Malah Santesh atau Shantesh Kumar, 30, tidak menduga lagu dendangannya itu mendapat sambutan hangat khalayak memandangkan dia bukan penyanyi Melayu.

Menariknya, kebanyakan warganet juga memuji lagu dendangan Santesh itu yang bagi mereka begitu menghiburkan.

Berkongsi cerita tentang pembabitannya untuk lagu berkenaan, kata penyanyi yang berasal dari Kapar, Kelang, Selangor itu, semuanya bermula apabila Harry memuat naik dalam laman sosial mengatakan yang dia mencari penyanyi bagi lagu tersebut.

“Saya memang mengimpikan untuk menjadi penyanyi rakaman dan melihat cabaran Harry mencari penyanyi untuk lagu Amalina, saya pun mencuba nasib dan tak sangka diterima.

“Saya menyanyikan lagu itu dalam bahasa Tamil selepas diterjemah dalam bahasa Melayu. Tak sangka pula dalam ramai yang menyahut cabaran itu, Harry memilih saya.

“Selepas lagu dimuat naik dalam YouTube dan jumlah tontonan mencecah 3,000, saya mula yakin yang lagu itu boleh pergi jauh,” ceritanya.

Jelas Santesh, dia mula menyanyi sejak kecil kerana sering mengikut bapanya yang merupakan seorang pemuzik.

Dia yang boleh bermain keyboard, gitar dan dram itu berharap kejayaan lagu Amalina akan membuka ruang lebih luas untuknya mencipta nama dalam kalangan masyarakat Melayu seperti kumpulan Alleycat.

“Adik-beradik saya seramai 12 orang dan semuanya boleh menyanyi tapi saya seorang saja yang serius dalam seni.

"Sebelum ini saya pernah menyertai pertandingan Vaanavil Superstar 2011 dan Singapore Superstar Challenge 2013, saya juara menewaskan peserta dari Singapura dan Sri Lanka.

“Selepas ini kalau ada peluang untuk menyertai sebarang program realiti di Malaysia, saya mahu mencuba nasib kerana ingin mencari pasaran Melayu pula. Kalau boleh saya mahu dikenali dalam kalangan masyarakat India dan Melayu tempatan,” katanya.

Selepas mempopularkan lagu Amalina dalam bahasa Melayu, Santesh kini tampil dengan versi Tamil yang dijangka dimuat naik secara rasmi dalam YouTube pada 28 Oktober nanti.

Bagi Santesh, lagu Amalina secara tidak langsung membawa rezeki kepadanya kerana sekarang ini dia mendapat banyak undangan nyanyian dalam kalangan masyarakat Melayu.

Selain lagu Amalina, Santesh juga pernah mendendangkan lagu Joget Kahwin dan Raya Malaysia ciptaannya yang dikongsi dalam laman YouTube.

Kisah cinta budak sekolah

PADA asalnya, lagu Amalina dendangan Santesh dibuat khas oleh Harry Khalifah untuk anaknya, Mizan yang berusia 13 tahun. Sebelum ini Mizan pernah mendendangkan lagu Ayah Ibu yang dimuat naik dalam YouTube pada 8 Januari lalu.

Bagaimanapun kata Harry, disebabkan Mizan sibuk dengan persekolahan, dia berhasrat untuk mencari penyanyi lain dan dia mengadakan cabaran Amalina dalam laman sosial.

Jelasnya, lagu Amalina berkisar tentang kisah percintaan budak sekolah dan budak sekolah yang bernama Amalina itu memang wujud di sekolah Mizan.

“Disebabkan Mizan tak boleh bagi komitmen, saya berusaha cari penyanyi lain. Dalam ramai yang hantar nyanyian mereka kepada saya, si Santesh ini tag saya lagu Assalamualaikum Ustazah.

“Saya rasa dahsyat mamat ini, sudahlah bangsa India tapi menyanyi lagu Melayu dengan penghayatan yang bagus.

“Saya cari dia dan bagi lagu Amalina. Saya minta dia menyanyi dalam bahasa Tamil sebab nakkan kelainan dan dia setuju. Dia tukar lirik dan menyanyi dalam Tamil.

“Apabila saya dengar, sedap pula nyanyiannya. Sekarang ini bila lagu dendangannya dalam bahasa Melayu, saya keluarkan pula versi Tamil,” cerita Harry.