Dianggotai Farrish Zaquan Ramli (Cat Farish), Mohd. Kamaruzaman Zain Abdul Hamid (Zain Hamid), Azan Addin Abdul Wahab (Azan Addin), Amer Munawer Yusoff (Amer Munawer), Syed Hussein Syed Mustafa (Sein) dan Syed Mohammad Syed Abdullah (Mode), jenama Ruffedge kekal utuh biarpun masing-masing sepakat membawa haluan sendiri.

Perjumpaan semula kesemua anggota pada 2016 mencetuskan idea untuk kemunculan semula.

Tuah berpihak kepada Ruffedge apabila persembahan dalam beberapa majlis pada tahun ini antaranya majlis perkahwinan Fattah Amin dan Fazura serta Anugerah MeleTop Era mendapat perhatian warga netizen.

Enggan mempersia-sia peluang untuk kembali menyinar dalam industri muzik, Ruffedge mengumumkan mereka mahu mengubat rindu peminat menerusi konsert berskala besar yang diberi nama Ruffedge: 20th Anniversary.

Sebaik sahaja diumumkan, mereka mendapat berita gembira apabila tiket konsert laris dijual hanya dalam masa dua jam selepas dilancarkan, manakala tiket untuk sesi temu mesra (meet and greet) habis terjual dalam masa tiga minit sahaja. Terbukti, Ruffedge masih mempunyai setia yang amat merindui mereka.

Dan penantian dan kerinduan peminat berakhir pada malam 4 Ogos lalu. Kehangatan konsert bermula seawal 6 petang apabila peminat mula membanjiri pekarangan Life Centre, Kuala Lumpur meskipun sudah maklum bahawa konsert bermula pada pukul 9 malam.

Sebaik sahaja pintu dibuka pada pukul 8 malam, peminat tidak mengambil masa yang lama untuk mengambil tempat dan memenuhi ruang hadapan pentas. Mereka menanti dengan penuh sabar kemunculan enam lelaki pujaan di pentas.

Tepat pukul 9 malam, peminat sekali lagi membuktikan kerinduan mereka apabila menghadiahkan tepukan gemuruh dan jeritan bergema tatkala Cat, Zain, Azan, Sein dan Mode muncul membuka pentas menerusi lagu Da’Bomb.

Meneruskan persembahan dengan lagu Tiada Lagi Cinta, Babygirl dan medley R&B In The Still Of The Night, All My Life, I Care Bout You dan 5 Step bersama-sama gabungan vokal yang mantap dan gerak tari yang bertenaga ternyata faktor usia antara 35 tahun hingga 44 tahun tidak menghalang mereka beraksi lincah seperti awal kemunculan pada dua dekad lalu.

Suasana bertukar lebih gamat apabila Amer yang pada awalnya dikatakan tidak dapat menyertai mereka kerana sudah pulang ke Oman muncul mengejutkan peminat. Kemunculan Amer menyertai anggota lain mendendangkan lagu Kasih dan Percaya membuatkan penonton yang majoritinya adalah wanita histeria seketika.

“Kasih dan percaya. Apa yang terjadi pada malam ini adalah kerana anda telah memberikan kasih dan anda sungguh percayakan kami,” ucap Amer usai menyanyikan lagu tersebut.

Dan sorakan padu dan nyanyian bersama-sama penonton bagai tidak berakhir sepanjang Ruffedge menghadiahkan 11 buah lagu lagi iaitu Kerinduan (duet dengan Jaclyn Victor), Belaian Jiwa (duet dengan Pot Innuendo) serta medley Lelaki, Secebis Kepercayaan dan Berkenalan selain Tipah Tertipu, Lemas, Seperti Mereka, Kerna, Bila Rindu, Saat Bahagia dan Khalayan.

Ternyata penantian 10 tahun yang berbaloi selepas ‘meninggalkan’ seketika dunia nyanyian. Itulah yang dapat disimpulkan usai konsert berdurasi dua jam 30 minit ini.