Sibuk menjalani penggambaran filem Sangkar arahan Kabir Bhatia, pelakon kelahiran Masjid Tanah, Melaka itu sedar tubuhnya semakin gempal adalah disebabkan tuntutan watak.

“Kabir terkenal dengan acuannya tersendiri dalam membentuk keunikan karakter bagi setiap wataknya.

“Lazimnya, kita selalu dipaparkan atlet atau peninju bertubuh kecil bagi pertarungan kategori ringan. Berbeza kali ini, Kabir ketengahkan atlet bersaiz sederhana, untuk kategori pertengahan.

“Jadi, had berat badan atlet telah ditetapkan mengikut ukuran tertentu berdasarkan kategori sama ada ringan, sederhana atau berat,” ujar Remy memberi penjelasan.

Dia berkata demikian sebaik diminta mengulas tentang sosok tubuhnya yang kelihatan berisi sewaktu hadir ke majlis pelancaran koleksi raya hasil kerjasama antara Remy dan sebuah butik fesyen tempatan di bawah label Starvilion.

Menurut Remy, hasil timbangan terkininya mencatat angka 82 kilogram yang juga rekod paling berat pernah dicapai seumur hidup.

“Jumlah itu bertambah sebanyak hampir 10 kilogram kerana sebelum ini, berat saya cuma 73 kilogram.

“Demi merealisasikan karakter yang diingini pengarah, saya gandakan makanan yang mengandungi protein berserta suplemen,” akuinya.

Tambahnya, sejak mengalami perubahan drastik itu, dia berasa tidak selesa, mudah letih, malah pernafasannya tercungap-cungap seperti kekurangan oksigen.

“Syukurlah, selepas mengamalkan rutin senaman yang boleh meningkatkan stamina, permasalahan itu dapat dikawal, sekali gus menonjolkan tahap kecergasan atlet,” katanya optimis.

Selain Remy, naskhah bergenre aksi itu turut diterajui Zul Ariffin dan proses penggambaran pada hari ini memasuki hari kesebelas dijalankan di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur

Sangkar mengisahkan kegiatan ekstrem yang menggabungkan dua elemen iaitu sukan dan seni bela diri atau disebut mixed martial arts (MMA). - UTUSAN ONLINE