Ditubuhkan pada 2015 di Indonesia, Sabyan Gambus dianggotai enam anak muda iaitu Khoirunnisa atau Nissa sebagai vokalis, Ahmad Fairuz, Sofwan Yusuf, Kamal, Tubagus Syaifulloh dan Anisa Rahman.

Memberi fokus kepada lagu keagamaan, nama kumpulan ini sebenarnya mula mendapat perhatian melalui lagu saduran yang dinyanyikan kembali berjudul Deen As Salam.

Bercakap mengenai kelebihan yang mereka miliki sehingga mampu menjadi idola remaja di seluruh dunia ternyata anggota Sabyan Gambus juga terkejut dengan penerimaan peminat dalam tempoh beberapa tahun ini.

“Ikutkan di Indonesia sendiri memang ramai penyanyi muda yang memilih lagu keagamaan. Jadi soal kelebihan yang dimiliki kami sehingga menjadi pilihan ramai sukar untuk kami tafsirkan.

“Jawapan ini ada kepada peminat muzik kami sendiri,” kata Sofwan Yusuf mewakili kumpulannya.

Ditanya sama ada penyanyi utama kumpulan ini, Nissa menjadi tarikan utama kepada populariti Sabyan Gambus, Sofwan tidak melihat itu sebagai sebab utama.

“Ikutkan masih ramai penyanyi wanita lain yang cantik dan mempunyai suara yang bagus. Soal ini sukar untuk saya jelaskan.

“Bagaimanapun saya akui tidak ramai anak muda kini yang meminati lagu-lagu keagamaan, mungkin kelebihan muzik juga memainkan peranan,” katanya.

Masih terlalu awal untuk membuat eksperimen, kala ini Sabyan Gambus tidak melihat perlu untuk mereka mengubah komposisi muzik yang dibawa.

“Sehingga kini, kami hanya akan membawakan komposisi muzik yang sama sahaja untuk semua lagu kami, malah tidak juga terfikir untuk menambah instrumen lain untuk single ketiga yang sedang kami rancangkan.

“Yang pasti pada waktu ini, muzik yang dibawa oleh Sabyan Gambus mudah diterima pelbagai lapisan masyarakat tidak kira peringkat umur,” jelasnya.

Dipertikai sesetengah pihak terhadap cara dakwah mereka melalui muzik yang dilihat bertentangan dengan aurat suara wanita, ternyata Sabyan Gambus mengambil jalan selamat untuk tidak mengutarakan sebarang pendapat berhubung soal tersebut.

“Lebih baik untuk tidak mengeluarkan sebarang komen dalam hal ini. Sebab kalau mahu berbicara soal dakwah, kami sebetulnya bermain muzik, sukar untuk dinilaikan dalam hal ini,” katanya ringkas.

Konsert di Malaysia

Mendapat 200 juta tontonan dalam YouTube melalui lagu Deen As Salam, jenama Sabyan Gambus juga buat pertama kalinya akan bertandang ke negara ini untuk mengadakan konsert buat peminat di Malaysia.

“Tidak dinafikan kami sangat teruja untuk bertemu peminat di sini.

"Melalui konsert ini juga besar harapan kami agar hubungan yang terjalin antara Sabyan Gambus dan peminat akan terus kuat selain mengukuhkan nama Sabyan Gambus itu sendiri di negara ini,” jelas Ahmad Fairuz pula.

Ditanya mengenai kelainan konsert yang bakal berlangsung pada 12 Januari depan di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor, Ahmad Fairuz masih tidak mempunyai jawapan namun istimewanya kumpulan ini memilih Malaysia sebagai lokasi untuk memperdengar single ketiga mereka.

“Kami akan membawakan 10 buah lagu pada konsert tersebut selain single baharu kami yang masih belum mempunyai judul akan dipersembah buat pertama kali pada konsert ini yang berlangsung selama tiga jam.

“Yang akan turut menjayakan konsert ini adalah penyanyi nasyid tempatan seperti UNIC, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi,” katanya.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan tiket Konsert Sabyan Gambus Live in Malaysia 2019 boleh melayari www.ticket2uu.com.my/konsertsabyan2019.