Bagaimanapun jika ada yang ingin mempersoal pilihan ini, tiada yang akan memberi tekanan buat dirinya kerana dalam fasa ini, dia sebenarnya masih lagi dalam proses pembelajaran.

“Pakai tudung sahaja tidak cukup membuatkan saya seorang yang sempurna. Saya sedar akan keadaan itu, sebab itu saya mengaku yang saya belum sempurna.

“Pada waktu ini, saya masih belajar dan yang saya harapkan agar saya istiqamah dengan keputusan ini,” katanya.

Senang disapa dengan gelaran hajah, tentunya pengalaman menunaikan rukun Islam kelima itu memberi peluang untuknya sentiasa bersyukur dengan kelebihan yang diberikan.

Bagaimanapun gelaran serta penampilan terkini dirinya memberikan satu persepsi berbeza buat pengikutnya dalam laman sosial. Mengakui diminta untuk memadamkan gambarnya sebelum bertudung, Fouziah mempunyai jawapan ikhlas mengapa dia gagal berbuat demikian.

“Memang ada yang meminta saya memadamkan gambar saya sebelum bertudung. Ramai sebenarnya yang meminta saya berbuat demikian. Sejujurnya pada waktu ini, saya tidak terfikir lagi untuk melakukannya.

“Dengan faktor tiada masa, saya juga sebenarnya tidak melihat satu keperluan kerana banyak lagi gambar dahulu saya boleh dilihat kalau hanya menaip nama pada carian Google,” katanya jujur.

Memberi gambaran yang lebih jelas mengenai yang dilaluinya, bagi Fouziah, sebagai seorang yang cukup terbuka dia sentiasa melihat sesuatu perkara yang sudah dilaluinya itu sebagai sejarah dan perlu untuk dia memandang ke hadapan sahaja.

“Saya seorang yang lebih suka pandang ke hadapan... move on. Jadi perkara sebegini tidak memberi kesan kepada saya. Sebab setiap orang mempunyai sejarah masing-masing.

"Dalam hal ini saya lebih senang untuk jadi diri sendiri sebab Allah lebih tahu apa niat kita,” katanya ringkas.

Terpaksa tolak tawaran

MENGAKUI masih diburu penerbit untuk mendapatkan khidmat lakonannya, Fouziah Gous bagaimanapun yakin sikap tamak pada waktu ini tidak akan memberi keuntungan buat dirinya, malah dia juga lebih senang untuk tidak menimbulkan masalah kepada mana-mana pihak.

“Memang ada yang menawarkan watak tetapi saya terpaksa menolak dengan cara yang baik. Sebab memang pada waktu sekarang adalah sukar untuk saya memberikan komitmen kepada dua bidang sekali gus. Jadi daripada menyusahkan orang saya lebih senang sekiranya tidak ambil.

“Soal rindu atau rasa rugi terpaksa menolak tawaran berlakon tidak pernah berlaku. Sebab saya mempunyai fokus sendiri dalam hal ini dan tidak suka memandang ke belakang,” katanya.

Menolak gelaran Datin itu sendiri yang membuatkan dia berkira-kira untuk aktif berlakon kini, Fouziah tidak pernah melihat itu sebagai satu halangan untuk dia terus bergelar anak seni.

“Apapun itu hanya gelaran untuk saya, bukan bermakna saya tidak menghargainya, namun pada waktu ini, kalau orang tanya saya lebih senang mahu dipanggil hajah (yang) lebih sesuai untuk saya.

“Sebab gelaran ini juga saya hanya menumpang suami berbanding hajah yang saya dapatkan sendiri selepas menunaikan rukan Islam kelima tempoh hari. Jadi rasa lebih puas.

“Saya tidak kisah untuk terus berlakon dan diberikan watak-watak kampung dan sebagainya sebabnya watak-watak sebegitu adalah jiwa saya. Jadi seperti yang saya katakan tadi jika waktu tawaran itu kena dengan waktu saya, saya tidak akan menolak,” kongsinya.

Terus berlakon

JIKA ada pelakon yang sudah berhijrah lebih senang jika drama lakonannya ketika tidak bertudung tidak lagi disiarkan, isteri kepada Datuk Md Zhafran Md Yusof ini bagaimanapun melihat perkara ini dari sudut berbeza.

Yakin dia juga bukan sesiapa untuk membuat permohonan seperti itu, kongsi pelakon pujaan ramai ini, yang pernah dilaluinya dahulu akan diambil iktibar buat dirinya untuk menjadi seorang Muslimah yang lebih baik pada masa hadapan.

“Saya tahu dalam hal ini saya tiada hak untuk berbuat demikian. Sama seperti yang lain tiada sebab untuk saya menghalang pihak stesen televisyen (TV) menayangkan semula drama lakonan saya.

“Bagaimanapun yang khalayak perlu faham adalah itu imej saya yang lama. Dalam erti kata lain, perkara ini akan sentiasa mengingatkan saya akan kesilapan lalu dan ujian yang saya terima di dunia ini,” kata ibu kepada Muhammad Zeeshan, tiga tahun, dan Zaheen Yusof, setahun, ini.

Mempunyai skil lakonan yang mantap, nama Fouziah sebenarnya cukup dekat dengan penonton drama Melayu. Bagaimanapun kehilangannya dari radar dunia lakonan kebelakangan ini membuatkan ramai yang terfikir yang pelakon ini sudah memberi petunjuk awal untuk meninggalkan dunia lakonan.

“Saya tahu asal usul, soal tinggalkan terus dunia lakonan tidak pernah saya fikirkan. Bagaimanapun buat masa ini memang saya akui sudah lama tidak berlakon kerana komitmen dalam bidang perniagaan lebih penting.

“Tetapi jika ada ruang yang membolehkan saya berlakon saya akan ambil peluang itu kembali. Cuma buat masa ini saya tidak ada masa sebab terlalu sibuk dengan perniagaan,” katanya yang kini sibuk mempromosikan sarang burung walet jenama FG Walet miliknya ke pasaran Asia Barat.