Sebaliknya barisan asal Ruffedge iaitu Farrish Zaquan Ramli (Cat Farish), Mohd. Kamaruzaman Zain Abdul Hamid (Zain), Azan Addin Abdul Wahab (Azan), Syed Mohammad Syed Abdullah (Mode) dan Syed Hussein Syed Mustafa (Sein) kekal bersatu, meskipun Ruffedge tidak lagi aktif dalam industri.

Kehilangan mereka yang disifatkan sebagai tempoh hibernasi ini bukan kerana suka-suka tetapi masing-masing memilih untuk membawa haluan sendiri demi komitmen lain. Bagaimanapun, jauh dalam lubuk hati, nama Ruffedge tetap tersemat utuh.

Buktinya, selepas 10 tahun ‘ditidurkan’, kumpulan yang popular dengan lagu Tipah Tertipu ini kembali bangkit demi kecintaan terhadap muzik serta untuk mengubat rindu peminat yang tidak pernah jemu memberi sokongan.

Menjelaskan tentang sejauh mana projek ‘muncul kembali’ ini, Sein berkata, mereka tidak mampu merancang keseluruhan masa depan Ruffedge. Namun dia yakin selagi hati terus bersatu, perjalanan mereka pasti lebih panjang.

“Semuanya berbalik kepada rezeki. Seperti juga kami yang tidak dapat menjangka yang kami akan berhibernasi selama 10 tahun lalu, begitu juga dengan perjalanan kami untuk masa hadapan ini.

“Akan tetapi kami yakin dengan keputusan kali ini kerana kami masih lagi berkongsi kecintaan yang sama iaitu muzik.

“Sebenarnya beberapa tahun lalu kami sudah sepakat untuk kembali aktif dalam industri, namun ketika itu bukan rezeki kami.

“Jadi, apabila diberi peluang dan rezeki untuk muncul kembali, sukar untuk kami menolak takdirnya,” ujar Sein.

Ruffedge mula membuatkan peminat mengimbau kembali kenangan lalu selepas muncul dengan persembahan mengagumkan dalam majlis persandingan Fattah Amin dan Fazura serta majlis Anugerah MeleTOP Era 2018 (AME2018) yang lalu.

Susulan daripada itu, Ruffedge turut mengumumkan penganjuran konsert berskala besar pertama mereka sempena menyambut ulang tahun ke-20 penubuhan kumpulan tersebut yang akan berlangsung pada 4 Ogos nanti.

Bagi membuktikan bahawa mereka tidak main-main dalam soal kemunculan semula ini, Ruffedge turut menghadiahkan peminat sebuah lagu baharu berjudul Seperti Mereka.

Menurut Azan, sebagai menghargai sambutan luar biasa terhadap lagu Bila Rindu, mereka menghasilkan lagu baharu itu dengan menggunakan konsep nyanyian yang sama.

“Sebenarnya lagu tersebut sudah lama dicipta kerana pada asalnya lagu Seperti Mereka dihasilkan untuk Zahid AF2 untuk dinyanyikan secara solo. Bagaimana tidak menjadi seperti yang kami harapkan kerana lagu itu lebih sesuai dinyanyikan secara berkumpulan.

“Disebabkan terlalu sayangkan hasil karya tersebut, kami sepakat untuk merakam lagu tersebut apabila kembali dalam industri dan dijadikan buah tangan baharu untuk peminat yang selama ini merindui lagu nyanyian kami,” jelasnya.

Konsert eksklusif

JIKA sesetengah penyanyi lain menjadikan tawaran persembahan sebagai salah satu latihan persediaan menghadapi konsert besar, berbeza pula dengan Ruffedge.

Bagi menyuntik elemen eksklusif dalam konsert mereka nanti, kelima-lima anggota kumpulan ini sepakat untuk tidak menyanyi secara terbuka.

“Kami tidak akan mengadakan persembahan terbuka sebelum konsert kerana kami ingin memberi nilai eksklusif kepada peminat yang datang menonton.

“Jika diberi tawaran, kami akan berbincang secara baik. Dalam soal ini, kami bertuah kerana Ramadan akan tiba dan sejak dahulu kami memang tidak menerima sebarang tawaran nyanyian pada bulan tersebut.

“Setakat ini, kami akan berlatih secara tertutup sebagai persediaan. Selebihnya, kami hanya muncul untuk mempromosikan konsert sahaja,” ujar Zain pula.