Kata pelakon yang popular dengan drama bersiri Kekasih Paksa Rela ini, menerusi filem tersebut, dia memegang satu karakter lasak yang perlu seiring dengan rakan gandingannya, Zul Ariffin.

“Zul Ariffin badannya bersaiz besar, jadi saya perlulah seiringan dengan dia agar tidak nampak perbezaan.

“Jadi, ketika ini setiap hari saya ke gimnasium selama dua jam dari pukul 6 pagi sehingga 8 pagi. Dan pada sebelah malam pula, saya kena buat latihan seni mempertahan diri campuran (MMA) sepenuhnya,” kata Remy.

Justeru, untuk mendapatkan badan yang sasa dengan otot yang padat, Remy perlu menambah berat badannya yang selama ini dalam lingkungan 71 kilogram (kg) sehingga 73 kg sahaja.

“Tapi untuk mendapatkan otot, saya perlu tambah berat badan sehingga 90 kg dan kemudian kembali turun kepada 84 kg.

“Apabila berat badan sudah bertambah sebenarnya saya tidak rasa selesa. Nak berjalan pun rasa berat dan pergerakan pun jadi perlahan. Tetapi inilah pengorbanan yang perlu dibuat oleh kami para pelakon,” kata Remy.

Bagi menambah berat badan kepada 90 kg, kata Remy, dia perlu melipat gandakan jumlah pengambilan makanan dengan memfokus kepada lebih kandungan protein.

“Saya kena makan lapan kali sehari untuk mempercepat naik berat badan. Jadi, saya banyak makan nasi dengan ayam dan telur,” kata Remy.

Pulang punya ikatan batin

BERCERITA mengenai filem Pulang, Remy menganggap karya yang luar biasa kerana secara lahiriahnya, filem tersebut seolah-olah ada kaitan dengan dirinya.

Filem Pulang yang akan ditayangkan selepas musim raya nanti adalah inspirasi sebuah kisah benar mengenai datuk kepada Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios sendiri, Datuk Ahmad Izham Omar bernama Othman yang menjadi kelasi kapal sekitar tahun 1940.

Othman mengembara ke segenap pelosok dunia bagi mencari kekayaan buat isterinya, Che Tom sehingga satu saat, dia tidak mampu pulang menemui keluarga dan terpaksa menetap di luar negara.

“Yang berlaku ialah datuk saya dan adiknya juga adalah kelasi dan sama-sama menetap di lokasi yang sama dengan Othman iaitu di Liverpool.

“Sekarang ini, datuk saudara saya yang saya panggil Tok Din masih hidup dan menetap di sana tetapi kerap pulang ke Malaysia. Dimaklumkan yang datuk saya sendiri pernah bertemu dengan (datuk) Othman ini,” kata Remy.

Malah kata Remy, saat membaca skrip asal filem tersebut, bulu romanya meremang apabila Izham memberitahunya yang beliau pernah berjumpa dengan Chief of Malay Sailor Club di Liverpool.

“Saya tahu datuk saya adalah orang yang bertanggungjawab mengusahakan kelab itu di Liverpool. Sebab itu, saya anggap filem ini sangat dekat dengan saya kerana seakan-akan ada ikatan batin yang zahirnya tidak nampak,” katanya.

Berlakon drama hanya sesekali

SELEPAS sekian lama tidak muncul dalam drama bersiri, apabila pelakon ini kembali dalam drama Kekasih Paksa Rela, nama Remy kembali menjadi sebutan para peminatnya.

Namun bagi Remy, dia sudah tidak melihat kepentingan untuk terlalu kerap muncul dalam drama bersiri kerana tidak mahu mendatangkan rasa jemu dalam kalangan peminatnya.

Malah dia juga tidak kisah kekurangan tawaran bagi drama bagi mengelak dan menjejaskan populariti dirinya.

“Saya mengambil pendekatan tidak boleh terlalu kerap muncul untuk drama bersiri. Biarlah setahun sekali pun tidak mengapa.

“Bila kurang tampil dalam drama bersiri, barulah orang akan tertunggu-tunggu. Tak kisahlah tidak popular pun sebab dalam usia karier saya ketika ini, populariti sudah tidak penting lagi.

“Dari dahulu lagi, saya sedar yang populariti tidak pernah bersifat kekal. Lagi pula populariti itu boleh dicipta oleh sesiapa pun. Jadi, tidak usah rungsing jika tiba-tiba hilang populariti.

“Sebab itu dari dahulu, saya tidak terlalu memikirkan soal populariti kerana perkara itu datang dan pergi mengikut waktunya,” kata Remy ketika ditemui pada majlis pelancaran novel adaptasi filem Pulang, tulisan Lily Haslina Nasir yang dibuat berdasarkan kepada filem arahan Khabir Bhatia, terbitan Prime Works Studios.