EMMA MAEMBONG mengakui sudah berkawan dengan Syed Saddiq sejak tiga tahun lalu.

Menolak dakwaan pengikutnya di laman media tersebut yang mendakwa dia cuba mengambil kesempatan untuk menjalin hubungan dengan Ahli Parlimen Muar itu, jelas Emma sendiri dia sudah mengenali Syed Saddiq sejak tiga tahun lalu.

“Saya kenal dia melalui pembantu peribadi saya sejak tiga tahun lalu.

“Pada mulanya saya meninggalkan pesanan di laman sosial miliknya untuk membuat kejutan kepada pembantu peribadi saya yang cukup mengagumi Syed Saddiq. Jujurnya dia seorang yang sangat merendah diri dan sanggup datang ke majlis hari lahir itu dengan membawa kek,” katanya.

Tambah Emma, dakwaan yang mengatakan dia cuba mencuri hati ahli politik kacak itu tidak benar kerana selama ini mereka sudah lama berkawan.

“Kalau melihat gambar di Instagram sebelum ini memang sudah ada gambar dia yang saya kongsikan. Cuma bagi mereka yang baru pertama kali melihat saya memuat naik gambar bersama Syed Saddiq yang membuat spekulasi .

“Malah dia turut menghadiri majlis pelancaran filem saya sebelum ini,” katanya yang ditemui pada sidang akhbar Mood Republik Back To Back Galore Festival 2018.

Sementara itu ketika ditanya mengenai kisah peribadi serta hubungannya dengan Kamal Adli, kongsi Emma sehingga ke saat ini dia dan pelakon kacak itu hanya rakan biasa.

“Tiada apa yang boleh saya kongsi mengenai hubungan saya dengan Kamal sebab hubungan kami hanya sebagai kawan,” katanya ringkas.- UTUSAN ONLINE