Menurut Kaka atau nama penuhnya Nor Atiqa Noor Azraff, 30, dia seboleh-bolehnya tidak mahu memperbesarkan isu yang tular pada bulan lalu berkenaan perbalahan di antaranya dengan rakan artis, Juliana Evans.

Hubungan persahabatan dua insan popular ini yang dahulunya rapat dikatakan bermasalah setelah masing-masing dilihat membalas kenyataan dalam laman sosial yang dirahsiakan puncanya.

 

“Ramai orang bertanya kepada saya mengenai perkara ini tetapi sebenarnya saya sendiri tidak tahu apa yang berlaku.

“Saya tidak boleh komen banyak sebab ini membabitkan dua pihak. Jika saya bercakap dan keluarkan kenyataan, nanti orang lain pula terasa.

“Cuma apa yang boleh saya cakap sempena bulan baik dan hari yang baik, juga sekarang ini saya membawa berita baik (mengandung), jadi saya secara peribadi meminta maaf jika ada menyinggung mana-mana pihak yang terasa.

“Saya tak mahu berita yang kurang enak ini boleh merosakkan kehidupan saya dan pihak sana kerana isu itu bukan benda baik untuk diperbesarkan,” tuturnya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Sibuk itu juga berlapang dada untuk memaafkan pihak tersebut dan enggan lagi mengeruhkan keadaan.

“Saya rasa ini normal. Orang lain pun ada masalah persahabatan tapi saya rasa ia tak perlu dihebah atau dicanang.

“Saya menahan diri untuk tidak membuka cerita sebab ia tidak bagus untuk dikongsikan pada bulan mulia ini.

“Apa yang pasti, saya memaafkan. Itu saja saya boleh cakap. Saya mahu ia diselesaikan dengan baik kerana hati ini tidak mahu berbalah.

“Saya cuma mahu kasih sayang sekarang. Itu juga yang saya inginkan untuk bayi dalam kandungan. Bila sudah kahwin, baru saya faham suami adalah orang yang perlu kita taat dan utamakan dahulu berbanding kawan-kawan,” ulasnya.

Kata Kaka, 30, dia juga tidak pernah cuba untuk bersemuka.

“Saya tak ada cuba nak bersemuka kerana rasanya perkara ini biarlah reda sendiri. Lagipun dunia ini kecil sahaja.

“Sejauh mana kaki kita melangkah, ‘pusing-pusing’ jumpa juga. Sebab itu saya tidak cuba mencari selain tak mahu keruhkan keadaan,” ujarnya yang berharap pihak luar tidak menilai dan memberi pandangan negatif.