Syafiq Farhain

Menyimpan minat menyanyi sejak kecil membuatkan Syafiq tidak menoleh ke belakang tatkala diberikan peluang untuk mengikut jejak langkah bapanya. Ternyata, memikul tanggungjawab sebagai anggota bomba bukan halangan buatnya mencipta nama dalam industri muzik tempatan.

“Minat dalam nyanyian bermula sejak kecil lagi. Saya suka menyanyi seorang diri di pusat karaoke. Pun begitu, saya mula menyanyi di depan orang ramai ketika membuat persembahan dalam majlis makan malam sempena tamat latihan bomba.

“Ketika bertugas di Johor Bahru, Johor pula saya telah terpilih menyertai kombo di sana sebagai vokalis dengan rakan-rakan setugas yang lain. Sejak itu, saya mula serius menyanyi kerana banyak persembahan untuk pelbagai acara anjuran jabatan di sana.

“Sementara penglibatan secara serius sebagai penyanyi bermula selepas video nyanyian saya tular di media sosial. Sejak itu, beberapa syarikat rakaman menghubungi saya untuk menyertai mereka.

“Bagaimanapun saya membuat keputusan untuk menjadi artis rakaman MVM Production selepas berbincang dengan abah dan dia mengajak saya supaya berada bawah syarikat yang sama dengannya,” jelas Syafiq yang kini popular menerusi single pertama, Sayang Maafkan Aku.

Meskipun berjaya bergelar penyanyi dengan syarikat rakaman terkenal, Syafiq sama sekali tidak akan meninggalkan kerjaya tetapnya sebagai anggota bomba. Selain mahu mempunyai kerja tetap, Syafiq juga menyifatkan kerjayanya itu amat disukai sejak dahulu.

“Saya menyertai bomba pada 2013. Sebelum itu saya sempat belajar di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) selama tiga semester. Oleh kerana saya sukakan kerjaya sebagai anggota beruniform ini, saya tidak fikir panjang dan terus menerima tawaran tersebut.

“Walaupun sudah bergelar penyanyi, saya tidak berhasrat atau terlintas dalam fikiran saya untuk berhenti berkhidmat sebagai bomba. Bagi saya, sekarang ini adalah tempoh percubaan untuk saya memasuki dunia muzik.

“Saya belum ada keyakinan yang tinggi untuk menjadikan nyanyian sebagai kerjaya utama buat masa ini,” jelas Syafiq yang sentiasa mendapat sokongan daripada rakan-rakan pasukan serta pegawai atasannya.

Usaha sendiri 

Muzik video lagu Sayang Maafkan Aku mendapat jumlah tontonan sebanyak 1.4 juta selepas seminggu memasuki YouTube. Ini sememangnya pencapaian yang sukar dipercayai Syafiq.

Ditanya adakah statusnya sebagai anak penyanyi popular yang menyumbang kepada pencapaian tersebut, Syafiq tidak menafikannya.

“Memang saya tidak boleh nafikan nama saya mula dikenali dek populariti abah. Tetapi saya juga mahu jelaskan bahawa saya sendiri berusaha sebaik mungkin untuk sampai ke tahap ini.

“Kalau boleh saya tidak mahu dikaitkan dengan nama abah dalam bidang ini.

“Seperti penyanyi lain, saya juga ingin bermula dari bawah dan bukan menumpang nama Saleem untuk maju dalam bidang ini,” ujarnya.