SASHA kini sibuk dengan pelbagai aktiviti seni terutama mengacara rancangan pelancongan dan menyanyi.

Penyanyi dan pelakon, Sasha Saidin tidak menafikan menjadi ibu tunggal kepada puteranya, Adam Aryasenna Notosoemarsono atau lebih selesa dipanggil Arya bukan sesuatu yang boleh dipandang enteng.

Bagi Sasha, walaupun dia mempunyai sokongan kuat daripada ahli keluarga dan teman rapat, kadang-kala rasa sukar itu hadir di dalam benaknya.

“Tetapi saya tidak mahu ambil pusing sehingga jadi runsing. Saya positif dan bersyukur kerana masih berupaya melalui hidup ini berbekalkan semangat yang ada.

“Saya amat bernasib baik kerana ada ibu dan ahli keluarga sekeliling yang sentiasa menyokong saya di saat sukar dan senang,” katanya kepada S2.

Menurut Sasha, Arya yang kini berusia sembilan tahun seolah-olah memahami situasi ibu bapanya dan jarang bertanyakan hal bapanya kepada Sasha.

“Sesekali dia bertanya, cuma tidak banyak. Apabila saya menjawab, dia seperti memahami. Jadi, sifat Arya sememangnya banyak membantu saya,” katanya yang sudah enam tahun hidup sebagai ibu tunggal.

Sasha sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan Salyo Priyanto Nutosoemarsono yang berasal dari Indonesia pada 2007, tetapi bercerai talak satu pada 10 Julai 2012.

Sebelum Salyo, Sasha pernah bernikah dengan Jason Skinner atau nama Islamnya, Johan Abdullah Skinner pada 21 Jun 2003 di Masjid Central Regent Park, London, namun berpisah empat tahun kemudian.

Sasha juga tidak memaksa bekas suaminya memberikan nafkah yang sepatutnya diterima sejak bercerai, memandangkan dia memahami keadaan kewangan Salyo di Indonesia.

“Saya faham..., mungkin dia ada masalah kewangan. Tetapi saya tegaskan, dia seharusnya sedar tanggungjawab dia kepada Arya. Namun saya tidak pernah berkeras atau memaksa. Terpulang kepadanya,” katanya.

Ditanya mengenai pengalaman perkahwinan, Sasha berkata, dua kali berkahwin banyak mengajar dirinya erti hidup berumah tangga yang sebenar.

Katanya, hidup berpasangan memerlukan rasa tanggungjawab dan kesefahaman yang tinggi, selain mampu menyesuaikan diri dengan latar belakang pasangan terutama jika berlainan budaya.

Tambah Sasha, faktor kesesuaian dengan budaya dan agama juga memainkan peranan penting dalam kebahagiaan rumah tangga.

“Saya tidak serik untuk berkahwin lagi buat kali ketiga tetapi biar kali ini, tidak terburu-buru. Tidak dinafikan budaya dan agama amat penting. Harus ada kesefahaman dalam apa juga perkara.

“Jadi, saya rasa tidak perlu tergopoh-gapah. Saya mahu tenang-tenang sahaja. Saya mahu biar lelaki yang hadir dalam hidup saya memahami saya dan boleh menerima Arya. Itu yang penting,” katanya.

Sasha tidak menafikan, dia kini sedang mengenali hati budi seorang jejaka yang dianggapnya sebagai rakan baik dirinya dan keluarga.

“Ya..., saya ada rakan baik dan dia seorang lelaki tempatan. Tetapi buat masa ini, tiada apa-apa yang berlaku. Kami hanya berkawan baik,” katanya.