Sebelum ini dia sibuk mencanangkan badannya kurus ramping cuma dengan mengamalkan rutin senaman di gimnasium. Tiba-tiba dia muncul mempromosikan produk kesihatan jenama sendiri dan mendakwa itulah yang menjadi amalannya untuk menjaga bentuk tubuh.

Lantas sahaja label ‘Kilafairy si penipu’ terpalit pada diri anak gadis Rohana Jalil ini dan netizen tentu tidak pernah bermanis mulut ketika rancak menambah minyak ke dalam api.

“Kontra dengan apa yang dicanangkan sebelum ini? Saya tak menipu pun malah tak pernah katakan yang badan saya kurus kerana bersenam di gimnasium semata-mata.

“Saya selalu mengamalkan pemakanan yang sihat seperti yang terkandung dalam produk Kilafit. Tapi apa motifnya saya nak beritahu semua secara umum?

“Itu apa yang saya fikir sebelum ini. Baru sekarang saya berani nak berkongsi selepas berjaya jadikan ia sebagai bahan suplemen dan berniat mahu bantu semua orang,” katanya menjernihkan keadaan.

Disamakan dengan sikap kebanyakan pengeluar produk kecantikan dan kesihatan tempatan, Kilafairy tidak menolak ada sesetengah daripada mereka jelas mementingkan keuntungan dalam perniagaan semata.

“Inilah yang memotivasikan saya untuk menghasilkan produk sendiri. Rasa terpanggil untuk berkongsi kebaikannya pada semua. Apa yang penting, saya bukan mahu kaut keuntungan sahaja.

“Saya sendiri pernah mencuba macam-macam produk tapi tidak memberi kesan. Jadi saya benar-benar faham aspek ini,” katanya.

SINDIR NELYDIA

TERDAHULU nama Kilafairy panas apabila dikatakan menyindir sesama rakan artis. Dituduh sinis terhadap Nelydia Senrose di Twitter yang menyentuh isu hak asasi haiwan, dia nafikan cuba mewujudkan perbalahan dengan pelakon itu.

Katanya, banyak pihak tersalah faham mengenai perkara tersebut yang mana kenyataan mengenai hak asasi haiwan di Twitter tempoh hari dibuat secara umum dan bukan terhadap individu tertentu.

“Ia akan dilihat khas ditujukan pada orang tertentu andai individu itu terdiri dalam kalangan manusia bodoh yang hilang pertimbangan menyeksa haiwan sebagaimana yang sering dipaparkan dalam internet.

“Lepas tengok gambar Nelydia bermesra dengan ikan lumba-lumba di Instagram, saya sendiri komen pada gambar tersebut dan suka melihatnya. Tapi tak sangka ada pihak yang memutarbelitkan hal ini sehinggakan Nelydia pun turut kecewa,” katanya.

Enggan memanjangkan isu, katanya cukuplah semua pihak tahu bahawa dia dan Nelydia tidak pernah bermasam muka sejak perkara ini ditimbulkan.

Pun begitu, dia bertegas tidak akan berdiam diri dalam isu hak asasi haiwan kerana menganggap ia adalah salah satu daripada matlamat hidupnya.