Pada masa yang sama, selain meminta diberikannya peluang, Ahmad Idham mengalu-alukan pihak yang mempunyai idea atau cadangan penambahbaikan agar datang ke pejabatnya untuk berbincang.

“Terima kasih pada yang menyokong tetapi mana-mana yang masih mempertikaikan, saya minta beri masa kerana baharu dilantik dan belum lagi memulakan kerja. Bagaimana hendak membuat penilaian kalau saya sendiri belum memulakan kerja.

“Saya jemput mana-mana pihak datang ke Finas untuk memberikan cadangan kepada industri. Tidak perlu menulis di blog, Facebook dan Twitter untuk mempertikaikan kerana tidak menyekat untuk datang berjumpa saya,” katanya.

Ahmad Idham ditemui selepas majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Les’ Copaque Production Sdn. Bhd. dengan Beijing Animation and Gaming Industry Association (BAGIA) di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Les’ Copaque diwakili Burhanuddin Mohd. Radzi manakala BAGIA diwakili Setiausaha Agungnya, Liu Chun Gang dengan disaksikan Ahmad Idham.

Mengulas lanjut berhubung pelantikannya, Ahmad Idham berkata, beliau langsung tidak terfikir akan diberi tanggungjawab untuk memegang jawatan tersebut.

“Saya tidak pernah terfikir walaupun sebelum ini berkali-kali nama naik. Alhamdulillah dengan kerajaan baharu, nama saya melekat juga.

“Ini bukan disebabkan jawatan tetapi sesiapa pun yang boleh menyumbang dan saya pasti akan memberi sokongan. Malah, kini kunci untuk mengerakkan industri di bawah saya, Insya-Allah akan buat yang terbaik,” ujarnya.

Tambah Ahmad Idham, pihaknya mempunyai beberapa perancangan jangka masa pendek dan panjang, selain hala tuju Finas yang akan diumumkan kemudian, sejurus mendapat kelulusan kementerian.

Pada 14 Mac lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mengumumkan pelantikan Ahmad Idham sebagai CEO Finas berkuatkuasa Isnin lalu menggantikan Shakib Ahmad Shakir. - UTUSAN ONLINE