Malah Didie atau Fadzilah Mohamad, 44, turut berdepan dengan kecaman warganet ekoran daripada kes saman tersebut meskipun pembicaraan belum bermula. 


“Nama saya pernah digugurkan oleh sebuah stesen televisyen walaupun saya sudah membuat persediaan untuk ke set penggambaran.


“Produksi televisyen tersebut telah mengugurkan nama saya pada saat-saat akhir tanpa memberi sebarang alasan.


“Malah reputasi saya yang sudah tiga dekad berada dalam industri seni turut terjejas selepas orang mulai hilang kepercayaan kepada saya. 


“Selain itu, warganet turut meletakkan hukuman kesalahan itu kepada saya secara membuta tuli walaupun prosiding belum bermula,” luahnya ketika ditemui pada majlis kesyukuran selepas memenangi kes samannya itu. 


Pada 2 Oktober lalu, Mahkamah Sesyen Shah Alam menolak saman sivil Rafiena dan syarikat penerbitannya, Dark Wave Picture terhadap Didie dengan kos RM10, 000.


Rafiena mengemukakan saman terhadap pelakon tersebut pada Mac tahun lalu berikutan dakwaan berlakunya pelanggaran kontrak dan pengaiban terhadap dirinya.


Dalam pernyataan tuntutannya, Rafiena menyatakan Didie merupakan bekas penerbit eksekutif rancangan travelog, Street Food Asian‎ sebanyak 13 episod di bawah terbitan Dark Wave.


Menurutnya, Didie diberi kepercayaan dan tanggungjawab menguruskan hal berkaitan kerja-kerja penerbitan program itu namun didakwa telah sengaja cuai atau gagal melaksanakannya. - UTUSAN ONLINE