Masakan tidak, penyanyi Nayunda Nabila Nizriah, 28, bermati-matian merasakan dirinya sudah tiada lagi tempat di negara kelahirannya, Indonesia. Persaingan sengit antara penyanyi sedia ada ditambah dengan pengalaman ditipu orang berkepentingan dalam bidang tersebut menyebabkan dia trauma.

NAYUNDA NABILA NIZRIAH
NAYUNDA NABILA NIZRIAH

Beberapa kali juga anak kelahiran Makassar, Indonesia ini seakan-akan mahu mengalah dengan apa yang berlaku. Kerap kali juga dia membayangkan yang dia mahu sahaja melupakan terus bakat nyanyiannya itu buat selama-lamanya.

Bagaimanapun tanggapannya itu salah sebaik sahaja bertemu dengan wanita berkenaan dalam satu pertemuan di ibu kota. Lela telah memberi harapan baharu buatnya dalam menyambung hayat kerjaya nyanyiannya yang dirasakan tiada harapan lagi.

“Ini bukan soal saya sengaja melupakan tanah air sendiri dan memilih ‘padang’ yang lebih hijau di negara luar. Tetapi ini soal rezeki yang hanya ditolak oleh orang yang tidak bijak menilai peluang mendatang itu.

“Saya tidak akan lupa dengan setiap keperitan dek penipuan dilakukan oleh pihak yang mengambil kesempatan terhadap saya selama ini. Barangkali ini adalah hikmah daripada penderitaan yang dialami sebelum ini,” katanya mengenang detik pahit terjadi kepadanya sebelum ini.

Enggan memperbesar-besarkan apa yang telah terjadi, Nayunda percaya apa yang dialaminya itu adalah pengajaran untuk dirinya lebih berhati-hati pada masa depan. Dia tidak boleh sewenang-wenangnya meletakkan kepercayaan kepada orang lain untuk masa depannya sendiri.

Bekas finalis pertandingan nyanyian realiti Indonesian Idol 2012 ini juga tidak boleh berkompromi dengan pihak yang sengaja mengambil kesempatan ke atas dirinya itu. Cukuplah dengan apa yang telah terjadi kepadanya sebelum ini.

“Kalau dulu, mungkin saya naif dan terlalu mengambil mudah dengan apa yang terjadi. Saya tidak kisah diperlakukan sebegitu tetapi kini tidak lagi. Saya akan menuntut hak saya jika itu adalah kebenarannya,” tegas Nayunda.

Nama Nayunda hangat diperkatakan apabila terbabit dengan isu ciplak lagu berjudul Lelah Mengalah yang turut dipopularkan oleh pasangan kembar Norzafira dan Norsyafira Mohd. Rafiq atau The Mirza.

Lagu mendakwa dirinya penyanyi asal lagu tersebut yang turut memperkenalkan namanya dalam industri nyanyian ketika bernaung di bawah syarikat rakaman, Label 18 Musik. Lagu tersebut mendapat sambutan hangat sehingga 20 juta tontonan di YouTube sejak dimuat naik pada Januari 2018.

Terkini, Nayunda bernaung di bawah syarikat pengurusan Lelaritz Management yang diuruskan oleh Mustakim Johari.

Ilmu undang-undang

SEBAGAI persiapan agar tidak berlaku penipuan ke atas dirinya selepas ini, Nayunda mendalami jurusan undang-undang di Universiti Trisakti, Jakarta Barat. Kini dia dalam pengajian tahun akhir sebelum tamat sepenuhnya pada hujung tahun ini.

Di situ, dia mempelajari dunia perundangan dengan sedalam-dalamnya agar tidak lagi tersalah langkah pada masa depan. Itu juga bekalan berguna buat dirinya untuk tidak lagi dipergunakan sewenang-wenangnya dengan pihak yang berniat jahat kepadanya.

“Saya adalah pemegang ijazah sarjana muda dalam pengurusan ekonomi. Tetapi atas nasihat orang tua, saya mengambil ijazah kedua dalam bidang undang-undang tidak lama kemudian. Semuanya kerana gerakan hati saya yang mahu memajukan diri sendiri dengan menimba ilmu.

“Saya juga berazam untuk menjadi penyanyi yang berilmu, tidak hanya bersandarkan kepada bakat semata-mata. Dengan pelajaran tinggi, kita akan dipandang mulia oleh masyarakat,” ujarnya lagi.

Majlis Amal

HATINYA tersentuh selepas melihat anak-anak dari Pertubuhan Kebajikan dan Perlindungan Al-Haq Malaysia yang kurang bernasib baik. Kehidupan perit yang dilalui mereka demi kelangsungan hidup amat memilukan hati kecilnya.

Persembahan Amal Nayunda yang berlangsung di ibu kota pada Sabtu (13 April) adalah satu cara untuk menghiburkan mereka. Dia mahu berkongsi perasaan yang sama dengan mereka sebagai tanda sokongan kepada mereka.

“Idea ini datangnya daripada Kak Lela (panggilan Lela) yang mahu saya menyanyikan lagu di majlis amal anjurannya. Saya terus menyatakan persetujuan kerana mahu membantu sama walaupun kerja yang dilakukan ini tidak seberapa.

“Melihat wajah kegembiraan setiap seorang mereka benar-benar melegakan hati saya. Saya sangat gembira apabila mereka terhibur sama,” kata penyanyi lagu Baru Aku Tahu Cinta Itu Apa.

Nayunda turut menghiburkan enam lagu dendangan seperti I Will Survive, Janji Manismu, Nirmala dan Lagi Syantik di hadapan kira-kira 300 tetamu yang hadir. Majlis tersebut turut mendapat penajaan daripada produk Nelly D’Touch dan White Horse Milk.

Faradhiya, kumpulan E1 antara artis yang turut memeriahkan majlis selain dihadiri pelakon Eina Azman dan Sabrina Ali dalam majlis yang sama.