Malah pelakon drama Cinta Bukan Kristal itu juga kesal dengan penularan video nakal oleh warganet yang menyerupai suaminya, pemain bola sepak Kuala Lumpur, Zaquan Adha Abdul Radzak, yang dirasakan tidak patut dikongsikan kepada umum.

Menyifatkan video itu adalah hak peribadi mereka yang seharusnya tidak ‘bocor’, Ayu yang juga adik kepada aktres jelita Rozita Che Wan tidak menyangka video terbabit boleh ‘terlepas’ hingga tular dalam alam maya.

“Saya orang pertama yang tahu selepas video itu tular di internet. Reaksi kami ketika itu hanya ketawa dan kelu untuk berkata-kata.

“Menyedari video mirip suami saya itu menjadi bahan perkongsian warganet memberi pengajaran paling besar dan bermakna buat saya agar lebih berhati-hati dan jangan mudah percaya dengan orang luar.

“Saya sendiri tak sangka ruang privasi diceroboh walhal itu adalah isu yang sangat sensitif kerana berkaitan dengan hal dalaman rumah tangga kami.

“Cukup-cukuplah memalukan kami dan rakan-rakan artis yang turut pernah menjadi mangsa penularan video lucah sebelum ini,” luahnya.

Semuanya bermula apabila telefon bimbit milik Ayu berlaku kerosakan hingga terpaksa dihantar ke kedai bagi mengenal pasti komponen yang rosak sebelum dibaiki.

Jelasnya, dia tidak sempat untuk membuat salinan semua foto dan video peribadi yang ada dalam simpanan telefon bimbit tersebut kerana telefonnya tidak berfungsi melainkan perlu diformat semula.

“Orang kedai kata kena format tetapi semua dokumen dan foto kenangan dalam telefon tidak dapat diselamatkan.

“Sedih jugalah sebab banyak gambar kami dengan anak-anak dalam telefon hilang macam itu saja.

“Memang telefon saya tak dapat dihidupkan melainkan perlu dihantar ke kedai untuk dibaiki. Saya pula tidak menyangka telefon tiba-tiba buat ‘hal’ sampai rosak,” ungkapnya.

Tambah Ayu, dia tidak mahu menuding jari kepada sesiapa, namun menegaskan perbuatan yang dilakukan itu adalah tidak amanah dan amat tidak bertanggungjawab.

Malah dia memilih untuk tidak memberikan sebarang reaksi berkenaan kontroversi terbabit kerana mahu menjaga hal rumah tangganya.

“Saya ada hak untuk tidak perlu mengiya atau menidakkan kerana isunya sangat sensitif yang melibatkan hal rumah tangga.

“Isu ini antara saya dan suami. Saya memilih untuk tidak mahu bercakap lebih lanjut akan hal ini.

“Saya mahu menjaga air muka suami dan pada masa sama, tidak mahu membuka pekung kisah rumah tangga kami berdua.

“Cuma yang boleh dikatakan, orang bertanggungjawab menyebarkan video itu seharusnya menghormati hak peribadi orang lain,” katanya dengan nada kesal.

Sementara itu menurut bintang filem Lagenda Budak Setan 3 ini, suaminya sudah membuat laporan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan selanjutnya.

“Ya, suami pun tidak berdiam diri dengan perkara yang telah terjadi. Untuk mengelakkan perkara yang lebih tidak elok berlaku, dia telah membuat laporan di SKMM.

“Ekoran daripada video itu,reputasi suami tercalar. Kasihan jugalah apabila melihat dia menjadi mangsa tidak bermoral orang lain.

“Dia pun baru sahaja pulih daripada kecederaan lalu dan sedang giat membina semula namanya dalam liga bola sepak,” kongsinya.

Anak-anak semakin bijak

BERTEMU dengan Ayu ketika pelancaran sistem keselamatan dan pendidikan kanak-kanak di Smart Reader baru-baru ini, Ayu turut ditemani dua anak lelakinya yang juga bersekolah di tadika tersebut di Seremban, Negeri Sembilan.

Berkongsi pencapaian anaknya sejak dimasukkan ke prasekolah itu setahun lalu, Ayu berkata, anak-anaknya sudah mampu mengenal abjad serta membaca.

“Memang sejak awal saya mahu masukkan anak-anak ke tadika ini kerana anak-anak kakak saya juga pernah belajar di tempat sama.

“Alhamdulillah, Qaiser dan Aryann menunjukkan perkembangan yang baik. Mereka sudah pandai mengenal huruf dan membaca.

"Malah anak-anak sudah mula belajar surah Al-Fatihah dengan baris sekali,” katanya yang mengakui percaya dengan pencapaian tadika itu yang mendidik pelajar menguasai pelajaran mengikut silibus yang diterapkan.

Dalam pada itu, Ayu melahirkan rasa simpati dengan beberapa kejadian kanak-kanak yang menjadi mangsa dera dan kekasaran guru tadika.

“Sebagai ibu, mestilah saya rasa sedih dan bersimpati apabila cerita-cerita tentang kes penderaan kanak-kanak yang dihantar ke pusat asuhan dan tadika didera tanpa belas kasihan seperti yang didedahkan dalam laman sosial.

“Sedih dan geram bila ada yang sanggup mengasari anak orang lain. Bayangkan kita jaga anak sendiri dengan penuh kasih sayang, orang lain pula senang-senang nak dera.

“Sebab itulah, saya sangat pentingkan kawasan persekitaran yang selamat untuk anak saya sebelum lepaskan mereka ke tadika,” katanya lagi.

Tak perlekeh rezeki kehamilan

WALAUPUN keadaan fizikalnya sarat mengandung enam bulan, masih ada lagi sebilangan warganet yang memperkata tentang kehamilannya.

Rezeki Ayu apabila diberikan peluang untuk hamil kali keempat pada saat anak ketiganya baharu berusia setahun, ramai yang mempersoal tentang penjagaan kesihatan dalamannya.

Ibu kepada Muhammad Aisy Qaiser, 5; Muhammad Aisy Aryann, 4; dan Laura Zulaykha, 1, itu tidak mahu mengusutkan fikiran bimbang mempengaruhi emosi dan keadaan dirinya yang sedang hamil.

“Saya jenis orang yang jarang baca komen-komen dalam media sosial. Sebab biasanya semua negatif daripada positif jadi lebih bagus saya tak baca. Tetapi tak dinafikan ada juga yang meninggalkan komen yang baik.

“Sejak saya umumkan kehamilan dalam Instagram baru-baru ini, saya sudah duga akan ada bercerita tentang hal ini.

“Untuk pengetahuan semua, saya sentiasa merujuk kepada doktor pakar berkenaan hal kesihatan. Jadi usahlah bimbang tentang saya.

“(Biarpun) Orang kata rahim belum pulih sepenuhnya sudah mengandung lagi (tapi) Tuhan beri saya rezeki, takkan saya nak tolak?” katanya yang tidak kisah jantina bayi yang bakal lahir pada Februari tahun hadapan.