Masakan tidak, sehingga kini ada sahaja pihak yang menggunakan dialog Mas Idayu yang tular “ada nampak mummy happy?”, namun itu semua kisah lama yang tidak mahu lagi Baby Shima ungkapkan.

Sekali lagi bertanding dalam program realiti, Big Stage ada ura-ura mengatakan penglibatan penyanyi berusia 26 tahun ini semata-mata untuk menaikkan jumlah tontonan program baharu terbitan Astro itu.

Selain Baby Shima, 10 bintang muda yang terlibat adalah Ariff Bahran, Afieq Syazwan, Andi Bernadee, Syafiq Farhain, Tajul, Fara Hezel, Sarah Suhairi, Sissy Imann dan Wani Kayrie.

Malah pastinya ramai peminat yang ternanti-nanti gelagat juri dan juga kebolehan bakat nyanyian Baby Shima yang sebelum ini mendapat kritikan ramai ketika terlibat dalam DAA3.

Berbicara dengan penyanyi kelahiran Johor Bahru, Johor ini, dia merungkai setiap satu persoalan. Ikuti temu bual Mega HITS dengan penyanyi yang popular dengan gelaran Ratu Smule ini.

MEGA HITS: Tahniah terpilih bertanding dalam program Big Stage. Apa yang membuatkan Baby Shima kembali bertanding dalam program realiti?

BABY SHIMA: Ini adalah peluang keemasan yang tidak seharusnya dilepaskan sama sekali. Lagipun pertandingan realiti di sini dan Indonesia sangat berbeza. Pengalaman juga pasti berbeza.

Mungkin ada pihak yang mempertikaikan penglibatan Baby Shima. Kenapa perlu sertai program realiti lagi?

Seperti yang saya katakan, selagi ada peluang saya perlu berusaha. Saya sentiasa mencuba untuk menempatkan diri dalam industri apatah lagi dengan persaingan yang sedia ada.

Bakal bersaing dengan Andi Bernadee, Sissy Iman dan Wani Kayrie yang dikenali kerana kemantapan vokal mereka, adakah nama-nama itu adalah saingan untuk Baby Shima?

Saya rasa semua peserta termasuk nama-nama yang disebut mempunyai kekuatan masing-masing. Kita tak boleh memperkecil mana-mana peserta kerana mereka belum tunjuk taring masing-masing.

Bagi saya, Sarah Suhairi juga merupakan pencabar kerana keunikan suaranya. Namun saya tak boleh ambil mudah dan perlu sentiasa memperbaiki serta memantapkan vokal dan persembahan saya.

Tular dalam media sosial gara-gara dimarahi ketika DAA3, adakah penglibatan Baby Shima dalam Big Stage sekadar untuk memperguna populariti isu tersebut?

Saya tidak lihat penglibatan saya sebagai satu agenda bagi menaikkan rating program tersebut. Kalau tengok barisan artis yang ada, masing-masing mempunyai peminat tersendiri.

Lagipun isu itu sudah lama dan saya sendiri melalui pelbagai proses uji bakat sebelum sampai ke peringkat 10 terbaik. Semua peserta melalui uji bakat yang sama jadi tidak ada isu diperguna.

Dengar cerita, jadual Baby Shima padat di Indonesia. Bagaimana mahu membahagikan masa?

Saya sudah maklumkan perkara tersebut sejak awal lagi dan saya sendiri perlu bijak membahagikan masa. Jadual saya memang padat terutama di Indonesia jadi saya terpaksa berulang alik untuk program tersebut.

Gugup untuk kembali bertanding dalam program realiti?

Juri-juri ketika program DAA3 tegas dan mereka sangat lantang apabila bersuara. Tapi berbeza dengan juri-juri di Malaysia. Lagipun, saya boleh belajar lebih banyak daripada komen dan kritikan.

Kita tengok senang tetapi sebenarnya susah untuk menyanyi di hadapan ramai orang. Orang menilai kita dan itu adalah pengalaman yang tidak akan dapat dicari di mana-mana.

Bersediakah Baby Shima dengan kecaman dan kritikan netizen yang sangat dahsyat sekarang?

Saya rasa itu adalah lumrah bagi seseorang yang bergelar artis. Bukan artis pun orang kecam, kan? Mahu tak mahu, saya perlu bersedia terutama dari segi mental.

Kita kena kuatkan semangat untuk hadapi semua itu. Jangan putus asa dan mencuba selagi ada peluang di depan mata.