Pada awalnya kelihatan relaks, jelas seakan dia sedang berperang dengan perasaan sendiri apa lagi dalam kesedaran bahawa dia perlu menyusun jawapan dengan penuh hati-hati.

“Bukan apa, bimbang orang tersalah anggap,” katanya ringkas sebelum menarik nafas panjang membentang pandangan.

Tahu isu panas ini sedang hangat diperkatakan, Uqasha tenang menepis komen negatif yang mengaitkan tindakan Emma itu dengan dirinya.

 

Maklumlah, sebelum ini Uqasha pernah melakukan kekhilafan yang sama apabila membuat keputusan enggan lagi berhijab selepas berbuat demikian pada tahun 2014.

“Saya tidak salahkan orang pun. Biasalah, apabila seseorang itu melakukan sesuatu dan kemudian selang lima tahun ada orang lain melakukan yang serupa, masyarakat akan teringat akan kejadian lalu.

“Di mana-mana pun orang tetap akan kaitkan. Tetapi jangan sampai kata-kata itu memudaratkan sesiapa sudahlah. Kena ingat, pahala dan dosa setiap orang itu berbeza,” katanya.

Tidak sekelumit pun berbangga diri dengan khilaf itu, Uqasha menganggap dia tidak berupaya untuk menjelaskan apa-apa kerana merasakan masing-masing mempunyai bahagian ujian tersendiri.

Berharap orang ramai berhenti mengaitkannya dengan sesiapa, pelakon berusia 25 tahun ini juga melihat tiada gunanya untuk semua orang menuding jari pada dirinya.

“Kenapa nak salahkan saya? Bukan saya yang sengaja menjadikan kesalahan itu sebagai satu trend. Tidak terlintas langsung di hati atau akal fikiran sebegitu sekali.

“Memang nampak sama, tetapi kesalahan itu adalah pada diri masing-masing. Memang saya buka tudung dan mungkin sudah melalui dugaan itu sebelum ini.

“Tetapi ia bukan tiket untuk orang lain mengheret masalah atau dosa orang lain pada saya,” tambahnya.

REZEKI

MASIH belajar untuk sentiasa bersangka baik dengan setiap ujian yang dilalui, Uqasha yang baharu sahaja pulang daripada mengerjakan umrah awal tahun lalu mengaku mahu lebih bersikap positif.

Biarpun ramai mencemuh atau mengkritik, dia mahu lebih berlapang dada dan bersyukur kerana masih berpeluang mencari rezeki dalam bidang yang dikerjakan.

Tidak menolak selepas pulang dari umrah rezekinya semakin mencurah, Uqasha juga merasai banyak perubahan positif.

“Terbaru saya dilantik sebagai duta produk kecantikan berjenama C-Clean Pearl Serum dan insya-Allah akan cuba memberikan komitmen sebaiknya selama tiga bulan ini.

“Alhamdulillah, tawaran lakonan drama, filem dan pengacaraan pun ada untuk tahun ini. Saya rasa, sejak pulang dari Tanah Suci Mekah tempoh hari, semua urusan dipermudahkan oleh-Nya,” katanya.

Enggan terlalu berbicara mengenai pengalamannya di Mekah, kata Uqasha cukuplah untuk orang ramai tahu bahawa dia merasa tenang sepanjang mengerjakan ibadah di sana.

“Bukan tak mahu bercerita, tetapi sekali lagi saya bimbang andai disalah anggap riak dan sebagainya. Lagipun saya pergi kerana beribadah,” katanya.

Mengulas pertanyaan sama 
ada dia memasang hajat untuk kembali memakai hijab selepas ini, pelakon drama bersiri Spanar Jaya X ini tidak menolak perkara baik itu.

Cuma baginya, andai kata pintu hatinya kembali terbuka untuk mengenakan hijab, biarlah perkara itu dilakukan dengan penuh keikhlasan.

“Ia satu perkara wajib, saya tahu. Tetapi saya tak mahu memakainya kerana situasi, kerana bersedih atau apa. Saya percaya hidayah Tuhan tu ada dan bila-bila masa sahaja andai Dia mahu berikan, ia akan datang. Doalah yang baik-baik,” katanya.

NAK MARAH SAMPAI BILA?

DITANYA sama ada dia marah apabila namanya terkait dengan isu Emma, Uqasha sedar bersikap rasional adalah lebih baik berbanding melenting tanpa asas.

“Pada saya mengarut untuk orang meletakkan kesalahan orang lain pada saya. Tapi tak apalah, kadangkala saya faham, yang berkata-kata itu pun ada yang tidak berfikir panjang.

“Malah ada antaranya pun budak-budak. Kalau orang yang cerdik pandai, mereka tidak akan sesuka hati menghukum orang dan tahu situasi yang mana setiap orang akan ada ujian masing-masing,” katanya.

Tiada sebab untuk marah, Uqasha juga tahu meski kontroversinya telah lama berlalu, sehingga sekarang tetap sukar menutup cemuhan orang.

“Kalau nak marah pun sampai bila? Orang luar nak cemuh pun setakat itu sahajalah. Lambat laun nanti mereka akan berhenti dengan sendirinya,” jelasnya.