapi kita perlu beri nilai murni kepada pendengar. Penyanyi itu merupakan penyampai cerita, maka seeloknya biarlah lirik tersebut jelas dan sesuai dengan halwa telinga,” tuturnya lagi.

Tak bantu Kayda

Mengulas lanjut mengenai pembabitan anak sulungnya dalam bidang nyanyian, Kayda yang memilih muzik Hip-Hop sebagai imej yang nyata berbeza dengan muzik si ibu, Sheila langsung tidak menghalang minat anaknya.

Kayda,24, atau nama Wan Nur Khaleda atau nama pentasnya, merupakan anak sulung hasil perkahwinan Sheila bersama Roslan Aziz yang juga merupakan pemuzik terkenal tanah air. Dia kini sudah memiliki beberapa single terbaharu antaranya Go Hard or Gostan dan Gucci Dowh. Melihatkan kegigihan anaknya itu, Sheila sendiri tidak mahu menghalang minat anaknya untuk aktif dalam bidang seni.

Malah, Sheila tidak pernah mengajar anaknya itu memilih jalan mudah dengan hanya menggunakan gelaran sebagai ‘anak penyanyi’ dalam membantu karier nyanyian.

“Saya tak bagi dia apa-apa bantuan untuk dia bergelar penyanyi. Apa yang ada lihat dan dengar, itu adalah hasil usahanya sendiri. Saya tak pernah sesekali ajar dia untuk cari jalan mudah nak jadi penyanyi. Biar dia hargai sendiri momen susah payah nak menjadi penyanyi sebelum dikenali.

“Kayda tak rasa kecil hati bila saya tak tolong dia sebab kami sudah berbincang mengenai ini dan dia okay. Saya memang tak beri tunjuk ajar, semua dia buat sendiri,”ulasnya yang berbangga dengan disiplin yang ditunjukkan Kayda.

 

Terharu dengan Sinaran

Rasanya belum pernah lagi lagu-lagu legenda penyanyi tempatan diambil untuk dijadikan sebuah filem muzikal. Namun Sheila cukup bertuah kerana karyanya dihargai dengan kemunculan filem Sinaran.

Sebanyak sembilan buah lagu hits nyanyian Shiela menjadi inspirasi untuk filem yang julung kali diterbitkan.

“Saya sangat berbesar hati dan berterima kasih kerana memilih himpunan lagu saya untuk dijadikan pencetus idea untuk sebuah filem yang indah.

“Memang dah lama pihak filem muzikal ini berjumpa dengan saya dan menawarkan untuk jadikan lagu saya ini dalam filem terbaharu mereka.

“Kevin Chin selaku penerbit filem dan runut bunyi album Sinaran ada bertanya beberapa tahun lalu. Tapi sangka ia benar-benar menjadi realiti.

“Susunan lagu saya diberi nafas baru dan dinyanyikan oleh penyanyi lain. Saya tidak terlibat secara langsung sebab saya percaya dengan kredibiliti Kevin,”ulasnya.

Malah, Sheila turut menyanyikan single terbaharu berjudul Sinaran Cinta hasil ciptaan Kevin sendiri yang turut ada dalam filem berkenaan.

“Sinaran Cinta ini boleh dikatakan buah tangan terbaharu buat peminat. Sudah tentu lagu ini akan turut tersenarai dalam album terbaharu akan datang.

“Saya inginkan album seterusnya nanti menjadi sesuatu yang istimewa sebagai penanda aras bertahan selama 30 tahun dalam industri,” katanya mengakhiri perbualan.