Tidak pernah terfikir bahawa jari-jemari yang satu ketika dahulu ralit menjahit baju pelanggan di rumah, membawa Mohd. Hafizi Radzi Woo, 28, atau lebih mesra disapa Fizi sehingga ke pentas fesyen dunia.

Masih segar di benak fikiran anak muda itu apabila jiwanya yang terlalu meminati bidang kesenian, mendorongnya mengambil subjek tambahan mata pelajaran seni ketika di sekolah menengah memandangkan dia merupakan pelajar kelas sains tulen.

“Saya sanggup pulang lewat berbanding pelajar lain kerana mahu mengikuti kelas seni. Mungkin ini rezeki yang Allah sudah atur apabila dapat menyambung pengajian dalam Diploma Seni Reka di UiTM (Universiti Teknologi Mara),” jelasnya membuka bicara.

Pun begitu, perjalanannya dalam bidang tersebut seakan kabur apabila ketika sesi temu duga akhir di universiti itu, panel yang menemu ramah mendapati dia tidak lulus ujian rabun warna.

Menyedari tentang kekurangan itu, akui Fizi, ketika sesi temu duga itu tanpa rasa malu dia menangis teresak-esak kerana memikirkan impian untuk berada dalam dunia fesyen berakhir di situ.

Namun, takdir Allah sekali lagi membantunya.

“Panel temu duga memberi saya peluang kerana berpuas hati dengan karya dan hasil kerja saya ketika pada peringkat awal. Katanya, bakat saya mampu pergi lebih jauh.

“Justeru, pada kesempatan ini, saya mahu berterima kasih kepada mereka,” jelasnya yang mendapat peluang pada tahun kedua pengajian menyertai Piala Seri Iman dan memenangi tempat ketiga.

Menurut Fizi, pertandingan rekaan batik itu telah membantu melonjakkan keyakinannya dalam dunia fesyen.

Ketika menyambung pengajian ijazah sarjana muda di UiTM Shah Alam, Fizi mendapat peluang lebih banyak dengan menyertai pelbagai pertandingan acara pentas fesyen, malah tahun kedua menyertai Piala Seri Iman, dia dinobat sebagai juara.

Pada ketika itulah dia mengenali rakan seperjuangannya, Izree Kai Haffiz, 30, atau dikenali sebagai Kai dalam kalangan penggiat industri fesyen.

“Kai merupakan seorang arkitek di Singapura. Ketika saya mengenalinya, dia masih belajar di Universiti Teknologi Malaysia, namun dia sering membantu saya jika saya terlibat dengan pertunjukan pentas dari segi jahitan manik atau perkara-perkara yang mudah,” katanya.

Sementara itu menurut Kai, pada awal keputusannya untuk menyertai bidang fesyen ditentang keluarga, namun melihat potensi tinggi label Fiziwoo, dia yakin kolaborasi bersama Fizi bakal membuahkan hasil berbaloi.

Katanya, perjalanan nama Fiziwoo bukan segah seperti sekarang kerana ia bermula dari menjahit di ruang tamu bilik sewa RM200 sehinggalah ke sebuah rumah teres yang disewa berharga RM1,500 dengan menggunakan segala duit simpanan yang ada.

“Ketika di universiti, Fizi banyak menyertai pelbagai pertandingan dan setiap kali menyertainya dia memang akan menang. Duit kemenangan itulah yang dia simpan untuk menyewa rumah teres ini di mana tingkat atas dijadikan tempat tidur dan tingkat bawah sebagai butik.

“Cuma ketika itu, masing-masing masih lagi tidak mempunyai pendapatan dan hanya mengharapkan upah dibayar pelanggan yang kadang-kadang lambat sehingga beberapa kali kami terpaksa mengutip duit syiling yang ada.

“Saya masih ingat, ada satu kejadian kami berjaya mengumpul syiling sebanyak RM40, yang kami guna sehingga hujung bulan. Kami putuskan untuk beli nasi putih di warung dengan meletakkan sebanyak-banyaknya nasi bersama kuah kari dan kami berkongsi makan.

“Itulah makanan tengah hari merangkap makanan malam kan,” jelasnya tidak pernah meminta wang daripada keluarga untuk memulakan perniagaan.