RAZIF atau Angah masih bersama Projektor Band.

Razif atau dipanggil Angah, menegaskan dia kini bergerak aktif bersama dua kumpulan terbabit.

“Sebelum Projector Band dikenali, saya terlebih dahulu tubuhkan Satu Band pada tahun 2013. Tetapi kami buat keputusan untuk perkenalkan kumpulan satu persatu.

“Kedua-dua kumpulan itu bernaung di bawah satu syarikat rakaman yang sama iaitu Map Music. Justeru, tiada masalah untuk saya bergerak aktif dengan mereka.

“Saya masih lagi ahli kumpulan Projector Band dan pemain gitaris mereka,” kata Angah.

Menjawab spekulasi dan kekeliruan yang berlaku, jelas Razif dia tidak mempunyai sebarang masalah atau kemelut dengan kumpulan asal sehingga menyertai Satu Band.

“Ini merupakan projek khas dari syarikat rakaman kami. Ahli kumpulan Projector Band memang tahu saya sertai Satu Band dan jujurnya mereka tidak kisah.

“Kedudukan Projector Band di dalam industri seni boleh dikatakan semakin kukuh. Kini, tiba masanya untuk saya cuba membantu Satu Band pula.

“Tiada istilah kami bergaduh atau bermasam muka sehingga saya menubuhkan kumpulan lain. Itu tidak benar,” katanya.

Single terbaharu Satu Band berjudul Sarena Nur Raina sudah mula berkumandang di corong radio tempatan.- UTUSAN ONLINE