Mengakui dia tidak pernah melihat populariti sebagai fokus kerja kerasnya selama ini kata Khai Bahar, sehingga kini sifat budak kampung di dalam dirinya sentiasa menjadikan dia jujur dengan kemahuan diri.

“Saya tidak pernah melihat diri saya sebagai orang lain tetapi tetap sebagai seorang budak kampung yang mempunyai fokus yang sama seperti dahulu. Jadi tiada sebab untuk saya sombong dan meletakkan diri saya di tempat yang berbeza apatah lagi tidak menghargai mereka di sekeliling saya terutama peminat.

“Bukanlah bermakna saya memberi layanan berbeza, cuma yang termampu saya lakukan. Ini kerana apabila kita sibuk sampai tak sempat layan peminat, saya cuba letak diri di tempat mereka.

“Dari situ kita tahu, mereka juga sibuk tetapi tetap mempunyai masa untuk menyokong saya. Jadi mengapa saya tidak boleh buat perkara yang sama?” katanya.

Hampir tiga tahun bergelar penyanyi profesional, jarang sebenarnya untuk mendengar penyanyi lagu Luluh ini terjebak dengan kontroversi.

Mengakui agak berhati-hati, ternyata darah muda yang mengalir dalam tubuhnya tidak dijadikan sebab untuk dia bertindak melulu. Kongsi Khai, pengalaman lalu membuatkan dia lebih matang dalam membuat keputusan.

“Rezeki untuk bergelar seorang penyanyi bukan mudah. Pelbagai cabaran yang perlu saya lalui. Pernah menumpang rumah orang, hidup sehelai sepinggang dan berhijrah membuatkan saya sangat menghargai peluang yang saya peroleh kini.

“Mungkin dari satu sudut orang yang tidak melaluinya tidak tahu tetapi bagi saya dengan pengalaman lalu menjadikan saya jauh lebih matang daripada usia.

“Namun bukanlah saya tidak lakukan kesilapan langsung cuma bab lakukan kesalahan itu saya hanya akan kongsi dengan mereka yang menguruskan kerjaya saya seperti pengurus,” katanya.

Tidak dinafikan kejayaan yang dicapai oleh Khai atau Muhammad Khairul Baharuddin, 24, dalam tempoh singkat dan dia bersyukur kelebihan itu tidak menyebabkan timbul rasa iri hati penyanyi senior.

“Alhamdulillah semua artis lama yang saya jumpa mempunyai sikap yang sangat positif dan mereka suka bertukar pandangan. Sebagai orang baharu kita tahu kehadiran diterima dengan baik.

“Namun jika ada yang memandang rendah terhadap diri saya, rasanya tidak perlu saya memikirkan sangat soal itu kerana saya sendiri tidak pernah ambil kisah,” katanya.

Tawaran lakonan

Kelibat dalam bidang seni membuka pelbagai peluang untuk Khai pergi lebih jauh. Melihat rezeki yang datang, ternyata kini dia juga mengintai tawaran dalam bidang lakonan.

“Sebenarnya saya sudah terima tawaran lakonan pertama saya dalam drama bersiri Cinta Tiada Ganti. Sebab utama saya setuju kerana dalam drama itu saya hanya perlu menjadi diri saya sendiri.

“Jadi wataknya tidak begitu sukar tambahan pula saya hanya perlu habiskan penggambaran dalam tempoh sehari sahaja,” jelasnya.

Tidak menolak melihat lakonan sebagai satu kerjaya tambahan suatu hari nanti, namun kini dia lebih rela memberikan tumpuan kepada bidang nyanyian.

“Sebenarnya memang banyak tawaran yang datang dalam bidang lakonan. Namun komitmen dalam bidang nyanyian buat masa ini menjadi fokus utama saya.

“Sejujurnya saya melihat bidang nyanyian juga jauh lebih mudah berbanding berlakon. Soal watak yang ingin saya bawa suatu hari nanti, rasanya tidak boleh fikir lagi,” kongsinya.

Sementara itu, bercakap mengenai konsert gandingannya dengan penyanyi Siti Nordiana pada tahun hadapan, Khai akui, dia berdebar kerana ini adalah impian setiap penyanyi untuk berpeluang menjayakan sebuah konsert.

“Saya dan Nana (Siti Nordiana) akan mengadakan konsert bersama yang dijangka akan berlangsung tahun hadapan. Memang saya sedar untuk mengadakan konsert ini bukan mudah.

“Bagaimanapun saya berharap semuanya akan dipermudah dan impian untuk mengadakan konsert akan tercapai bukan sahaja untuk saya tetapi untuk peminat yang selama ini mengharapkan perkara yang sama,” katanya sambil memberitahu lagu duetnya dengan Siti Nordiana juga akan dilancarkan tidak lama lagi.

Cinta dan kahwin

Sikap mudah didekati yang diamalkan penyanyi ini tidak dinafikan mewujudkan ruang untuk peminatnya menaruh harapan memiliki cintanya. Mengakui wujud keadaan itu, namun dalam tempoh ini Khai memberitahu, belum waktunya dia mahu ditemani cinta.

“Memang ada peminat begitu tetapi apabila sudah nampak ke arah itu saya jelaskan yang hubungan ini tidak boleh melepasi tahap kawan sahaja. Sebab saya masih mempunyai fokus yang lebih penting terhadap karier.

“Antara sebab saya lebih suka berterus terang kerana saya tidak mahu ada mana-mana pihak yang menaruh harapan. Dalam keadaan sekarang saya tidak mahu menjalinkan cinta,” katanya.

Tidak lokek berkongsi ciri-ciri wanita pilihan jika benar suatu hari nanti hatinya sudah terbuka untuk menerima seseorang, kata Khai, dia lebih senang jika bakal isterinya nanti memiliki perwatakan orang kampung sahaja.

“Ikutkan sudah hampir tujuh tahun saya solo tanpa cinta tetapi itu bukan masalah buat masa sekarang.

“Jika benar hati sudah terbuka, rasanya saya selesa dengan orang kampung yang tidak banyak kerenah.

"Bertudung atau tidak, tidak menjadi soal sebab selepas berkahwin nanti dia perlu mengikut kata saya sebagai suami,” katanya.