Dalam sekuen lain, syot seorang gadis yang dibawa seorang pemuda untuk berasmara dalam semak hutan melibatkan teknik intercut dengan syot orang-orang kampung yang sedang menumbang dan melapah seekor lembu bagi menyambut kedatangan seorang ahli politik ke kampung mereka. 

Apa pun kisah seksualiti wanita yang memporak-perandakan seluruh kampung dalam Perempuan, Isteri & … telah menjadikan filem ini provokatif dan mencetuskan kontroversi ketika ditayangkan. Ada pihak yang menggelarkan filem ini ‘misoginis’ dengan merendahkan imej wanita Melayu-Muslim. Namun, ada pula mendakwa yang ia mengangkat martabat wanita. Sememangnya representasi seksualiti dalam filem ini membawakan dinamisme dan kompleksiti berkaitan subjektiviti kewanitaan, sesuatu yang melampaui ‘hitam dan putih’. Malah, dengan pengaruh tradisi formalisme sinema Soviet era 1920-an (seperti teknik montaj intelektual tadi), pengarah U-Wei Haji Saari telah menggembleng seksualiti bersama strategi sinematik yang bijak. Ini termasuk pemanfaatan syot-syot subjektif lagi voyeuristic (bersifat mengintai) yang menyumbang kepada keseluruhan form dan pemaknaan filem ini.

Walaupun era 1990-an sinonim dengan paparan babak-babak ‘selingan’ di kolam renang (untuk mewajarkan watak-watak wanita berbikini), selain Perempuan, Isteri & … sejumlah filem secara serius merepresentasikan gender (terutamanya wanita) dengan citra berkaitan seksualiti. Antaranya seperti Hati Bukan Kristal (1990), Black Widow Wajah Ayu (1994), Ringgit Kasorrga (1995) dan Amok (1995). Sebuah lagi filem bertemakan seksualiti, Panas (Nurhalim Ismail, 1998) yang dapat dikesan terpengaruh dengan Perempuan, Isteri & … –memerihalkan dilema seorang gadis kampung yang berkahwin dua kali. Pertama, dengan ayah angkatnya sendiri (yang luar biasa gelora nafsu serakahnya) dan kedua, dengan seorang pemuda kaya dari bandar yang lemah tenaga batin.

Dalam filem-filem Melayu, seksualiti dipersembahkan dengan beberapa pendekatan dan tujuan. Antaranya membawakan seksualiti sebagai tabu (sebagai subjek), menunjangi tema dan naratif. Ada pula beberapa filem cenderung menyerlahkan erotisisme dan sensualisme termasuk percubaan menampilkan seksualiti sebagai sesuatu yang eksploitatif dan sensasi picisan (contohnya, pemaparan babak-babak rogol atau pemerkosaan). Namun secara umumnya masih terkawal berbanding sinema negara jiran seperti Indonesia dan Filipina disebabkan banyak faktor seperti peranan badan penapisan filem. Cuma, perspektif kamera yang sering galak merakam dan mengobjektifi­kasikan wanita tidak jauh berbeza dengan sinema Hollywood atau Eropah pada era tertentu.

Era 1980-an memperlihatkan banyak filem menyelitkan elemen seksual daripada melodrama (Sesejuk Airmata Ibu, Potret Maria) kepada komedi (Adik Manja, Hantu Siang). Kebanyakannya tentang wanita yang menjadi mangsa rakus lelaki atau yang hanyut bersama badai kota. Terdapat beberapa buah filem yang khusus bertemakan seksualiti, seperti Dendam Dari Pusara (Ahmad Mahmood, 1983) tentang lelaki separuh usia yang dipulaukan masyarakat kampung kerana dituduh menghamili anak angkatnya dan masa silam gelapnya (pernah mengambil hati orang mati dijadikan ‘ubat pengasih’ untuk menggoda wanita). Jauh Di Sudut Hati (Z. Lokman, 1984) pula berfokuskan kepada seorang wanita, pengurus estet yang berhadapan dengan masalah suaminya yang sering kecundang di ranjang, tetapi seluruh estet telah heboh dengan khabar angin tentang suaminya itu seorang perogol bersiri.

Sinema Melayu ‘era studio’ di Singapura menampilkan citra wanita yang lebih sensual sama ada di bandar atau desa, dalam dunia moden atau purba. Contohnya, watak-watak wanita bandaran ‘kelab malam’ yang menggoda (dengan mini skirt dan kebaya ketat) atau wanita desa yang berkemban dan bermandian di sungai. Filem dengan tema keislaman seperti Semerah Padi (P. Ramlee, 1956) turut memaparkan seksualiti wanita yang ‘menggoncang’ sebuah kampung yang cuba melaksanakan perundangan Islam.

Elemen seksual turut mendasari beberapa filem lain, daripada Bunga Tanjong (1963) kepada Chinta Kaseh Sayang (1965) yang memperlihatkan kemodenan (menerusi perubahan sosiobudaya) sedang mengambil tempat. Pengarah Hussain Haniff umpamanya, memfokuskan seksualiti wanita dalam Chinta Kaseh Sayang. Seorang isteri kepada seorang pelukis yang hauskan belaian suaminya (yang sentiasa sibuk melukis) menjalinkan hubungan dengan suami orang. Bila terpaksa berpisah dengan lelaki tersebut, si isteri ini menerima pula pelawaan seorang pemuda bujang dan berfoya-foya dengannya. Sikap liberal (seksual) dan agensi rasional wanita Melayu ini adalah refleksi kemodenan Singapura era 60-an.

Kandungan seksual yang ketara terdapat dalam filem-filem Melayu keluaran Studio Merdeka, KL lewat 1960-an dan awal 1970-an cerminan kepada perubahan budaya yang sedang melanda dan filem yang agak erotik serta sensual dalam sejarah sinema tempatan adalah Gelora (P. Ramlee, 1970). Kisah seorang ibu yang menjadi perempuan simpanan kepada seorang lelaki bangsawan serta menjalinkan hubungan ‘skandal’ bersama pemuda yang menjadi kekasih anak gadisnya, selain subplot hubungan sumbang mahram (yang tidak disedari). Filem lain yang agak seksual termasuklah Dr. Rushdi (1969), Bukan Salah Ibu Mengandong (1969), Di-Belakang Tabir (1970), Kalau Berpaut Di-dahan Rapoh (1971) dan Putus Sudah Kasih Sayang (1972). Kesemuanya menerokai tema-tema ‘dewasa’ seperti kekontangan nafkah batin, permasalahan seksualiti lelaki dan hubungan skandal terlarang.

Sinema kontemporari (mile­nium baharu) semakin kurang merepresentasikan seksualiti, walau­pun segelintir filem tampil sedikit terbuka dengan isu ini. Daripada representasi seksualiti alternatif (seperti Dua Alam, … Dalam Botol) hinggalah ke filem-filem dengan tema seksualiti (seperti Buai Laju-laju dan Laga). Selain Dukun (yang ditayangkan selepas 12 tahun), dekad ini menyaksikan hampir tiada representasi seksualiti dalam filem-filem Melayu. Hal ini mungkin sejajar dengan perkembangan Islamisasi di Malaysia termasuklah kempen dan perlaksanaan aspek patuh syariah dalam segenap aspek kehidupan. Perkembangan ini turut menyaksikan citra sensual wanita berkebaya ketat atau berkemban kini diambil alih dengan citra wanita berhijab dan berjubah.