Sekalipun ada kalanya kehidupan Ogy bersulam kesedihan namun semua itu disifatkannya sebagai lumrah bagi setiap manusia.

Kelmarin, Ogy meraikan ulang tahun ke-55 menandakan dia kini melalui kehidupan yang sudah cukup dewasa.

Selama hayat itu juga, 44 tahun masa diabadikan Ogy kepada dunia seni iaitu bidang yang diwarisi daripada ayahnya, seniman Ahmad Daud dan ibunya, seniwati Datin Saadiah.

Perjalanan hidup sebagai anak seni, tegas Ogy, menjadikan kanvas kehidupannya penuh warna-warni dan kerana itu, tiada sebarang kekesalan yang mahu dizahirkan sebaliknya hanya kesyukuran sahaja yang mampu menggambarkan denyut rasanya selama ini.

“Terima kasih Allah atas kurniaan yang sangat besar buat saya. Fasa hidup yang saya lalui tidak sama dengan yang orang lain lalui. Sejak usia 11 tahun saya berlakon dan kini pada usia 55 tahun saya masih aktif.

“Semua ini berlaku kerana minat dan kasih saya kepada seni yang saya warisi daripada ayah dan ibu yang banyak membentuk karakter saya. Saya bahagia dengan kehidupan ini,” ujarnya.

Seperkara yang Ogy sendiri kagum dengan dirinya ialah selepas lebih empat dekad menjadi anak wayang, tiada istilah jemu atau penat kerana lakonan adalah kerjayanya.

Kerja-kerja seni itu juga yang menyalurkan rezeki untuk dia menampung kehidupan.

“Bidang seni bukan sekadar penyambung legasi ibu dan ayah, seni juga adalah kerjaya saya sepenuhnya.

“Selebihnya saya hanya memberi warna dalam kehidupan masyarakat. Kalau kerja-kerja seni yang saya lakonkan disenangi oleh orang ramai, itu sudah cukup menggembirakan saya.

“Setiap daripada kita ada tugas dan tanggungjawab terhadap masyarakat. Selama dalam bidang seni, saya mengenal makna kehidupan, saya tahu warna dan karakter manusia. Itulah kelebihan menjadi anak seni,” ujarnya menyambung perbualan.

Menjadi pewaris seni Ahmad Daud dan Saadiah pula, tegas Ogy, bukan satu tugas yang mudah.

“Di bahu saya memikul amanah yang sangat besar. Bukan sahaja tanggungjawab mewarisi bakat seni arwah ayah dan ibu tetapi juga imej dan reputasi Ahmad Daud dan Saadiah. Orang luar tidak tahu bahawa menjaga nama baik ibu dan ayah itu jauh lebih besar daripada meraih glamor dan kemasyhuran.

“Nasihat ibu dan ayah adalah dinding kekuatan saya selama ini. Terlalu banyak budi dan asuhan ibu dan ayah yang berada di bahu saya.

“Kerana itu saya sifatkan yang Allah kurniakan kepada saya nilainya melebihi wang ringgit,” kata seniwati yang juga berbakat besar dalam bidang nyanyian dan pengacaraan.

Kasih ditumpah buat Nur Aminah

DI mata peminat dan media, Ogy sudah diangkat tarafnya sebagai pelakon legenda yang berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Ogy memiliki reputasi yang bukan calang-calang dalam kerjaya seninya dengan pelbagai anugerah tertinggi diperoleh sepanjang menjadi anak seni.

Dia disenangi dan disayangi ramai. Ke mana sahaja Ogy pergi, dia pasti akan menjadi perhatian orang ramai. Layanan yang diterimanya juga amat-amat istimewa.

Namun apabila pulang ke rumah, Ogy adalah seorang wanita yang sederhana.

Tanpa rasa kekok, Ogy akan ‘berperang’ di dapur menyediakan makan dan minum untuk dia dan buah hatinya, Nur Aishah Aminah.

Nur Aishah Aminah yang berusia 10 tahun adalah segala-galanya buat Ogy.

“Itulah kekuatan kehidupan saya hari ini. Selepas ayah dan ibu meninggal dunia, saya ada melalui fasa yang sangat sedih dan sunyi. Kegagalan dalam rumah tangga juga pernah menyumbang kepada kesunyian.

“Namun saya selalu percaya kepada aturan Allah. Tidak semua yang kita hendak akan kita peroleh. Nur Aminah hadir memberi penawar kepada kesunyian saya. Saya berikrar untuk melaksanakan sebaik mungkin tanggungjawab pada Nur Aminah,” kata Ogy yang mengakui kasih sayangnya kini dicurahkan sepenuhnya buat anak angkat yang telah mengubah banyak kehidupannya.

Menyedari tugas mendidik Nur Aminah sangat besar, Ogy memberitahu, dia mahu permata hatinya itu diasuh dengan kudrat yang ada serta membesar di matanya sendiri.

Kerana itu, setiap hari Ogy akan berusaha untuk menyediakan juadah makan tengah hari buat Nur Aminah.

“Saya mahu dia menikmati makan hasil air tangan saya sekembalinya dari sekolah. Saya mahu Nur Aminah merasakan kasih sayang seorang ibu.

“Seperti arwah ibu saya yang memelihara saya dan adik beradik dengan sempurna, hal yang sama mahu saya berikan kepada Nur Aminah,” kata Ogy lagi.

Terharu dirai keluarga dan rakan-rakan

Selain tumpuan pada Nur Aminah, Ogy juga sentiasa memastikan hubungannya dengan adik-beradik (dari ibu yang sama) iaitu Azizah, Noraini, Rohaya, Fazal dan Fazlina terpelihara.

Seorang lagi abang Ogy iaitu Hassan bagaimanapun sudah meninggal dunia.

Kata Ogy, arwah ayahnya sentiasa berpesan supaya kasih sayang sesama adik-beradik harus dipelihara kerana itulah yang akan menjadikan hubungan mereka lebih utuh.

“Amanat arwah ayah akan kami pelihara. Ayah selalu pesan jangan bergaduh adik-beradik. Jaga hubungan, selalu tanya khabar. Insya-Allah itulah yang kami lakukan,” cerita Ogy mengenai pesanan Allahyarham Ahmad Daud.

Malah buat kali pertama dalam hidupnya, Ogy diraikan dalam majlis kelahiran di sebuah warung di Segambut Dalam, Kuala Lumpur pada Rabu lalu.

Bagi Ogy, sambutan di Warung Kami itu amat-amat menggembirakannya kerana majlis sederhana itu memberi kesempatan buat beliau berkongsi kesyukuran dengan ahli keluarga serta rakan-rakan terdekat.

“Sesekali kita buat majlis di warung pun menarik. Saya berterima kasih pada semua ahli keluarga dan rakan-rakan yang datang meraikan ulang tahun saya ke-55,” ujar Ogy yang turut menerima kehadiran rakan artis seperti Erma Fatima dan penyanyi terkenal, Syamel serta Gmie (Screen).