Melihat kembali apa yang pernah dilaluinya dahulu, si kecil molek ini tidak menolak sikapnya yang hanya mengangguk untuk setiap keputusan sebelum ini menyebabkan dia lambat dikenali.

Berkongsi pengalaman itu melalui lagu baharunya Ku Bersuara, bagi Ernie, 26, dia perlu lebih berani menentukan hala tuju, keperluan dan kehendak diri sendiri.

“Pada ketika itu, saya faham apa yang diberikan adalah yang terbaik. Tidak pernah ada rasa nak membantah atau bersuara. Tetapi dalam masa sama perasaan seperti didera dari sudut emosi sebab tidak boleh buat keputusan.

“Tetapi apa yang membuatkan saya lebih jelas ialah seseorang penyanyi itu perlu tahu hala tujunya. Dalam hal ini saya bercakap soal kebebasan, sebab untuk tahun kelapan ini saya tidak mahu lagi rasa didiskriminasi,” katanya tegas.

Menolak cuba berlagak diva melalui pilihan untuk lebih berani, tambah Erni atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, kematangan menyebabkan dia lebih tahu apa yang diperlukannya dalam memastikan karier terus berkembang.

“Bukan saya cuba berlagak diva dengan menolak setiap pandangan yang diberikan. Cuma, sebagai penyanyi saya perlu lebih tahu apa yang diperlukan dari segi lagu, imej dan sebagainya.

“Dalam konteks ini saya lebih suka ada perbincangan. Kalau saya tak setuju ada caranya untuk saya menolak dengan baik,” katanya yang kini berada di bawah pengurusan syarikat rakaman Rocketfuel Entertainment.

Ernie mengakui pernah dihubungi beberapa penyanyi muda lain yang turut melalui pengalaman sama sepertinya.

Kata Ernie, melalui pengalaman lalu, dia akui bukan mudah sebenarnya untuk bertahan. Malah dia pernah berada dalam fasa putus asa untuk meneruskan minat dalam bidang nyanyian akibat kegagalan bertimpa-timpa.

“Ketika itu tidak banyak yang boleh saya lakukan selain menangis sahaja. Ambil masa juga nak berhadapan dengan realiti sebenar.

“Namun, kemudiannya saya amalkan sikap tidak ambil kisah dan teruskan berusaha. Jadi, apa yang boleh saya kongsi ialah sentiasa yakin dengan rezeki yang diberikan Allah,” katanya positif.

Serasi dengan Syamel

MENJADI artis pertama yang mendapatkan kerja seni Syamel sebagai komposer, akui Ernie, dia yakin perkongsian perasaan bersama rakannya itu memudahkan lagu tersebut disiapkan berdasarkan kehendak dan citarasanya.

“Pada mulanya memang dia tidak berani hasilkan lagu untuk saya sebab takut tidak disukai, tetapi saya yakinkan dia dan minta siapkan sebuah lagu. Siapa sangka hasilnya sangat memuaskan.

“Syamel mempunyai bakat dalam bidang penciptaan lagu, bukan sahaja lagu balada tetapi juga pelbagai genre lain. Saya yakin dia bakal menjadi seorang komposer yang hebat.

“Memang ada saya ceritakan apa yang dilalui dan mahu dia siapkan sebuah lagu yang bukan sahaja boleh dikaitkan dengan kisah hidup saya, tetapi juga mereka di luar sana yang turut mengalami nasib sama,” katanya,

Selain Syamel, lagu tersebut juga mendapat sentuhan Omar K, Blaine Bakri dan John Jeevasingham.

Terus selesa dikaitkan dengan Syamel, bagi Ernie, tidak perlu dia menolak pandangan majoriti yang melihat dia dan Syamel sebagai pasangan pilihan dalam bidang ini.

“Benar saya selesa dengan dia, malah peminat juga melihat perkara yang sama. Kami juga akan mengeluarkan sebuah lagu duet tidak lama lagi. Buat masa ini sudah siap 60 peratus.

“Kalau dikata ambil kesempatan, memang itu yang cuba dilakukan sebab orang di luar sana mahu melihat kami terus menghasilkan lagu bersama. Jadi saya tidak melihat ada masalah untuk saya dan Syamel terus bekerjasama.

“Begitupun, ini bukanlah noktah yang mengatakan kami tidak akan bekerjasama dengan penyanyi lain. Jika ada peluang, sudah tentu kami berdua juga bersikap terbuka,” katanya.

Berlakon, nanti dulu

MELIHAT kemampuannya membawakan watak wanita yang didera lelaki dalam muzik video Ku Bersuara, tidak dinafikan ada bakat yang mampu dikembangkan Ernie ketika ini.

Tidak menolak mempunyai niat ke arah bidang lakonan suatu hari nanti, buat masa ini dia lebih senang memberi fokus kepada bidang nyanyian dahulu.

“Saya suka berlakon, tapi buat masa ini masih belum puas dalam bidang nyanyian. Saya anggap belum waktunya lagi untuk beralih ke dunia lakonan.

“Namun, jika suatu hari nanti ada skrip dan watak yang sesuai, kena pula dengan waktunya, saya tidak nampak mengapa perlu menolak,” jelasnya jujur.

Berkongsi serba sedikit perancangan untuk 2019, Ernie tidak menyangkal ada idea untuk mengadakan persembahan buat peminatnya.

“Memang ada terfikir untuk membuat showcase tahun depan, cuma belum tahu secara terperinci. Saya juga mahu terbitkan sebuah album penuh dan masih mengumpul lagu-lagu yang sesuai,” kongsinya.