Tatkala bertemu dan bertentang mata, Siti Nurhaliza melihat Wany punya jalan yang luas dalam bidang muzik dan yakin masa depan bintang ini akan menyerlah dan bersinar indah.

 

Puji Siti Nurhaliza, Wany mempunyai pakej yang sempurna sebagai seorang penyanyi, berpenampilan menarik dengan suara yang bagus.

“Saya melihat Wany seorang penyanyi muda yang mempunyai banyak kelebihan. Dia cantik, bijak, lembut orangnya dan suara pun sedap serta lunak.

“Saya percaya dia mampu pergi jauh dalam bidang seni dengan syarat ada bimbingan dan tunjuk ajar daripada mereka yang berpengalaman untuk membawanya ke arah yang tepat.

“Apa yang penting, mesti kerja keras dan selalu meningkatkan kemampuan diri dan jangan sentiasa berpuas hati dengan apa yang dihasilkan. Selalu kemas kini bakat seni dan belajar selalu,” kata diva tersohor ini.

Buat Wany sendiri yang terkesima apabila diminta bergandingan dengan Siti Nurhaliza dalam satu majlis keraian, seakan terpukau dek kagum dengan artis pujaannya berada di depan mata.

 

Apapun tiga tahun mencanai bakat dalam dunia nyanyian, pesona penghibur Wany semakin mendapat tempat di hati pencinta muzik tempatan.

Walaupun angka tersebut masih dikira setahun jagung, pemilik nama sebenar Nurshazwany Hasrita Hasbullah teguh membina nama demi impiannya yang mahu berdiri sama tinggi dengan penghibur terkenal tanah air.

Bakal muncul dengan single terbaharu bersama Datuk Jamal Abdillah pada September hadapan menerusi lagu Belenggu Rindu, Wany cukup teruja menanti maklum balas peminat.

“Saya terlalu teruja dengan koloborasi ini sebab nak lihat penerimaan orang terhadap lagu yang kami nyanyikan.

“Lagu itu adalah hasil ciptaan Ezra Kong dan Hael Husaini yang rata-rata tahu sentuhan mereka lain macam.

“Selepas Jamal, dalam senarai peribadi saya hendak berduet pula dengan Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir.

“Mungkin harapan saya itu terlalu tinggi tapi tak mustahilkan? Kalau dapat jadi penyanyi latar Siti Nurhaliza pun tak mengapa.

“Sebenarnya berduet dengan artis-artis legend dapat memberi semangat kepada saya untuk meningkatkan kemampuan diri. Takkanlah saya nak menyanyi dengan Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir tapi kualiti nyanyian saya sekadar biasa-biasa sahaja.

“Di samping itu, saya juga dapat peluang untuk kutip ilmu seni dan curi rahsia dengan mereka bila bekerja bersama sebab banyak masa diluangkan bersama,” katanya.