Mengakui kejayaan HKL mengaut kutipan sebanyak itu begitu luar biasa, Penerbit Eksekutif Infinitus Gold, Gayatri Su-lin Pillai memberi bayangan naskhah ber­kenaan akan memulakan penggambaran tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Gayatri berkata, idea untuk menerbitkan sambungan HKL masih dalam peringkat perbincangan dan kata putus hanya akan dibuat selepas semua pihak yang terlibat dalam filem ini memberi persetujuan.

“HKL merupakan filem kedua terbitan Infinitus Gold dan saya sendiri tidak menjangka sambutan luar biasa yang diterima daripada filem arahan Mamat Khalid ini. Menerusi kenyataan yang diberikan Mamat, mungkin kami akan meneruskan francais filem ini. Bagaimanapun buat masa ini semuanya masih dalam proses perbincangan.

“Jika tiada aral filem kelima dalam siri Kampung Pisang ini dijangkakan akan ditayangkan pada tahun depan pula,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Gaytri berkata demikian sebagai mengulas kejayaan filem HKL terbitan Infinitus Gold yang melakar sejarah baharu dalam gelanggang perfileman Melayu apabila mencatat rekod kutipan tertinggi selepas 18 hari ditayangkan di pawagam.

Kejayaan HKL mencatat kutipan RM32.5 juta disokong oleh jalan cerita filem berkenaan yang disifatkan sangat menarik serta sarat dengan unsur-unsur humor selain masa tayangan yang bertepatan dengan musim pe­rayaan dan cuti sekolah.

Sementara itu, Gayatri turut memberitahu, syarikat penerbitan filem itu juga sedang merancang untuk mengadakan majlis me­raikan kejayaan filem berkenaan pada minggu hadapan.

Filem HKL merupakan judul keempat dalam siri Kampung Pisang bermula dengan Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah serta Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit.

Naskhah berkenaan mengisahkan Kak Limah yang baru sahaja berumah tangga, telah ditemui mati dalam keadaan yang mengerikan di dalam kebun.

Antara pelakon yang membintangi filem ini ialah Datuk Awie, Zul Ariffin, Uqasha Senrose dan Delimawati.

Mamat juga menampilkan usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Dr. Vida serta artis popular, Erra Fazira sebagai bintang undangan khas dalam HKL.