Pengakuan itu sekali gus mencetuskan kemarahan banyak pihak termasuk artis tempatan yang menganggap Haqiem memperolok-olok khalayak dengan kisah yang dianggap gimik murahan apatah lagi selepas melancarkan single baharu, Selamat Tinggal Sayang dalam tempoh yang sama.

Malah rakan artis yang sebumbung dengannya berasa tertipu apabila Haqiem dan pihak pengurusan mereka bertindak menggunakan kesempatan memanggil untuk ditemu ramah di sebuah stesen radio sedangkan temu ramah tersebut sekadar untuk mempromosikan single baharunya itu.

Apabila keadaan semakin memuncak, Haqiem membuat keputusan untuk mengadakan sidang akhbar tergempar pada malam Khamis lalu dengan tujuan untuk menjelaskan keadaan sebenar termasuk mengakui dia masih belum mendapatkan pengesahan pakar berhubung dakwaan kemurungan yang dihidapinya.

Reda seketika apabila keesokan harinya Haqiem telah bertemu pakar untuk mengenal pasti tahap kesihatannya, namun tidak sampai sehari timbul pula kekecohan baharu tentang status laporan kesihatannya yang dikatakan mengalami depresi tahap sederhana itu.

Ini kerana ramai mempersoal individu yang ditemui Haqiem yang dikatakan bukan selayaknya memberi pengesahan tersebut kerana penyanyi itu dikatakan bertemu seorang pakar psikologi, bukan pakar psikiatri.

Tidak cukup dengan masalah dalaman, Haqiem turut terpalit isu plagiat apabila single Selamat Tinggal Sayang yang dilancarkan dikatakan mencuri idea dua rakan baiknya, Sufie Rashid dan Sharul Kamal.

Apa sebenarnya yang bermain pada fikiran Haqiem? Benarkah dia mengalami kemurungan? Sampai bila ‘drama’ ini akan berlarutan?

Mohon maaf

Tidak berniat untuk menipu sesiapa, penyanyi berusia 20 tahun ini meminta maaf kepada semua pihak yang merasakan diperdaya ekoran kisah kemurungan yang ditimbulkan pada penghujung Ramadan lalu.

“Saya minta maaf jika masalah ini telah menyusahkan banyak pihak.

“Sejujurnya, waktu saya menulis status tersebut, saya memang rasa tertekan dengan kritikan oleh kawan-kawan, rakan artis dan netizen dalam laman sosial,” ujarnya.

Mengakui mengalami insomnia, Haqiem atau Ridzuan Haqiem Rusli pada Jun lalu menyatakan dirinya menghidapi masalah depresi, namun masih berbelah bahagi sama ada mahu berhenti daripada menjadi penyanyi atau meneruskan kerjayanya.

Bagaimanapun pada 3 Julai lalu, Haqiem memuat naik status baharu menyatakan dia mengambil keputusan untuk meneruskan kerjaya sebagai penyanyi yang dimulakan sejak usia 10 tahun menerusi program Idola Kecil pada 2008.

Pada kunjungannya ke Mega HITS minggu lalu, Haqiem menegaskan, keputusan tersebut dibuat selepas mempertimbang bahawa dia bertanggungjawab mencari rezeki bagi membantu keluarganya selain suka melihat peminat menyaksikan persembahannya.

Sejurus ditemu bual Mega HITS, Haqiem bertindak melancarkan single Selamat Tinggal Sayang di sebuah stesen radio, sekali gus mengundang kecaman dan dituduh mencetuskan gimik murahan demi meraih publisiti.

Haqiem dikecam teruk banyak pihak termasuk media, rakan artis, peminat bahkan pengamal perubatan yang menyifatkan penyanyi itu berperangai seperti kebudak-budakan dalam mempermain-main soal depresi yang boleh mengundang maut sekiranya tidak dirawat.

Ketika sidang akhbar tergempar berkenaan, Haqiem akhirnya mengakui kemurungan yang dihidapinya adalah telahan rambang yang menyebabkan ramai tidak berpuas hati dengan ‘pembohongan’ dilakukannya.

Menjadi antara rakan artis yang terpalit dengan kontroversi dicetuskan oleh Haqiem Rusli, dua penyanyi yang bernaung bawah label FMC Music iaitu Ernie Zakri dan Wany Hasrita mengambil keputusan untuk memaafkan ‘adik’ mereka itu atas kelakuan yang disifatkan sebagai tidak matang.

Menurut Ernie, secara rasional, usia Haqiem yang baru sahaja mencecah umur 20 tahun dan dibebani jadual seni yang padat telah mendorong remaja tersebut bertindak di luar kewarasan fikiran yang matang sehingga mempermain-main masalah kesihatan.

“Saya adalah guru vokalnya dan sering bersama-sama Haqiem. Sebab itulah pada awalnya saya mengambil berat mengenai Haqiem apabila dia meluahkan masalah dihadapi.

“Dia seorang yang berbakat besar dan boleh diibaratkan sebutir permata berharga untuk dilepaskan jika benar dia mahu bersara daripada lapangan seni.

“Ya, diakui memang saya marah atas tindakannya. Namun atas dasar profesional dan berasa rasional, saya tahu pada peringkat umurnya yang masih muda tidak mustahil perkara sebegini boleh berlaku,” ujar Ernie.

Wany yang juga pemegang Ijazah Sains Perubatan pula menegaskan, Haqiem berada dalam keadaan sangat tertekan sehingga mendorongnya melakukan kesilapan tersebut.

Atas pertimbangan itu, penyanyi yang popular dengan lagu Rintihan Rindu itu turut seikhlas hati memaafkan rakan sebumbungnya dan berharap Haqiem tidak mengulangi kesilapan serupa.

Sufie, Sharul kembali berdamai

Sementara itu, pegawai perhubungan awam FMC Music, Sam Samin menjelaskan pihaknya enggan mengulas lanjut mengenai isu plagiat yang timbul ekoran penghasilan single baharu Haqiem Rusli, Selamat Tinggal Sayang.

Sam berkata, sebagai komposer yang menghasilkan lagu tersebut, Haqiem perlu menguruskan permasalahan isu plagiat yang timbul dengan Sufie Rashid dan Sharul Kamal.

“Kami pada pihak pengurusan menerima karya itu yang meletakkan nama Haqiem sebagai komposernya. Jika ada hal berlaku di sebalik pembikinan lagu tersebut, siapa kami untuk masuk campur kerana ini adalah isu pemilikan harta intelek.

“Jika benar Sufie dan Sharul ada hak ke atas lagu tersebut, harap mereka boleh berbincang mengenai isu ini secara baik.

“Namun andai sebaliknya, gunalah saluran yang betul untuk membuat tuntutan,” katanya ringkas.

Pun begitu, sama ada Sufie mahupun Sharul, kedua-dua bintang realiti yang lahir daripada program Akademi Fantasia 2015 (AF 2015) menyatakan hubungan mereka dengan Haqiem baik-baik sahaja.

Kedua-duanya menerusi satu kenyataan dalam media sosial mengakui telah berbincang dengan Haqiem dan mencapai persetujuan untuk kembali berdamai, sekali gus enggan memanjangkan isu plagiat tersebut.