Namun bak kata orang, kalau sudah rezeki tidak ke mana. Penghijrahan ke bumi Kuwait 16 tahun lalu ketika nama sedang meningkat naik seolah membawa tuah buat Amir Abdul Kadir, 52, atau lebih dikenali dengan nama Amir Kadir.

Dia yang ketika itu boleh dikatakan sebaris dengan pereka-pereka terkemuka ‘sezamannya’, seperti Datuk Rizalman Ibrahim, Datuk Radzuan Radziwill, Tom Abang Saufi, Salikin Sidek dan Micheal Ong, turut terkenal dengan busana rekaan yang menjadi pilihan selebriti ternama Datuk Sharifah Aini, Ziana Zain dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Amir umpama pepatah ‘benih yang baik kalau jatuh ke laut menjadi pulau’. Dia bukan sahaja menyerlah di Malaysia, malah menempa nama di luar negara dengan kebanyakan hasil rekaannya dipakai ramai bintang Hollywood.

Siapa sangka, rekaan pereka asal Batu Pahat, Johor, ini berjaya membaluti tubuh bintang-bintang terkenal seperti Jennifer Lopez, Britney Spears, Mariah Carey, Paris Hilton, Taylor Swift dan Jessie J.

Bagi Amir Kadir, semuanya bermula dengan tekad untuk mencari ‘padang’ baharu bagi mengembangkan bakat dalam bidang fesyen dengan memilih Kuwait sebagai destinasi baharu.

“Ketika saya ambil keputusan untuk berhijrah, saya telah pun membuka butik di Bukit Bintang dan Wangsa Maju. Saya nekad menjual butik tersebut untuk memulakan langkah di negara orang kerana saya melihat pasaran fesyen di Malaysia ketika itu seolah-olah tidak boleh berkembang.

“Kebetulan ada seorang rakan dari Kuwait menawarkan untuk membantu saya memulakan perniagaan di sana,” katanya memulakan bicara.

Pun begitu, perjalanan Amir tidak seindah yang dibayangkan, apabila dia bukan sahaja ditipu oleh rakan tersebut, malah impian bergelar rakan kongsi menjadi mimpi ngeri apabila dia hanya dijadikan ‘orang suruhan’ di butik milik lelaki itu. Pasport dan visanya diambil menyebabkan dia tiada pilihan terpaksa bekerja di butik tersebut.

Selama tiga bulan dia tidak diberi gaji, malah duit hasil butik yang dijual di Kuala Lumpur habis digunakan untuk menyara diri, sehingga dia nekad untuk melarikan diri.

“Saya nekad dengan memberanikan diri lari ke pejabat kedutaan Malaysia di Kuwait untuk membuat laporan. Alhamdulillah, akhirnya pengusaha butik tersebut dikehendaki membayar segala tunggakan gaji serta menyerahkan semula pasport dan visa saya,” ujarnya.

Kejadian malang tersebut tidak menghalang Amir untuk terus mengejar cita-cita, malah bagai ada hikmah apabila dia bertemu dengan pemilik butik Yousef-Al Jasmi, yang memberi peluang dia bergelar sebagai perunding fesyen.

Fasa kerjaya Amir di butik tersebut melonjak sebaik pulang dari satu pertunjukan fesyen di Lebanon. Ketika itu dia mewakili butik berkenaan memperaga beberapa rekaan terbaiknya.

“Selepas selesai pertunjukan, saya didatangi wakil pihak pengurusan Jennifer Lopez yang memaklumkan penyanyi itu berminat dengan rekaan saya.

“Mereka meminta saya menghasilkan beberapa helai busana untuk dipakai bintang tersebut ke sebuah acara anugerah berprestij.

“Ketika itu, saya sangat teruja bercampur terkejut kerana perlu buat baju untuk bintang yang sangat saya kagumi.

“Walaupun bukan mudah menyiapkan baju berkenaan dan saya sendiri tidak berkesempatan bertemu dengan penyanyi tersebut, tetapi menjadi permulaan untuk rekaan saya bertapak di Hollywood,” jelasnya.

Dari setinggan ke Hollywood 

Walaupun dibelenggu kesusahan hidup, Amir Kadir masih berjaya menamatkan pengajian peringkat ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Pengajian Perniagaan dari Institut Teknologi Mara (ITM), diikuti peringkat Sarjana dalam bidang sama di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak cukup dengan itu, dia juga memiliki Ijazah Sarjana Muda jurusan Rekaan Fesyen dari Paris American Academy di Paris, Perancis.

Biarpun perjalanan karier Amir di Kuwait diduga pelbagai cabaran, lelaki itu seolah-olah tidak serik, malah telah berkira-kira untuk mengembangkan label Amir Kadir pada masa depan dengan menyertai pertunjukan fesyen bawah jenama sendiri.

Pun begitu, ketika ini dia merancang untuk mengukuhkan jenamanya di Malaysia, malah sejak pulang ke tanah air setahun lalu, telah membuka butik tiga tingkat yang terletak di Bandar Baharu Bangi, Selangor.

Dia mengakui kepulangannya disebabkan masalah kesihatan yang dihidapi sejak dua tahun lalu, selain mahu mengukuhkan jenama di tanah air sendiri.

Amir, yang mempunyai konsep rekaan tersendiri, yakin masih mampu kembali ke arena fesyen tempatan, malah fenomena kebanjiran pereka muda dalam dunia fesyen sekarang juga membuka peluang perniagaan yang luas.

“Saya pernah popular satu ketika dahulu dan saya tahu pasaran fesyen di sini, jadi saya tidak perlu bersaing dengan sesiapa.

“Saya kembali ke Malaysia untuk mewarnai industri fesyen negara.

“Cuma apa yang saya harapkan, pereka-pereka fesyen muda dapat mengikuti atau mengambil kursus latihan fesyen yang betul agar industri fesyen negara diwarnai oleh mereka yang benar-benar mempunyai kredibiliti,” katanya.