Biar sesekali terdengar sebak di hujung suara tatkala berkongsi cerita, pilihan lagu Apa Saja dan Jangan Lafazkan sebagai ‘ucapan selamat tinggal’ mengundang rasa sayu dengan ‘perpisahan’ itu.

Namun KRU meminta agar peminat tidak bersedih, malah mahu setiap daripada mereka mengenang dan mengabadikan penampilan terakhir itu sebagai tanda terima kasih khusus buat peminat setia yang selama ini membesar dan menyokong mereka.

Menyanyi, menari dan berceloteh, Konsert Gergasi KRU25 ‘menyatukan’ peminat fanatik trio adik beradik itu, malah gema sorakan, tepukan nyanyian yang mengiringi persembahan Datuk Norman Abdul Halim, Yusry dan Edry membuatkan dewan berpestij Panggung Sari, Istana Budaya di Kuala Lumpur seolah-olah seperti di stadium.

“Yang paling menarik apabila penonton tahu semua lagu dari mula sampai akhir. Sikap sporting mereka itu memberi semangat kepada kami untuk beraksi dan reaksi spontan itu juga membentuk aura yang tersendiri di dalam dewan. Sesungguhnya kami amat terharu,” jelas Norman yang ditemui selepas konsert berakhir.

Selain mendendang kira-kira 18 buah lagu hits yang dipetik daripada 13 album, Norman, 48; Yusry, 45; dan Edry, 42, turut berkongsi cerita di belakang pentas yang jarang diketahui ramai.

Salah satu cerita tentang Edry yang merajuk kerana rambut palsunya tertinggal dalam kereta sewaktu mengadakan persembahan dan Yusry yang terpaksa berlagak cool apabila keyboard jatuh sewaktu persembahan di sebuah pusat beli-belah.

Biarpun mengakui mereka menghadapi kesukaran untuk memilih lagu kerana kekangan waktu, KRU mengambil keputusan untuk mengangkat hanya lagu popular dan menjadi tarikan audiens untuk dipersembahkan.

Membuka tirai persembahan dengan lagu The Way We Jam, dewan bergema sorakan dan tepukan gemuruh apabila KRU mempersembah lagu-lagu pilihan termasuk Awas,Terhangat Di Pasaran, Gadisku, Negatif, Malamku, Ooh La La, Mengerti, Babe, Dekat Padamu, Hingga Ke Jannah, Dilema dan Fanatik sebagai penutup tirai persembahan.

Tidak ketinggalan lagu Untukmu yang dipopularkan oleh kumpulan Feminin yang dicipta Norman ketika usianya 14 tahun serta Di Pintu Syurga dan Balada Hati yang amat jarang mereka persembah di pentas.

Undur cara hormat

BIARPUN mengakui peminat memujuk agar KRU tidak dibubarkan, kata Norman, dia dan adik-adiknya sudah mengambil kata putus untuk meneruskan niat tersebut tanpa rasa kesal.

“Tak mungkin tunggu umur 50 tahun atau 60 tahun baru nak bersara kerana waktu itu, orang pun sudah tidak hairan dengan KRU. Biarlah tatkala nama KRU masih segar dalam ingatan dan itulah masa yang terbaik untuk kami undur diri,” jelasnya.

Malah akuinya, ramai yang salah anggap terhadap keputusan mereka itu dengan mendakwa berlaku pertelingkahan antara mereka adik beradik.

Sebagai Abang Long, Norman tidak menafikan yang mereka kerap bertengkar sejak dulu hingga kini tapi itu adalah pertengkaran biasa sebagai saudara kandung dan tidak berlarutan.

“Bergaduh adik beradik memang perkara biasa. Kami selalu bergaduh sampai nak buat konsert ini pun kami masih bergaduh. Adik beradik mana yang tak gaduh,” ujarnya yang mengakui mereka akan meneruskan kerja-kerja di belakang tabir termasuk dalam penerbitan muzik, filem dan televisyen selain Akademi KRU.

“Nama KRU sudah jadi jenama dan bukan lagi kumpulan muzik,” tambahnya.

Selain itu, masing-masing sudah ada hala tuju tersendiri apabila dia akan memberi tumpuan kepada perniagaan, manakala Yusry dan Edry dengan perancangan mereka sendiri.

“Saya rasa kami perlu mengatur langkah mengikut situasi semasa. Tiada apa lagi yang nak dikejar,” ujarnya.

Dan 6 Mei lalu, KRU ‘menamatkan’ perjuangan di pentas seni, namun legasi mereka akan terus menyemarakkan dunia seni tanah air.

Bubar bukan gimik jual tiket

BERJAYA membentuk empayar sendiri dalam industri seni, konsert terakhir itu juga berjaya melakar sejarah tersendiri apabila tiket habis dijual dalam tempoh yang singkat berbanding persembahan lain yang pernah diadakan di Istana Budaya.

Menolak dakwaan kononnya pengumuman untuk membubarkan KRU pada 18 April mendorong peminat membeli tiket untuk menonton konsert tersebut, kata Norman, dia sendiri terkejut dengan sambutan luar biasa yang diterima.

Kali terakhir menerima sambutan seperti itu adalah pada konsert Empayar KRUjaan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur (2002) dan Konsert KRU 25 di Singapura (2016).

“Sejak September lagi boleh dikatakan 75 peratus tiket telah dijual, bukan selepas kami umum bubar. Kami buat langganan tempahan tiket melalui sistem e-mel dan tak sangka sambutan luar biasa.

“Kami jangka kalau 10 peratus atau 20 peratus sudah cukup tapi lebih daripada itu. Dalam tempoh tiga hari, terlampau banyak permintaan sampai kami tak boleh urus dan hentikan jualan seketika kerana kami tak buat jualan dalam talian,” katanya yang turut memberitahu baki tiket yang tinggal hanya kira-kira 30 peratus sebelum konsert berlangsung dan tiket itu adalah untuk tempat duduk yang bukan dalam senarai untuk jualan.

Menurut Norman, antara tiket yang terjual awal adalah yang termahal berharga RM1,188. Tiket-tiket lain berharga RM588, RM438, RM388, RM288, RM188 dan RM158.