Menurut Enot, dia tidak pernah berhenti berlakon, cuma kebelakangan ini, tawaran untuk berlakon amat kurang diterimanya berbanding sebelum ini. Bahkan, bayaran yang ditawarkan kepadanya juga tidak setimpal usahanya.

“Rindu juga untuk ke lokasi penggambaran, malangnya ketika ini tawaran lakonan tiada. Tapi saya juga mengharapkan, seandainya ada tawaran, biarlah bayarannya berpada dengan sumbangan saya.

“Janganlah beri harga yang menyedihkan, macam mana orang lama seperti saya nak hidup. Saya bukanlah mahu demand, juga bukan baru berlakon semalam. Nilailah kudrat saya yang sudah ada pengalaman. Kalau kita minta kerja pejabat pun dibayar mengikut pengalaman,” katanya kepada Mega HITS.

Seperkara lagi, kata Enot, dia tidak pandai untuk menagih peluang berlakon daripada penerbit, sebaliknya lebih selesa bersandarkan pada pengalaman seni serta reputasinya dalam gelanggang lakonan.

“Saya tak suka nak meminta-minta untuk berlakon. Kalau penerbit nak beri peluang kepada saya, sudah tentu mereka akan panggil. Begitu juga kalau ada peluang untuk menyertai program lawak, saya teringin sangat nak mencuba,” kata Enot mengenai hasrat yang sudah lama dipendam.

Enot yang mula dikenali menerusi drama bersiri Mat Despatch berkata, bagi meneruskan kehidupan kini, dia melakukan pelbagai pekerjaan termasuk berniaga.

Sejak bergelar ibu tunggal lima tahun lalu, Enot perlu bekerja keras dan tidak boleh terlampau memilih mencari rezeki kerana mulut anak-anaknya, Adriana Balqis, 18, dan Ariana Qaseh Qistina, 12, harus diberi keutamaan.

“Selepas bercerai, kehidupan saya memang perit. Hanya Allah saja yang tahu bagaimana kami anak beranak terpaksa berusaha keras untuk mencari rezeki.

“Kalau ibu tunggal lain dapat bantuan menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), saya yang isi borang pun tak lulus. Hanya sekali saja saya dapat. Apabila saya tanya alasan kenapa saya tidak dapat, jawapan yang diberikan kerana saya seorang artis. Mereka ingat artis ini kayakah?

“Tak apalah saya dan anak-anak tak malu berniaga. Kami sering berniaga di mana-mana. Tak kira lokasi kerana saya berniaga car boot sale. Apabila berniaga begini, kena halau dengan pihak berkuasa itu perkara biasa. Saya tak salahkan mereka tapi kalau kita cakap elok-elok, mereka pun faham.

“Selalunya kalau saya beritahu anak-anak, ‘jom pergi jalan-jalan’ itu maksudnya pergi niagalah.

“Selain anak-anak, saya turut ditemani seorang sepupu. Setakat ini, anak-anak faham kesusahan mama mereka dan sejak mula menjual produk kesihatan Lemonex. Alhamdulillah rezeki selalu ada.

“Sebelum ini pernah sehari sebelum sambutan Aidilfitri tahun lalu, saya bekerja sementara di butik di Seremban. Sebelum pergi kerja, saya tanak pulut untuk buat ketupat palas yang mahu saya jual kepada pelanggan. Anak-anak yang balut.

“Balik pukul 12 tengah malam, sampai rumah kira-kira pukul 1 pagi. terus saya hantar ketupat palas itu kepada pelanggan, pagi raya baru selesai. Pengalaman itu tidak akan saya lupakan,” katanya dalam nada sebak.

Kata Enot, selepas Hari Raya Aidilfitri, apabila pendapatannya makin susut, dia mengambil keputusan untuk menjual produk kesihatan tersebut dan kini bukan setakat menjual tetapi juga dilantik menjadi duta produk tersebut.

“Pada malam raya itu, saya berdoa kepada Allah, berilah saya duit untuk meneruskan kehidupan. Bukan saya minta duit yang jatuh dari langit dan bukan minta simpati.

“Saya minta agar Allah buka minda saya untuk memudahkan jalan bagi saya mencari rezeki halal, Alhamdulillah, saya dapat idea untuk menjual produk tersebut,” ceritanya lagi. - Gambar NOOR ADZRENE MOHD. NOR

Bahagia tanpa suami

PENGALAMAN gagal dalam rumah tangga sebanyak dua kali menyebabkan Enot enggan lagi memikirkan calon untuk dijadikan sebagai pasangan hidup. Katanya, biarpun sering ditanya bila dia akan berkahwin semula, dia hanya menyerahkan perkara itu kepada takdir.

