Bukan itu sahaja, keakraban mereka juga dipaparkan menerusi beberapa keping gambar di laman Instagram masing-masing sekali gus mengundang spekulasi mendakwa wujud elemen cinta antara satu sama lain.

Pun begitu, bertemu Ruhainies pada majlis sambutan hari lahirnya yang ke-25 Sabtu lalu, semua itu dinafikan, malah menegaskan hubungannya dengan Asyraf adalah sekadar kawan.

“Kami pernah digandingkan sebagai hero dan heroin dalam siri Jejak Karmila yang diterbitkan oleh Zeel Production. Dari situ, baru perkenalan kami bermula dan menjadi rapat.

“Tetapi tidak lebih daripada sekadar rakan artis. Lagipun Asyraf seorang yang baik, tidak salah untuk saya berkawan dengannya," ujarnya.

Pada masa yang sama, Ruhainies memberitahu dia tiada sebarang perancangan untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat meskipun sedar usia semakin meningkat.

Katanya, ada misi peribadi yang mahu disempurnakan terlebih dahulu dan niat tersebut ditanam ketika mula-mula menjejakkan kaki sebagai anak seni.

“Alhamdulillah, hasrat pertama saya untuk menghantar ibu bapa menunaikan ibadah haji bakal terlaksana pada Ogos ini.

“Keduanya, saya ingin membelikan mereka sebuah rumah yang selesa memandangkan masing-masing sudah tidak bekerja. Kami adik-beradik sedang berusaha untuk mencari kediaman yang sesuai untuk mereka yang mahukan kejiranan bandar,” ujar pemilik nama penuh Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas itu.

Dalam perkembangan terbaharu, Ruhainies akan menjalani penggambaran drama di Paris, Perancis untuk menjayakan telefilem Cikgu Dina Pakai Prada Ke Paris, sekuel kepada Cikgu Dina Pakai Prada. - UTUSAN ONLINE