Segala kekurangan dalam diri perlu diperbaiki. Komunikasi yang dipandang remeh selama ini perlu dikemaskini untuk kebaikan bersama.

“Usia perkahwinan kami yang baru setahun itu menjadi matang secara tidak langsung selepas kejadian tersebut. Terlalu banyak hikmah terjadi yang membuatkan kami lebih menghargai.

“Syukurlah episod hitam itu sudah berakhir,” kata pelakon Elvina Mohamad mengenang cerita yang terjadi ketika sedang dalam tempoh berpantang tahun hujung tahun lalu.

Terdahulu Elvina mendakwa ada pihak ketiga cuba mengganggu rumah tangga mereka. Menggambarkan keadaan diri tidak tentu hala ketika itu pelakon drama Isteri Untuk Diiktiraf ini juga mengakui gagal mengawal perasaan.

Tambahan pula pada waktu itu pihak ketiga berkenaan dilihat sangat berani berbalas kenyataan dalam media sosial, Elvina bertambah berang. Keadaan itu juga yang mendorong dirinya berkongsi perasaan kepada umum.

“Kalau mempercayai bulat-bulat pihak ketiga lebih daripada suami sendiri, mungkin cerita lain boleh terjadi. Terima kasih kepada keluarga banyak membantu saya berfikir lebih panjang dalam hal ini,” katanya.

Perkahwinan Elvina diduga apabila suaminya dikatakan menjalinkan hubungan cinta dengan seorang ejen penjual insurans. Pihak berkenaan juga didakwa cuba menggoda suaminya menerusi ayat yang mencurigakan.

Pada ketika itu, pelakon drama Jojie Gigil ini sedang dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak pertama, Karl Mateen pada 2 Disember lalu.

 

Tiada lagi rahsia -  Haniff

BERIKUT penjelasan Mohd. Haniff yang juga usahawan bidang permotoran berhubung isu melanda.

Ramai yang mengecam kerana bermain kayu tiga, curang dengan isteri ketika tempoh berpantang. Terkesan tak dengan tuduhan sebegitu?

Langsung tidak, sebab orang luar tidak tahu apa cerita sebenar yang sedang dilalui. Terpulanglah kepada mereka untuk membuat penilaian sendiri. Yang penting, cerita sebenar sudah pun diterangkan secara terperinci kepada isteri. Saya tak pernah berlaku curang kepadanya selama ini.

Benarkah anda pernah menghubungi pihak berkenaan di luar pengetahuan isteri?

Komunikasi itu berlangsung atas urusan kerja. Dia ejen penjual insurans yang menawarkan khidmat untuk insurans anak saya. Tidak lebih daripada itu.

Apa yang dipelajari selepas apa yang terjadi?

Tiada lagi rahsia antara kami. Itu lebih selamat dan mengusir syak wasangka yang boleh mengeruhkan keharmonian keluarga sedia ada.