Buat masa ini, dia lebih senang untuk meneruskan kehidupan dengan anak-anaknya.

“Perhatian utama saya sekarang ini ialah anak-anak dan mereka sama-sama melalui suka duka berkeluarga.

“Cukuplah... saya tak mahu lagi hati saya dan anak-anak terluka. Kami sudah penat lalui semua itu. Bagi saya kalau ada jodoh, adalah. Saya malas nak fikir, biar keadaan menentukan.

“Lagipun sekarang ini saya bahagia, ke mana sahaja nak pergi, saya tak perlu nak jaga hati sesiapa.

“Fokus saya sekarang ialah untuk kembali mengukuhkan ekonomi keluarga selain mengembangkan perniagaan yang sedang saya usahakan sekarang,” ujarnya.

Bercadang untuk membuka kafe di premis kediamannya sekarang, kata Enot, dia mahu orang ramai merasai menu tempatan dan Barat masakannya selain ingin berkongsi ilmu membuat biskut dengan orang lain.

“Sudah lama saya berangan untuk mempunyai kafe sendiri. Saya yakin orang akan datang dan membeli juadah saya bukan kerana saya artis tetapi kerana masakan itu sedap.

“Setakat ini semua masakan yang dijual saya masak sendiri tanpa ada pembantu selain anak-anak dan sepupu,” ceritanya.

Mahu kurangkan berat badan

BERGELAR duta produk Lemonex sejak Julai lalu kerana teruja dengan perubahan dirinya, kata Enot, dia mula menggunakan produk tersebut untuk mengurangkan berat badan yang naik selepas mengambil ubat-ubatan untuk menyembuhkan penyakit kanser usus yang dideritainya.

“Pengambilan ubat-ubatan tersebut menyebabkan berat badan saya naik dan ini menyukarkan pergerakan saya.

“Sejak mencuba produk itu dan berjaya mengurangkan berat badan saya dari 129 kilogram kepada 92 kilogram.

“Melihat kesan yang memberangsangkan itu, saya cuba untuk berniaga dan menghubungi pihak Lemonex, tapi waktu itu saya tak ada modal, jadi mereka beri saya dua kotak dan dalam tempoh dua jam, produk itu habis terjual melalui dalam talian. Orang beli sebab tengok saya sudah kurus,” katanya.

Namun Enot juga terkesan apabila ada suara-suara nakal yang mendakwa, dia kurus kerana sakit dan bukan hasil daripada pengambilan produk tersebut malah tidak kurang juga yang mendakwa dia melakukan proses sedut lemak.

“Kenapa mesti kaitkan saya dengan penyakit yang sudah saya lalui itu. Sebenarnya kesan daripada pengambilan ubat sewaktu sakit, berat badan saya naik dan sebab itu, saya berusaha untuk turunkan berat badan.

“Badan asal saya juga bukanlah segemuk mana cuma selepas bersalin, berat badan saya mula naik.

“Nak kata saya sedut lemak, manalah saya ada duit yang banyak untuk buat prosedur itu semua. Alhamdulillah, dengan produk ini saya nampak kesannya,” jelasnya.

Selain menjual produk kesihatan itu, Enot juga mengambil tempahan menyediakan kek serta biskut. Untuk individu yang mahu memberi kejutan kepada orang tersayang, Enot menyediakan pakej serendah RM50.

“Saya ada buat jumbo surprise party, menyediakan jambangan bunga sempena hari lahir dan sebagainya. Bukan apa, kadang-kadang ada orang teringin nak buat kejutan kepada orang tersayang tapi tak ada bajet.

“Untuk itu mereka boleh tempah menerusi laman sosial di Instagram (jumbofficial_e). Tempahan mestilah tiga hari sebelum acara dan juga boleh dibuat menerusi talian 017-2527834 termasuk untuk membeli produk kesihatan.

“Selain itu saya juga ada menjual sambal petai ikan bilis hingga ke Singapura dan Brunei. Itu dibuat atas permintaan. Sebulan sekali saya akan menjual makanan di Putrajaya.

“Sekarang ini apa sahaja yang boleh mendatangkan rezeki, saya akan buat.

“Semoga Allah lindungi saya selalu supaya saya dapat bekerja untuk mencari rezeki demi anak-anak,” katanya mengakhiri perbualan.